Koronavirus: Kenapa rakyat dipaksa tanggung sendiri kerugian dan kehilangan pendapatan?

0
1 view

Kenapa enggan menghulurkan bantuan secara langsung, tanya WH Cheng.

Rakyat jelata pada keseluruhannya merasa amat dukacita di atas pengumuman kerajaan Perikatan pimpinan Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang mengatakan pengeluaran selama enam bulan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dibenarkan – manakala para peniaga yang terpaksa menanggung kerugian perniagaan akibat perintah kawalan pergerakan akan ditawarkan pinjaman mudah yang disediakan oleh beberapa bank beserta dengan kemudahan bayar balik dalam tempoh yang lebih panjang.

Persoalan di sini adalah kenapa kerajaan ini menyeru rakyat jelata agar menanggung sendiri kesemua kerugian dan kehilangan punca pendapatan akibat daripada wabak koronavirus dan perintah kawalan pergerakan ini?

Kenapa kerajaan enggan menghulurkan bantuan kewangan secara langsung kepada rakyat jelata sebaliknya memaksa penggunaan wang simpanan persaraan dan penanggungan kemudahan pinjaman daripada bank?

Ini jelas menunjukkan kerajaan tidak serius dalam membantu menangani masalah rakyat dan dari segi “menawarkan bantuan kewangan” kerajaan ini juga dilihat tidak ikhlas dalam perkara ini.

Daripada menyeru rakyat agar mengeluarkan simpanan mereka sendiri daripada KWSP dan memohon kemudahan pinjaman daripada beberapa buah bank yang menyediakannya, kenapa tidak kerajaan ini memberikan bantuan secara langsung dengan membatalkan pembayaran cukai pendapatan daripada tahun 2019 hinggalah 2020?

Selain daripada itu, kerajaan juga boleh meluaskan bantuan langsung kepada rakyat dengan pengurangan cukai tanah, cukai taksiran, cukai jalan, menambah subsidi minyak dan mengarahkan agar kadar yang dikenakan terhadap pinjaman bank dimansuhkan bagi tahun 2020.

Perlaksanaan saringan kesihatan kemudahan perubatan secara percuma juga boleh ditawarkan kepada rakyat jelata dalam perkara ini.

Apa kata tawaran kemudahan pengangkutan awam secara percuma kepada rakyat?

Masalah utama dan persoalan di sini adalah kenapa kerajaan masih berdolak-dalik dan kurang ikhlas dalam soal membantu rakyat jelata dengan menggunakan dana langsung daripada kerajaan?

READ MORE:  Covid-19: Why do some patients fare so badly?

Rizab Negara mempunyai jumlah simpanan sebanyak RM400bn banyaknya.

Tambahan pula, rakyat jelata sebelum ini juga telah banyak membantu kerajaan dengan pembayaran cukai pendapatan mereka pada setiap tahun.

Tengoklah di negara-negara lain yang berhampiran dengan Malaysia, kesemua kerajaan di negara masing-masing menghulurkan bantuan secara langsung kepada rakyat mereka yang menderita akibat serangan wabak tersebut serta langkah perintah kawalan pergerakan yang dikenakan dalam negara-negara tersebut – tetapi di Malaysia, rakyat menerima sebaliknya, dipaksa menanggung sendiri penderitaan tersebut.

Presiden dan menteri kabinet Korea Selatan bersetuju memulangkan 30% gaji mereka bagi membantu meringankan bebanan rakyat.

Perdana Menteri dan menteri kabinet Singapura bersetuju agar gaji sebulan mereka dipotong untuk menabung bantuan bencana wabak tersebut.

Kerajaan Indonesia telah memansuhkan kutipan cukai pendapatan selama enam bulan terhadap rakyat negara itu, manakala perdana menteri dan menteri kabinet Thailand manawarkan gaji sebulan mereka untuk membantu rakyat mereka.

Akan tetapi di negara kita, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan menteri kabinetnya berdiam diri dalam perkara ini, sebaliknya membentuk sebuah tabung menyeru agar rakyat menghulurkan derma kepada kerajaan.

Selepas itu, dengan nada yang bangga kerajaan menyeru rakyat jelata agar mengeluarkan wang simpanan persaraan mereka selama enam bulan bagi menanggung kos akibat kehilangan punca pendapatan serta mendapatkan kemudahan pinjaman daripada bank bagi meringankan kerugian kehilangan perniagaan.

Lebih-lebih lagi, kerajaan ini menyeru kita agar minum air suam sahaja bagi menghindarkan serangan wabak tersebut. Lepas itu, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri negeri-negeri yang bukan dari Perikatan Nasional pula tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas bencana wabak negara di Putrajaya (supaya mereka tidak mendapat makluman yang sewajarnya?).

READ MORE:  Coronavirus: Projected outbreak trajectory in Malaysia

Yang memburukkan lagi keadaan, kerajaan telah menarik balik peruntukan tahunan yang sepatutnya disalurkan kepada ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan dan Bersatu yang pro-Mahathir.

Yang kami dapat maklum adalah ahli parlimen Shah Alam terpaksa mengeluarkan wang sebanyak RM60,000 daripada simpanannya sendiri bagi membantu rakyat di kawasan parlimennya dalam menghadapi keadaan tersebut oleh kerana peruntukan tahunan parlimen beliau telah ditarik balik oleh kerajaan sekarang.

Sekali lagi kami ingin mempersoal motif kerajaan ini, kenapa dengan mereka ini? Kenapa enggan menghulurkan bantuan secara langsung? Kenapa membatalkan peruntukan tahunan ahli-ahli parlimen yang bukan di pihak kerajaan? Kenapa merahsiakan dana kerajaan yang sebenarnya daripada umum? Apakah agenda sebenarnya kerajaan ini?

Di harap mendapat penjelasan yang telus, jujur dan tepat daripada kerajaan ini. Ini jika kerajaan tersebut adalah benar-benar ikhlas.

24 March 2020

Sumber: g-socialaffairs.blogspot.com

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments