Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek Sama) memberi peringatan bahawa krisis politik di Negeri Sembilan berpunca daripada ketidakserasian antara sistem pilihan raya kita yang lapuk dengan landskap politik yang kini terbahagi.
Jika kedua-dua tidak berubah, maka krisis sebegini mungkin berulang pada masa depan.
Pembentukan kerajaan campuran menjadi satu keperluan apabila tiada satu parti pun memenangi majoriti. In perkara lumrah dalam sistem demokrasi berparlimen yang matang. Di negara yang mengamalkan sistem pilihanraya perwakilan berkadar (proportional pepresentation), parti-parti politik boleh membentuk gabungan pasca-pilihan raya tanpa perlu menuntut pengundi menyokong sekutu mereka dalam pilihan raya.
Di bawah sistem pilihan raya kita first-past-the-post (FPTP), parti-parti memilih untuk membentuk gabungan tetap (permanent coalition) atau pakatan pilihan raya, dan menyeru penyokong mereka untuk mengundi sekutu mereka. Pengundi merasa dikhianati apabila sekutu berpaling tadah.
Ini yang berlaku di Negeri Sembilan apabila pengundi diseru mengundi Umno sebagai sekutu Pakatan Harapan dan kini Umno meninggalkan PH, dan dalam Langkah Sheraton apabila pengundi mengundi Bersatu sebagai sebahagian daripada PH dan kemudian Bersatu berpaling tadah.
Dalam kedua-dua kes Negeri Sembilan dan Langkah Sheraton, ini merosakkan kepercayaan awam dan memerlukan perubahan segera dari segi minda, amalan serta sistem politik itu sendiri.
Langkah Sheraton telah menghasilkan sebahagian daripada pengubahsuaian yang diperlukan – undang-undang anti-lompatan parti di peringkat persekutuan dan negeri yang telah menyekat pembelotan individu oleh wakil-wakil rakyat secara besar-besaran untuk menjatuhkan sebuah kerajaan.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Sekiranya Umno-Barisan Nasional bertanding sebagai sebahagian daripada gabungan kekal bersama PH dengan logo sama dalam pilihanraya negeri 2023, undang-undang anti-lompat parti Negeri Sembilan mungkin pun telah mencetuskan 14 pilihan raya kecil.
Krisis politik Negeri Sembilan menyerlahkan keperluan untuk mencari penyelesaian terhadap punca kemarahan pengundi yang lebih rumit: tindakan sesebuah parti keluar secara beramai-ramai daripada pakatan pilihan raya dan perkongsian kuasa.
Cabaran utama di depan mata kita ini adalah bagaimana pengundi boleh tidak dipaksa untuk menyokong sesebuah parti (B) yang mereka tidak percayai, tanpa menghalang parti pilihan mereka (A) daripada membentuk kerajaan bersama B selepas pilihan raya.
Di bawah sistem FPTP, ramai pengundi terhimpit dalam dilema: sama ada terpaksa mengundi sekutu yang tidak diingini, atau tidak turun mengundi langsung.
Kedua-dua pilihan ini menghimpit kuasa politik pengundi. Mengatasi dilema ini akan menguntungkan semua parti politik dan memperkasakan demokrasi kita.
Cara penyelesaian secara institusi adalah dengan menambah kerusi perwakilan berkadar senarai tertutup (CLPR) di atas kerusi FPTP yang sedia ada. Ini akan memberikan pengundi dua undi: satu untuk calon tempatan, dan satu untuk mana-mana parti di peringkat negeri.
Sebagai contoh, di Negeri Sembilan, jika 12 kerusi CLPR ditambahkan kepada 36 kerusi FPTP, berdasarkan peratusan undi 2023 (PH 39%, BN 38%, PN 22%), ini akan menghasilkan pengagihan sebegini rupa: PH (5), BN (5), PN (2).
Keputusan dengan jurang kerusi yang kecil ini pastinya akan mendorong peningkatan jumlah pengundi kerana pengundi boleh menyokong parti pilihan mereka (A) melalui kertas undi CLPR tanpa mengira siapa calon di kawasan tempatan mereka.
Ini akan memaksa setiap parti untuk berusaha meraih kepercayaan penyokong parti sekutu, dan bukannya sekadar bergantung kepada kerjasama gabungan untuk menang.
Dengan itu, mana-mana parti yang mempertimbangkan untuk ‘bercerai’ selepas pilihan raya akan terpaksa berfikir panjang, memandangkan mereka tidak lagi boleh menuai undi rakan sekutu dengan mudah.
Pindaan Perkara 116 dan 117 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan CLPR merupakan tugas yang sukar, namun dialog ini perlu mula sekarang.
Kebimbangan bahawa sistem seumpama ini akan mendalamkan lagi polarisasi politik Malaysia wajar ditangani melalui perdebatan awam yang serius dan berasaskan fakta, dan bukan dengan penolakan idea baru atas emosi.
Sehingga reformasi tersebut dilaksanakan, Projek Sama menggesa perkara berikut:
Untuk parti politik: Elakkan daripada memasuki gabungan kekal atau menolak secara mutlak kemungkinan perkongsian kuasa secara mutlak dengan parti-parti tertentu melainkan mereka yakin penuh janji tersebut mampu ditepati.
Parti politik atau gabungan harus memilih pakatan pilihan raya yang terhad dengan parti yang lebih serasi di mana sesetengah pertandingan pelbagai penjuru dibenarkan, sekali gus menyajikan pilihan untuk pengundi.
Untuk pengundi: Tindakan tidak mengundi tidak akan mengurangkan kekecewaan, sebaliknya hanya mengurangkan kuasa politik pengundi.
Pilihan yang terbaik adalah sekiranya parti pilihan (A) bertanding di kawasan mereka, undilah parti tersebut; namun, jika hanya parti (B) yang merupakan sekutu parti (A) bertanding, maka pengundi perlu meneliti secara kritis kredibiliti parti (B) tersebut.
Kerajaan Negeri Sembilan mestilah mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan undangan negeri. Ini boleh dicapai melalui majoriti dari satu gabungan, atau melalui kerajaan campuran untuk mencapai majoriti, atau melalui kerajaan minoriti yang mendapat sokongan daripada sebahagian ahli pembangkang melalui perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence and supply agreement).
Segala pertukaran kerajaan harus berlaku melalui undi percaya atau undi tidak percaya (vote of confidence or no confidence) yang rasmi. Paling penting, sebarang halangan terhadap proses demokrasi ini tidak boleh berlarutan melebihi enam bulan, yang mana selepas itu dewan undangan negeri akan terbubar secara automatik bagi memberi laluan kepada pilihan raya baharu.
Susulan daripada penarikan diri 14 ahli dewan negeri Barisan Nasional daripada kerajaan pimpinan PH, pilihan demokrasi adalah jelas: sama ada pembentukan kerajaan baharu yang mencerminkan imbangan kuasa terkini, atau pilihan raya awal.
Walaupun kedua-dua jalan ini dibenarkan oleh perlembagaan, ahli politik harus sedar bahawa pengundi akhirnya akan menilai keabsahan tindakan mereka.
Meskipun Perkara 10 Perlembagaan Negeri Sembilan (UUTKNS) memberi kuasa kepada Undang Yang Empat untuk memanggil Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berundur atau turun takhta, dua syarat perlu dipenuhi dahulu:
(a) asas spesifik – seperti didapati mempunyai kecacatan serius yang menjejaskan sifat-sifat kelayakan baginda, mempunyai sifat yang tidak membolehkan baginda kekal menurut hukum Syarak, atau dengan sengaja mengingkari peruntukan Perlembagaan Negeri; dan
(b) siasatan yang penuh dan lengkap
Memandangkan syarat-syarat ini jelas tidak dipenuhi, Tuanku Muhriz ibni Tuanku Munawir kekal sebagai Ketua Negeri yang sah.
Tatkala Malaysia sedang berhadapan dengan krisis ekonomi global ekoran peperangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, semua pihak dan institusi mestilah bertindak dengan penuh tanggungjawab.
Rakyat Malaysia berhak menikmati kestabilan, yang bukan bermaksud ketiadaan perubahan. Sebaliknya, pengekalan ketentuan dan kepercayaan awam dalam mendepani perubahan yang diperlukan.
Bagi mencapai kestabilan, kita harus sentiasa meneliti pembentukan institusi dan corak tingkah laku demi menghapuskan insentif yang salah – Projek Sama
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


