Marilah kita bersama-sama menghentikan pandemik Covid-19 dan membina semula ekonomi dan masyarakat

0
563 views
Photograph: Geralt/Pixabay

Bagi menghadapi masa hadapan dalam era pasca-Covid-19, Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) mengemukakan beberapa cadangan.

Pandemik Covid-19 telah menimpakan bencana yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia dan dunia.

Bencana ini amat teruk, mempunyai pelbagai bentuk dan berlapis-lapis. Selain daripada kesihatan, masalah ini merangkumi dimensi ekonomi, sosial, budaya, agama dan psikologi dan telah menjejaskan semua lapisan masyarakat.

Apa yang sangat penting, pandemik ini memberikan cabaran yang serius kepada tadbir urus negara, memberi ujian yang amat besar kepada barisan kepimpinan dan sistem tadbir urus. Urusan kehidupan dan tadbir urus telah memunculkan apa yang dipanggil ‘normal yang baharu’ atau ‘kelaziman baharu’.

Perkembangan ini membawa kedua-dua kesan positif dan negatif, dan banyak pengajaran yang boleh dipelajari.

Seperti yang telah diakui, menangani Covid-19 adalah seperti melawan musuh dalam perang. Walau bagaimanapun, ia bukan suatu peperangan yang biasa kerana kita menghadapi musuh yang tidak dapat dilihat.

Nyata sekali, kita memerlukan strategi dan perancangan yang rapi, kebijaksanaan dan keberanian, penggemblengan kepakaran profesional dan sumber material yang relevan, penglibatan organisasi masyarakat sivil, sokongan padu rakyat, dan kerjasama antarabangsa.

Untuk menggerakkan semua ini, kita memerlukan arahan dan garis panduan yang jelas dan tepat masanya daripada pihak berkuasa berserta dengan pelan komunikasi yang jelas dan mekanisme yang responsif terhadap input secara berkala daripada orang ramai.

Kita bernasib baik kerana kesemua unsur ini telah digabungjalin ke dalam suatu rangka tindakan terutamanya sejak ‘perintah separa berkurung’ (partial lockdown) dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bermula pada 18 Mac 2020.

Perintah kawalan pergerakan mempunyai impak yang besar bagi menghalang peningkatan eksponensial kes-kes jangkitan Covid-19, dan dalam ‘meratakan keluk’.

Kita telah menyaksikan di sesetengah negara tercetusnya penentangan serta rusuhan dan penjarahan untuk mendapatkan makanan, manakala beribu-ribu kematian berlaku walaupun di negara-negara yang paling maju.

Di Malaysia, bilangan kematian COVID-19 adalah terkawal pada paras 1.6% (berbanding dengan banyak negara lain pada paras 4.6%-5.6%, bahkan di sesetengah negara maju ada yang mencatat 10%).

Dan sangat penting, di Malaysia, ketenteraman awam dan suasana aman damai kekal wujud di seluruh negara.

Dalam hubungan ini, PSSM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa terutamanya para wira yang tidak didendang, iaitu para pejuang barisan hadapan yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan, yang sekalipun berdepan dengan risiko terhadap nyawa mereka tetap melaksanakan tugas yang diamanahkan negara dengan baik sekali.

Selain itu, kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat semua kaum, agama dan strata yang secara umumnya memiliki kesedaran sosial, terus bekerjasama, patuh dan penyayang walaupun pada awalnya wujud sikap tidak peduli dan keliru serta tindakan membeli-belah secara panik.

PSSM mengambil maklum bahawa krisis kesihatan awam yang belum pernah berlaku ini juga telah mencetuskan krisis ekonomi dan sosial yang kian mendalam, bahkan di sesetengah negara, ia boleh mencetuskan suatu mala petaka kemanusiaan yang dahsyat.

Di Malaysia, penutupan kilang, pejabat, kebanyakan perniagaan dan institusi pendidikan serta sekatan ke atas pergerakan, kesemuanya akan membawa kesan yang menjangkau jauh.

Banyak syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana yang merupakan 98.5% daripada semua pertubuhan perniagaan di Malaysia, yang melibatkan jumlah terbesar tenaga kerja sedang menghadapi masalah aliran tunai yang serius.

READ MORE:  Keganasan rumahtangga: Peningkatan pertanyaan pada awal 'lockdown' menunjukkan keperluan untuk kesiapsiagaan bagi pandemik seterusnya (Malay/English)

Dengan terkurung di rumah, ramai pekerja menghadapi ancaman kehilangan pekerjaan dan pendapatan manakala ramai pula individu dan keluarga terpaksa terus menerus mengorek tabung simpanan mereka.

Pada masa yang sama, kumpulan yang paling miskin dan terancam di dalam masyarakat iaitu golongan gelandangan, kanak-kanak jalanan, pekerja asing dan golongan pelarian sukar untuk mendapatkan sesuap nasi, dan ramai daripada mereka sukar untuk mendapat tempat berteduh.

Bahkan ada pula yang terpaksa tinggal bersesak-sesak di rumah pangsa atau pangsapuri sehingga mendedahkan diri mereka kepada risiko jangkitan.

Kehidupan keluarga, keadaan di tempat kerja, dan dinamika komuniti telah berubah. Keluarga kini menghabiskan lebih banyak masa dalam rumah bersama-sama dalam persekitaran yang sempit.

Perlu kita ingat bahawa dalam dunia yang tidak seimbang ini, ruang rumah ditentukan oleh kedudukan kelas, status sosial dan kekayaan. Memang hubungan dan interaksi yang lebih kerap boleh mendatangkan hubungan keluarga yang lebih baik, namun patriarki tetap menjadi masalah dalam kebanyakan keluarga.

Dalam hal ini, ketegangan dan tekanan wujud dalam kalangan ahli keluarga, manakala keganasan rumahtangga terhadap wanita dan kanak-kanak turut tercetus semasa perintah kawalan pergerakan.

Di Malaysia dan juga di seluruh dunia, krisis Covid-19 juga telah memunculkan ciri paling buruk dalam sesetengah kumpulan masyarakat termasuk pemimpin negara seperti gejala ketaksuban, perkauman, kebencian, sikap tidak bertoleransi, tuduh menuduh, penafian dan perbuatan menuding jari terhadap orang lain.

Pada masa yang sama, krisis ini juga memunculkan ciri-ciri yang terbaik dalam kalangan umat manusia seperti limpahan empati sesama insan, ikatan mesra dan setiakawan, sikap pemurah, kesukarelawanan, dedikasi dan tidak mementingkan diri, terutamanya dalam kalangan barisan hadapan tanpa mengira sempadan negara, bangsa dan agama.

Ia juga menyerlahkan bakat, gurauan senda mesra dan kreativiti serta penghasilan lebih banyak penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai bidang, terutamanya berkaitan dengan kesihatan awam.

Semuanya ini menjanjikan harapan dan keyakinan masa hadapan bagi kita untuk bersama-sama membina semula kehidupan dan dunia baharu.

Di Malaysia, pada 11 Mac kerajaan telah menubuhkan sebuah badan berkuasa tinggi, iaitu Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh perdana menteri bagi menangani masalah ekonomi dan cabaran yang timbul daripada pandemik ini, serta merangka rancangan dan strategi.

Dua pakej rangsangan ekonomi setakat ini telah dilancarkan dengan pakej RM250bn pada 27 Mac, di mana RM25bn adalah untuk memberi bantuan sekali sahaja bagi meringankan beban kumpulan yang berpendapatan rendah.

Manakala satu pakej tambahan sebanyak RM10bn diumumkan pada 6 April khususnya sebagai subsidi gaji bagi perusahaan kecil dan sederhana untuk mengekalkan pekerja mereka sekurang-kurangnya untuk selama enam bulan.

Beberapa langkah juga telah diambil untuk memberi makanan dan menempatkan kumpulan yang paling terancam di tempat perlindungan sementara.

Memang langkah ini amat dialu-alukan untuk meringankan beban dan mengelakkan pembuangan pekerja secara besar-besaran, namun apa yang lebih diperlukan ialah penggubalan pelan yang berdaya tahan dan responsif risiko untuk jangkamasa sederhana dan panjang.

Kita hidup dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, dan masyarakat kita adalah ‘masyarakat risiko’ di mana kehidupan manusia dan sistem sosial terdedah kepada kedua-dua bencana semula jadi dan kejutan yang sistemik.

READ MORE:  Coronavirus: Is Indonesia a time-bomb?

Bagi menghadapi masa hadapan dalam era pasca-Covid-19, PSSM ingin mengemukakan cadangan-cadangan berikut:

Kesiapsiagaan menghadapai bencana

  • Meningkatkan tahap kesiapsiagaan kita untuk menghadapi bencana terutamanya penyakit pandemik, berwaspada kepada wabak yang berlaku di mana sahaja di dunia, menggunakan data raya, dan membangun laman sesawang yang kemaskini mengenai penyakit terutamanya penyakit pandemik sebagai pengetahuan umum dan meningkatkan kesedaran awam secara berterusan
  • Membina terus menerus kekuatan sistem penjagaan kesihatan awam negara kita yang telah menunjukkan daya tahan dan kekuatan yang luar biasa hebat dalam mendepani krisis ini, mengatasi sebarang lompangan atau kelemahan, memperkenalkan sistem penggajian dengan insentif yang lebih baik untuk kakitangan perubatan dan sokongan serta membangun stok penimbal bekalan perubatan termasuk peralatan untuk kegunaan luar jangka
  • Memastikan penyediaan keperluan awam seperti penjagaan kesihatan tetap kekal sebagai tanggungjawab kerajaan, memperkenalkan skim insurans kesihatan yang inklusif dan mesra rakyat, serta menentang sebarang desakan untuk penswastaan penjagaan kesihatan

Budaya tanggungjawab sivik dan penglibatan para pakar dan NGO

  • Melancarkan kempen untuk menggalakkan kebiasaan menjaga kebersihan diri, kebersihan awam, keselamatan dan kesedaran kesihatan, dan mengukuhkan budaya tanggungjawab sivik, saling menyokong dan memastikan persekitaran kita bersih dan selamat. Dengan cara ini, kita meneruskan amalan dan tabiat baik yang dikuatkuasakan dan berlangsung semasa di bawah perintah kawalan pergerakan
  • Menyediakan rangkaian pakar dengan latar belakang yang pelbagai dan daripada bidang strategik yang berbeza yang boleh diundang untuk menasihati kerajaan dan mendidik rakyat terutamanya pada masa krisis
  • Mendirikan sistem yang cekap bagi membolehkan penyertaan dan penglibatan badan-badan NGO yang mempunyai maklumat yang lebih baik mengenai akar umbi serta dapat memainkan peranan pelengkap sebagai sebahagian daripada sektor ketiga untuk mengurangkan kesan negatif kepada rakyat dan memastikan mereka menikmati kualiti hidup yang lebih baik

Menyediakan pelan responsif risiko yang berdaya tahan dan lestari

  • Membangun sistem perlindungan sosial yang komprehensif dan lestari untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana dan kesambungan yang dipertingkatkan, perusahaan kecil dan sederhana dan lebih-lebih lagi perusahaan mikro bagi menghadapi situasi ekonomi teruk yang belum pernah berlaku seperti ini. Seperti yang dikatakan di atas, apa yang kita perlukan segera ialah pelan responsif risiko yang lebih mampan dan berdaya tahan untuk jangka sederhana dan jangka panjang agar dapat dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang akan diumumkan tidak lama lagi
  • Mengintegrasikan infrastruktur dan pelaksanaan program dan data yang melibatkan semua agensi untuk membangun skim keselamatan sosial yang berkesan dan mampan untuk para pekerja. Walau bagaimanapun, skim ini hanya bersifat sementara kerana ia adalah peralihan untuk kumpulan sasar ini keluar daripada situasi yang sukar. Namun dengan pelaksanaan skim yang berkesan dan mampan, kumpulan sasar akan diperkasa agar mereka dapat meneruskan kehidupan dalam era pasca-Covid-19
  • Menggabungkan program ini sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12, sebuah dasar ekonomi berpusatkan insan yang perlu memastikan kerjasama dan kesepaduan dasar yang lebih erat di antara agensi dan antara kerajaan persekutuan dan negeri yang bertujuan untuk mengurangkan ketidaksamaan dan memastikan pembangunan lestari
READ MORE:  Interview with Jomo: Are we doing enough to tackle the many problems we face today?

Kesambungan internet berkelajuan tinggi dan rendah kos

Krisis ini telah menyebabkan ramai perlu bekerja dari rumah, kelas pembelajaran diuruskan secara atas talian, dan kesambungan atas talian untuk membuat pembelian makanan dan lain-lain keperluan. Namun terdapat jurang atau kekurangan, oleh itu ia adalah penting untuk:

  • Mengenalpasti jurang dalam kesiapsiagaan dan kesambungan internet. Hal ini penting kerana tidak semua organisasi termasuk universiti dan perniagaan bersedia sepenuhnya menghadapi keadaan ini
  • Membuat lonjakan dalam kesambungan atas talian untuk memastikan kawasan di luar bandar dan setiap isirumah mempunyai rangkaian perkhidmatan berkelajuan tinggi
  • Memastikan kesambungan internet yang rendah kos, dan setiap pelajar mempunyai komputer riba untuk memudahkan pengajian mereka. Dengan kesambungan yang dipertingkatkan, perusahaan kecil dan sederhana dan lebih-lebih lagi perusahaan mikro boleh mempelbagaikan model perniagaan mereka dengan menggunakan kemudahan atas talian selain menggunakan kaedah konvensional untuk memasarkan produk mereka

Penyelidikan dan inovasi

  • Meningkatkan pembiayaan untuk penyelidikan dan inovasi atau sekurang-kurangnya mengekekalkan pembiayaan itu pada tahap sedia ada demi memastikan negara dapat terus maju. Tercetusnya pandemik ini telah menjadikan R&D lebih penting dan mendesak. Buku World Competitiveness Yearbook 2019 meletakkan Malaysia pada kedudukan 24 daripada 63 negara dengan perbelanjaan R&D sebanyak 1.44% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding dengan Korea Selatan yang berada pada kedudukan teratas dengan perbelanjaan sebanyak 4.55%, Taiwan (kedudukan ke-empat) dengan perbelanjaan 3.33% dan Singapura (kedudukan ke-18) dengan perbelanjaan 1.95%. Walaupun sumber kewangan tidak mudah diperolehi dengan kemelesetan ekonomi global yang sedang berlaku, sekurang-kurangnya apa yang boleh dilakukan oleh Malaysia ialah mengekalkan tahap perbelanjaan R&D semasa dan meningkatkannya kemudian apabila keadaan mengizinkan
  • Mengkaji semula bidang keutamaan untuk R&D dan melaksanakan pelarasan yang sewajarnya dengan mengambil kira kesan daripada serangan pandemik
  • Memberi keutamaan kepada kajian mengenai kesan pandemik terhadap ekonomi dan masyarakat terutamanya golongan 40% terbawah dan mengemukakan usulan dasar berkenaan daya tahan mereka
  • Menggunakan matlamat pembangunan lestari (SDGs) sebagai kerangka penyelidikan negara kita di mana perhatian khusus perlu diberikan kepada SDG 16 mengenai tadbir urus dan SDG 17 mengenai perkongsian pemegang taruh. Kita harus mengambil perhatian terhadap komitmen Malaysia ke arah pembangunan terangkum atau pembangunan inklusif serta Agenda Global 2030 yang merangkumi 17 matlamat pembangunan lestari yang saling terkait. Penyelidikan dalam bidang ekonomi, sosial, kesihatan dan alam sekitar hendaklah menghasilkan dasar yang berasaskan bukti. Lebih penting lagi, data yang dikumpul hendaklah boleh dicapai oleh pihak berkepentingan yang berkaitan

Kerajaan telah memutuskan untuk melanjutkan perintah kawalan pergerakan selama dua minggu lagi dari 14 hingga 28 April 2020 untuk memastikan pandemik ini terkawal.

Kita harus menggunakan tempoh lanjutan ‘tinggal di rumah’ ini untuk terlibat secara intelektual mengenai pelbagai isu mendesak, dan membuat rancangan untuk menangani cabaran yang akan datang.

Marilah kita bersama-sama mengatasi krisis Covid-19, dan membina semula masyarakat dan masa depan kita!

Prof Dato’ Dr Rashila Ramli, presiden PSSM
Prof Madya Dr Sity Daud, timbalan presiden PSSM
serta jawatankuasa kerja
Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM)

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments