Bantahan dasar pemberimilikan tanah Orang Asli

0

Groups defending Orang Asli land rights have submitted a memorandum to the Prime Minister explaining why they are strongly against the proposed official policy on Orang Asli land. 

 

MEMORANDUM

BANTAHAN DASAR PEMBERIMILIKAN TANAH ORANG ASLI YANG DILULUSKAN OLEH MAJLIS TANAH NEGARA DALAM MESYUARAT YANG DIPENGERUSIKAN OLEH YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA PADA 4 DISEMBER 2009 DI PUTRAJAYA

KEPADA:
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HJ ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA

OLEH:
PERSATUAN ORANG ASLI SEMENANJUNG MALAYSIA (POASM) DAN
GABUNGAN NGO-NGO ORANG ASLI SEMENANJUNG MALAYSIA

Alamat Surat Menyurat:

PERSATUAN ORANG ASLI SEMENANJUNG MALAYSIA (POASM)
Kg Guntor, 72200 Batu Kikir, Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Tel: 013-3786838
Faks: 06-4812627  
Email: poasm@yahoo.com

GABUNGAN NGO-NGO ORANG  ASLI  SEMENANJUNG MALAYSIA
39 Jalan Satu, Taman Batang Padang
35500 Bidor, Perak
Tel: 05-4348160.
Faks: 05-4348160  
Email: jkoasm@gmail.com
 

17 Mac 2010

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri,

TUJUAN MEMORANDUM

Adapun tujuan kami mengemukakan Memorandum ini adalah untuk:-

a) Menegaskan bantahan masyarakat Orang Asli terhadap Dasar Pemberimilikan Tanah Orang Asli yang telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara pada 4 Disember 2009. Untuk rujukan mudah, sesalinan Dasar tersebut disertkan di sini sebagai Lampiran 1.

b) Menuntut pengiktirafan wilayah adat Orang Asli sebagaimana yang dikehendaki oleh masyarakat Orang Asli.

BANTAHAN

Kami membantah sekeras-kerasnya Dasar Pemberimilikan Tanah Orang Asli  kerana:

  1. Dasar ini digubal dan diluluskan tanpa berunding terlebih dahulu dengan masyarakat Orang Asli.
  2. Dasar ini tidak menurut intipati dan niat ikhlas gagasan 1Malaysia yang menitikberatkan kepelbagaian kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Tanpa tanah adat kami, kebudayaan Orang Asli yang dibanggakan sebagai satu aset dan keistimewaan masyarakat Malaysia menurut konsep 1Malaysia akan lupus sama sekali. Justeru itu, dasar ini tidak menepati Wawasan 2020 yang mengutamakan kebebasan untuk mengamalkan budaya masing-masing.
  3. Dasar ini bercanggah dengan kebebasan asas penduduk Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan khususnya artikel-artikel 5 (hak untuk hidup), 8 (Kesamarataan di sisi undang-undang) dan 13 (hak kepada harta benda).
  4. Dasar ini digubal dengan tidak mengikut artikel-artikel yang termaktub didalam UNDRIP yang telah dipersetujui sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia sebanyak dua kali tanpa sebarang pertikaian, iaitu ketika Majlis Hak Asasi dan Perhimpunan Agung pada tahun 2007 bertempat di New York.
  5. Dasar ini langsung tidak menghormati hak dan sensitiviti masyarakat Orang Asli sebagai satu kaum yang memiliki keunikan dan identiti yang tersendiri (distinct).
  6. Dalam dasar ini, setiap penegasan yang diberi terhadap mana-mana perkara yang disentuh jelas menjurus kepada penghapusan hak asasi Orang Asli sebagai orang asal di negara ini. Orang Asli bukan saja dinafi hak untuk menentukan apakah jenis pengiktirafan tanah serta bentuk pengunaannya yang mereka mahu tetapi hak Orang Asli ke atas harta benda, amalan adat budaya dan kepercayaan, mahupun maruah Orang Asli itu sendiri juga turut dicabuli. Juga, dan ini merupakan sesuatu yang memeranjatkan, Orang Asli dilarang daripada membuat sebarang tuntutan di mahkamah mengenai hak tanah mereka.
  7. Dasar ini tidak memaparkan kesedaran di pihak Kerajaan bahawa kawasan atau wilayah  adat yang dituntut oleh Orang Asli selama ini adalah apa yang telah dimiliki dan diwarisi semenjak berkurun-kurun dan dari nenek moyang kami, bukannya sesuatu kawasan atau wilayah adat yang baru. Disebaliknya, Dasar ini, seolah-olah memberi gambaran bahawa Orang Asli memohon tanah baru yang  mereka belum pernah duduki. Sesungguhnya perkara ini amat kami kesali.
  8. Dasar ini menafikan pengiktirafan sekurang-kurangnya 64 peratus daripada wilayah adat Orang Asli memandangkan ia hanya tertumpu kepada Rizab Orang Asli dan Kawasan Orang Asli yang telah dilulus untuk diwartakan sebagai Rizab Orang Asli yang mana, buat masa ini merangkumi hanya 15 peratus sahaja daripada keseluruhan wilayah adat Orang Asli. Sesungguhnya ini bukan sahaja sesuatu penganiayaan terhadap Orang Asli tetapi ia merupakan penafian bahawa Orang Asli adalah orang asal Semenanjung Malaysia.  
  9. Dasar ini meletakan syarat bahawa pembangunan tanah Orang Asli hendaklah dilaksanakan oleh pemaju. Pengalaman Orang Asli dalam pembangunan tanah sedemikian seperti tanam semula komersial (TSK), rancangan pengumpulan semula (RPS), dan penyusunan semula kampung (PSK) menunjukan ia tidak mendatangkan keuntungan kepada Orang Asli, malah membebankan mereka dengan hutang lantaran memburukan lagi kedudukan ekonomi mereka. Yang meraih faedah ialah pemaju.
READ MORE:  What the pandemic tells us about the Orang Asli


Di sini kami ingin memperjelaskan kepada YAB berkenaan perkara-perkara asas berkaitan dengan konsep serta pengurusan tradisional wilayah adat Orang Asli.

  1. Zaman berzaman setiap kumpulan Orang Asli tidak kira sukukaumnya, mengamalkan kehidupan satu kumpulan satu wilayah adat samada di darat, di tasik atau di laut. Setiap wilayah adat ini hanya ditadbir, diurus dan digunapakai mengikut adat istiadat kumpulan Orang Asli tersebut.
  2. Pentadbiran dan pengurusan setiap wilayah adat yang diamalkan oleh setiap kumpulan Orang Asli adalah amat jelas dan sistematik. Ini adalah kerana setiap ruang wilayah adat ditadbir dan diurus berpandukan kepada guna tanah dan kepentingannya, yang diputuskan dengan mengambilkira persetujuan semua penduduk setempat dan juga keseimbangan ekologi alam dan jaminan penggunaan yang berkesinambungan.
  3. Setiap wilayah adat mempunyai pemecahan guna tanah yang berlainan mengikut amalan tradisi kumpulan Orang Asli masing-masing. Lazimnya, pemecahan guna tanah  tersebut dibahagi kepada hampir 20 bahagian iaitu:

    i. kawasan penempatan.
    ii. kawasan tadahan air
    iii. kawasan suci
    iv. kawasan perkuburan
    v. kawasan menanam padi
    vi. kawasan menanam ubi kayu dan sayuran
    vii. kawasan air bertakung/tasek tempat pembiakan ikan untuk memancing
    viii. kawasan lembab, berpaya tempat pembiakan hidupan dalam air terutamanya spesis labi-labi, kura-kura dan ikan limbat   
    ix. kawasan perburuan
    x. kawasan jenis tumbuhan untuk upacara ritual/tradisi
    xi. kawasan sumber peralatan untuk membina rumah
    xii. kawasan herba
    xiii. kawasan denai
    xiv. kawasan sayur-sayuran tradisi dan ulam-ulaman
    xv. kawasan tanaman kontan
    xvi. kawasan dusun lama warisan nenek moyang
    xvii. kawasan untuk kesenian (kraftangan, peralatan musik)
    xviii. kawasan riadah
    xix. kawasan melakik (hutan yang hampir menjadi hutan dara)
    xx. kawasan jeres (hutan dara/stok sumber), kesemua bahagian guna tanah ini adalah amat penting bagi setiap komuniti Orang Asli setempat.

  4. Setiap individu dalam kumpulan Orang Asli setempat amat jelas dengan kawasan-kawasan ini serta sempadannya. Malah, sempadan diantara wilayah yang dimiliki kumpulan berlainan juga dikenali dengan jelas. Ini adalah sebab setiap sempadan wilayah adat itu ditetapkan dengan berpandukan bukti-bukti kukuh daripada tanda-tanda alam, lagenda dan fakta-fakta sejarah lisan Orang Asli. Untuk mengukuhkan lagi gambaran wilayah adat ini, masyarakat Orang Asli setempat kini telah membuat pemetaan komuniti secara berdikari menggunakan kaedah, peralatan dan teknologi moden seperti Global Positioning System (GPS) dan  Global Information system (GIS).
  5. Wilayah adat ini samada di darat, di tasik, di laut dan ruang udara hanya boleh dimiliki, diurus dan ditadbir oleh kumpulan Orang Asli setempat mengikut adat mereka. Amalan ini menjamin hak asasi semua golongan setempat – baik lelaki, perempuan, remaja mahupun kanak-kanak – terus terjamin dan terpelihara. Ia tidak memandang atau mengambilkira kepentingan ketua isi rumah sahaja.  Malah, amalan ini menjamin masa depan kaum lelaki dan perempuan sekiranya berlaku sebarang perceraian. Ini adalah kerana mereka boleh kembali ke kampung asal di wilayah adat mereka untuk membina kehidupan baru tanpa sebarang sekatan.
  6. Sistem pentadbiran dan pengurusan wilayah adat yang kami amalkan ini telah menjadikan Orang Asli sebagai satu masyarakat yang tabah, berdikari dan menghormati apa yang menjadi hak orang lain.


Maka itu Kerajaan harus sedar bahawa jika Dasar ini diteruskan akibatnya ialah:

  1. Sistem pemilikan, pengurusan dan pengunaan wilayah adat tradisional Orang Asli seperti diterangkan di atas akan terhapus memandangkan ia berbeza dengan sistem yang dijurus di bawah Dasar ini. Lantaran itu, segala institusi, amalan serta proses yang berkaitan dengan sistem itu, termasuk proses pembentukan sosial Orang Asli akan lenyap.
  2. Sistem hidup secara komunal yang diamalkan oleh Orang Asli sekarang serta faedah-faedah yang dinikmati dari sistem ini, seperti perkongsian sumber-sumber yang terdapat di wilayah adat dan etika dan amalan bermuafakat dan berkerjasama dalam perlaksanaan aktiviti-aktiviti setempat yang penting bagi penerusan survival kami akan terhapus memandangkan Dasar ini cenderong  kepada corak penghidupan secara individualistik.
  3. Sebagaimana diterangkan di atas, Orang Asli akan dibebankan dengan hutang, lantaran memburukan lagi kedudukan ekonomi mereka.
  4. Ketegangan dan sengketa akan timbul dikalangan Orang Asli atas sebab Dasar ini membolehkan sesebuah komuniti Orang Asli dipindahkan dari wilayah adat mereka sendiri ke wilayah adat yang dimiliki oleh komuniti Orang Asli yang lain. Bagi Orang Asli, perbuatan sedemikian merupakan pencerobohan wilayah adat dan amat ditegah di bawah sistem pemilikan, pengurusan dan pengunaan wilayah adat Orang Asli.
  5. Ketegangan dan sengketa juga akan timbul dikalangan komuniti Orang Asli setempat akibat kesan syarat menghadkan keluasan tanah yang akan diberimilik pada nisbah tertentu sahaja. Orang Asli yang mempunyai tanah yang mana keluasannya mengatasi nisbah yang ditetapkan hendaklah melepaskan bahagian yang selebihnya itu untuk diberi kepada orang lain. Mereka pastinya akan terasa tanah mereka dirampas, lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah mengusahakan tanah yang terpaksa dilepaskan itu. Untuk memburukan lagi keadaan, Dasar ini tidak membenarkan tuntutan pampasan dibuat bagi tanah yang hilang itu.
  6. Oleh sebab Dasar ini membolehkan Orang Asli dipindahkan/diusir dari wilayah adat mereka, adat budaya, sejarah, legenda, pengetahuan dan kemahiran tradisi mereka yang sememangya berkait rapat dengan wilayah adat mereka dan merupakan asas kepada jatidiri Orang Asli, akan lenyap untuk selama-selamanya. Dan apabila ini berlaku, istilah Orang Asli itu sudah tidak memberi erti lagi. Kerajaan, akibat perlaksanaan Dasar ini, boleh dilihat seolah-olah mengamalkan polisi penghapusan etnik Orang Asli di Malaysia.
READ MORE:  Defeat the Budget - This is not a budget for all Malaysians!


TUNTUTAN

1. Berasaskan huraian di atas, kami menuntut Kerajaan:

a) Memansuhkan Dasar Pemberimilikan Tanah Orang Asli yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara pada 4 Disember 2009 yang lepas.

b) Mengiktirafkan hak wilayah adat Orang Asli samada di darat, di tasik, di pulau-pulau, di tanah paya (ramsa) atau di laut secara pewartaan sebagai Rizab Orang Asli. Pewartaan tersebut hendaklah diasaskan kepada:


i. Cadangan pindaan Akta Orang Asli (Akta 134) yang dimuatkan dalam Memorandum yang diserahkan oleh Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah pada 7 Ogos 2005, yang mana sesalinan disertakan di sini sebagai Lampiran 2. Cadangan pindaan Akta 134 tersebut hendaklah diluluskan.

ii. Syarat Pengiktirafan Wilayah Adat Orang Asli secara Pemberimilikan Tanah yang mana sesalinannya disertakan di sini sebagai lampiran 3. Syarat-syarat tersebut hendaklah dimasukan dan diterima sebagai dasar penting dalam memberikan pengiktirafan kepada Wilayah Tanah Adat Orang Asli.

iii. Deraf Akta Perizapan Tanah Orang Asli yang telah diserahkan oleh Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 30 April 2000 yang mana sesalinan disertakan di sini sebagai Lampiran 4. Deraf Akta tersebut hendaklah diluluskan.

iv. Deklarasi Hak Asasi Orang  Orang Asal Antarabangsa oleh Bangsa-Bangsa Bersatu yang mana sesalinan disertakan disini sebagai lampiran 5.

v. Kepentingan semua golongan Orang Asli dan juga kesinambungan adat budaya, sejarah, kepercayaan, pengetahuan dan keunikan kami sebagai Orang Asli diambilkira.


c) Pengiktirafan wilayah adat Orang Asli secara pemberimilikan tanah hanya boleh  dibuat sekiranya diminta atau dipersetujui oleh komuniti-komuniti Orang Asli berkenaan dan hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan di bawah Lampiran 3.

d) Mengembalikan/menggantikan atau dalam alternatif memberi pampasan sewajarnya, mana-mana wilayah adat atau bahagiannya yang telah diambil oleh Kerajaan bagi  pewartaan sebagai Rizab Melayu atau telah dilupuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri kepada mana-mana badan berkanun, syarikat, organisasi, pertubuhan, individu dan sebagainya.

e) Membatalkan Rizab Perhutanan, Rizab Tadahan Air, Rizab Perhilitan, Tapak Ramsar,  dan sebagainya sekiranya terdapat pertindihan dengan wilayah adat Orang Asli bagi membolehkan pengiktirafan wilayah adat Orang Asli tersebut – samada secara pewartaan sebagai Rizab Orang Asli atau pemberimilikan tanah atau kedua-duanya sekali – dilaksanakan.


2. Kami juga menuntut kepada Kerajaan perkara-perkara berikut:

a) Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan merujuk kepada Memorandum yang telah diserahkan oleh Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah pada 7 Ogos 2005. Memorandum tersebut disertakan di sini sebagai Lampiran 2.

b) Dilulus dan dilaksanakan cadangan-cadangan yang dimuatkan dalam Memorandum POASM bertarikh 14 April 2009 Kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri. Memorandum tersebut disertakan di sini sebagai Lampiran 4.

c) Menghentikan dengan segera sebarang tindakan Kerajaan yang menggambarkan bahawa Orang Asli tidak dilindungi oleh undang-undang berasaskan Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kesamarataan hak untuk semua warganegara dan Fasal 13 yang memberi jaminan pembayaran pampasan yang mencukupi apabila harta diambil atau digunakan secara paksa.

READ MORE:  Tasik Chini an impending disaster

IMPAK

Pengiktirafan tanah yang merujuk kepada tuntutan-tuntutan di atas akan lebih memberi keadilan kepada masyarakat Orang Asli sekaligus menjamin hubungan baik dan keyakinan masyarakat Orang Asli kepada pihak kerajaan berkesinambungan.

MEMORANDUM INI DITANDATANGANI OLEH PERSATUAN ORANG ASLI (POASM), NGO-NGO ORANG ASLI DAN SEBAHAGIAN BESAR PEMIMPIN-PEMIMPIN ORANG ASLI DAN MASYARAKAT ORANG ASLI AKAR UMBI SELURUH SEMENANJUNG MALAYSIA.

Lampiran 1:
Dasar Pemberimilikan Tanah OA

Lampiran 2:
Memo 7 Ogos 2005 kepada Dato’  Seri Aziz bin Shamsudin

i. L.2; 2a; huraian Kelemahan dan Peruntukan Akta Orang Asli Akta 134

ii. L.2. 2b;  Act 134,  Aboriginal People Act 1954 (revised- 1974) – reprint – 2000.


Lampiran 3:

Deraf cadangan Akta perizaban tanah Orang Asli kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 30 April tahun 2000.

Lampiran 4:

Memorandum POASM bertarikh 14 April 2009 Kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia.

Lampiran 5:

Deklarasi hak asasi Orang Asal sejagat oleh pertubuhan bangsa bersatu: Malaysia menandatangani sebanyak 2 kali tanpa pertikaian ketika Majlis Hak Asasi dan Perhimpunan Agung pada tahun 2007 bertempat di New York.

Lampiran 6:

Pengiktirafan Wilayah Adat Orang Asli secara pemilikan tanah.

                                                                                                                                             PENGIKTIRAFAN WILAYAH ADAT ORANG ASLI SECARA PEMBERIMILIKAN TANAH

Pengiktirafan wilayah adat Orang Asli secara pemberimilikan tanah hanya boleh dilakukan sekiranya dipohon atau dipersetujui oleh komuniti-komuniti Orang Asli yang berkenaan.

Pemberimilikan tanah hendaklah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

i. Pemberimilikan tanah tersebut dibuat di bawah seksyen 76 Kanun Tanah Negara.

ii. Tanah yang boleh diberi hakmilik hendaklah meliputi semua tanah yang terdapat dalam wilayah adat Orang Asli dan tidak terhad kepada tanah rizab Orang Asli di bawah seksyen 7 Akta 134 atau tanah yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri di bawah seksyen 6 Akta Orang Asli tetapi belum diwartakan sebagai rizab Orang Asli di bawah sekyen 7 Akta 134. Penentuan keluasan serta pengenalanpasti lokasi wilayah adat sesebuah komuniti Orang Asli hendaklah dirujuk kepada komuniti Orang Asli berkenaan.

iii. Hakmilik bolehlah diberi untuk semua tanah atau sebahagiannya, dalam wilayah adat sesebuah komuniti Orang Asli. Sekiranya sebahagian sahaja dari wilayah adat itu diberi hakmilik, bahagian yang lain hendaklah diwartakan sebagai Rizab Orang Asli.

iv. Pemberimilikan tanah tidak dihadkan kepada Ketua Isi Rumah Orang Asli (KIR) sahaja tetapi ditawarkan kepada kesemua Orang Asli yang boleh menerimanya mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dalam Kanun Tanah Negara.

v. Nisbah keluasan serta pemilihan/pengagihan lot-lot tanah hendaklah ditentukan setelah dirujuk kepada, dan dipersetujui, oleh komuniti Orang Asli berkenaan. Bagi individu-individu yang telah mengusahakan tanah dimana keluasaannya lebih besar daripada nisbah purata yang ditetapkan, mereka dibenarkan untuk mendapatkan hakmilik keatas kesemua tanah mereka.

vi. Sekiranya keluasan tanah dalam wilayah adat itu tidak mencukupi untuk diagihkan kepada semua penduduknya pada nisbah yang pada pendapat mereka memadai bagi keperluan mereka, maka tanah yang sesuai di kawasan lain yang tidak dimiliki secara adat oleh mana-mana komuniti Orang Asli hendaklah ditawarkan.

vii. Pemberimilikan tanah tidak disyaratkan bahawa tanah yang diberimilik itu hendaklah dimajukan oleh pemaju pembangunan. Disebaliknya, Orang Asli bebas untuk menentukan jenis pengunaan tanah mereka selagi pengunaan tersebut tidak menyalahi undang-undang.  

viii. Tempoh pegangan hak hakmilik ke atas tanah adalah berkekalan.

ix. Bayaran yang perlu dibuat bagi kos-kos yang terlibat dalam proses mendapat suratan hakmilik seperti bayaran kerja ukur, bayaran premium, bayaran pendaftaran dan sebagainya hendaklah ditanggung oleh  pihak Kerajaan.

x. Cukai tanah tahunan hendaklah dikenakan pada kadar RM1 bagi setiap satu ekar.

xi. Sekatan-sekatan tertentu berkenaan urusan tanah hendaklah dikenakan bagi memastikan Orang Asli tidak akan kehilangan tanah yang diberimilikan itu.  

xii. Pemberimilikan tanah di bawah syarat-syarat yang dicadangkan ini tidak menghalang Orang Asli untuk memohon untuk memiliki tanah mengikut kaedah pemilikan tanah yang biasa/sedia ada di bawah Kanun Negara.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments