NGO pohon mahkamah pertimbangkan peranan semak dan imbang badan kehakiman serta Parlimen semasa tempoh darurat

Di atas kepentingan awam, NGO melakukan cabaran kehakiman supaya mahkamah dapat menentukan kuasa keperlembagaan parlimen dan badan kehakiman

Kami, pertubuhan masyarakat sivil yang bertandatangan, yang terlibat dalam pelbagai lapangan advokasi untuk mengukuhkan demokrasi berparlimen dan mempertahankan ruang sivil, telah mengemukakan saman mewakil kepentingan umum terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Malaysia pada hari ini di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan deklarasi mahkamah tentang isu-isu berkenaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

Kami bimbang perisytiharan darurat dan Ordinan Darurat telah menyebabkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak dapat memenuhi kewajiban perlembagaan mereka sebagai tempat perbahasan dan pengundian bagi Ordinan Darurat.

Kami juga khuatir kesan utama Ordinan Darurat adalah penggantungan Parlimen sedangkan kerajaan, badan kehakiman dan sektor swasta berjalan seperti biasa, dengan terikat dengan peraturan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang masih berkuatkuasa.

Kami ingin mahkamah mengisytiharkan sekiranya mereka mempunyai kuasa untuk menyemak sebarang percubaan untuk memintas peruntukan perlembagaan yang memerlukan semua undang-undang dibawa ke Parlimen terlebih dahulu.

Secara khusus, kami ingin mendapatkan perisytiharan mahkamah sama ada Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu); atau Seksyen 14 Ordinan tersebut yang telah menggantung Parlimen; dan Perkara 150(8) Perlembagaan yang mengenepikan bidang kuasa mahkamah, adalah tidak berperlembagaan.

Dalam permohonan kami kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, kami mengajukan beberapa persoalan perundangan seperti berikut:

  1. Memandangkan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak dibubarkan namun hanya ditangguhkan pada waktu tertentu, adakah Proklamasi Darurat yang dikeluarkan pada 11 Januari 2021 (lihat PU (A)7/2021) dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diisytiharkan pada 14 Januari 2021 perlu dibentangkan di Parlimen sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan?
  • Adakah Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan penggantungan Parlimen adalah sah memandangkan ianya mencegah atau menghalang pengoperasian Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan? (Seksyen 14 seakan-akan bermaksud, antara lain, menghalang pengoperasian peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan memanggil, menghenti dan membubarkan Parlimen serta membatalkan sebarang sidang Parlimen yang telah dipanggil tetapi belum bersidang)?
  • Adakah pindaan perlembagaan 1981 yang memasukkan Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan yang seakan-akan mengenepikan bidang kuasa mahkamah adalah tidak berperlembagaan (kerana mengingkari Perkara 4 dan 121 Perlembagaan Persekutuan dan/atau struktur asas Perlembagaan Persekutuan)?
  • Adakah Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan, jikalaupun ianya sah, menghalang mahkamah untuk menyemak keperlembagaan sesuatu ordinan yang dibuat di bawah Perkara 150(2B) yang tidak mematuhi, mencegah atau menghalang keperluan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan (yang memperuntukkan keperluan proklamasi/ordinan dibentangkan di Parlimen)?
READ MORE:  Cabaran kehakiman Ordinan Darurat 2021 - Apa yang perlu anda tahu?

Penggantungan Parlimen adalah satu langkah drastik. Proklamasi darurat ini melampaui Perlembagaan dan tidak sejajar dengan keadaan semasa. Sebagai warga yang bekerja demi rakyat serta memperjuangkan reformasi, penggantungan Parlimen mengganggu kerja kami disebabkan kami tidak dapat memperoleh dan mencari penyelesaian semasa sidang parlimen mengenai isu-isu yang berkaitan.

Kami percaya bahawa kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan dan semangat Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi, di mana terdapat pengasingan kuasa yang jelas diantara cabang kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman dan tidak ada satu cabang yang boleh mengatasi cabang kuasa yang lainnya.

Kehilangan semak dan imbang dalam demokrasi berparlimen akan mengakibatkan kesan jangka panjang yang tak terpulihkan yang akan memusnahkan negara kita, kerana kerajaan yang tidak disemak mudah menjadi kerajaan yang drakonian dan kleptokratik.

Kami yakin bahawa kerajaan sudah mempunyai kuasa yang mencukupi untuk menangani krisis Covid- 19 dan mereka tidak perlu menggantung Parlimen melalui Ordinan Darurat.

Sebagaimana rakyat Malaysia yang lain, kami amat khuatir dengan kesan buruk pandemik ini – kehilangan nyawa, kerja dan hakisan ekonomi yang sangat teruk. Kestabilan politik adalah diperlukan untuk kerajaan membawa kita keluar dari krisis yang tidak terjangka ini, namun kestabilan tidak boleh dicapai dengan mengorbankan institusi semak dan imbang oleh Parlimen dan badan kehakiman.

Kami melakukan litigasi ini demi kepentingan umum untuk mempertahankan kedaulatan undang- undang dan sistem semak imbang serta untuk mendapatkan keputusan badan kehakiman berkenaan isu-isu terkait dengan Ordinan Darurat.

Oleh yang demikian, di atas kepentingan awam kami melakukan cabaran kehakiman supaya mahkamah dapat menentukan kuasa keperlembagaan parlimen dan badan kehakiman dalam mempertahankan sistem semak dan imbang negara kita.

  1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0)
  2. Suara Rakyat Malaysia (Suaram)
  3. Center for Independent Journalism (CIJ)
  4. Aliran
  5. Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH)
  6. Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak)
  7. Save Rivers
Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.