Kesedihan si ibu gajah, satu amaran buat kita semua – WWF-Malaysia

Elephants wander near the edge of the highway - WWF-MALAYSIA

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Seekor gajah betina mengalami tempoh bunting selama kira-kira 22 bulan dan hanya melahirkan seekor anak pada satu-satu masa.

Ikatan emosi antara ibu dan anak gajah amat mendalam, justeru kehilangan anak adalah satu tragedi yang amat menyayat hati.

Kejadian yang berlaku pada Hari Ibu baru-baru ini di Lebuhraya Timur-Barat Gerik-Jeli benar-benar meruntun perasaan rakyat Malaysia – apabila seekor ibu gajah dilihat berdiri di sebelah lori yang telah melanggar mati anaknya.

Peristiwa pilu ini bukanlah yang pertama, dan ia menyerlahkan keperluan mendesak untuk mempertingkat langkah perlindungan hidupan liar di sepanjang lebuh raya ini yang sememangnya dikenal pasti menjadi lintasan hidupan liar.

Ahli konservasi hidupan liar dan masyarakat prihatin telah lama menyeru penguatkuasaan had laju yang lebih tegas, pencahayaan yang lebih baik, serta pembinaan lintasan khas hidupan liar bagi mengurangkan kemalangan maut yang melibatkan spesies terancam.

Buat masa ini, sudah terdapat satu jejambat khas hidupan liar di lebuhraya ini, namun jelas lebih banyak infrastruktur sebegini diperlukan untuk menjamin keselamatan haiwan yang melintas.

Walaupun papan tanda amaran telah dipasang, ia ternyata belum mencukupi. Kenderaan yang dipandu laju terus mengorbankan gajah, harimau dan pelbagai lagi hidupan liar.

Sudah tiba masanya langkah pencegahan yang lebih konkrit dilaksanakan. Pemasangan bonggol kelajuan di lokasi lintasan hidupan liar mungkin lebih berkesan untuk memaksa pemandu memperlahankan kenderaan. Langkah ini bukan sahaja melindungi hidupan liar, malah menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

WWF-Malaysia turut memuji usaha Jabatan Perhilitan Perak yang sedang membangunkan santuari gajah Perak, yang dijangka siap menjelang 2029. Inisiatif ini bakal menyediakan habitat lebih selamat bagi gajah dan mengurangkan konflik manusia-haiwan.

READ MORE:  Tragedi kemalangan bas: Takziah dan seruan tindakan keselamatan jalan raya

Namun, penyelesaian jangka panjang ini perlu digandingkan dengan tindakan segera di lapangan.

WWF-Malaysia telah berulang kali menyuarakan gesaan agar lintasan hidupan liar dibina dan kesedaran pemandu dipertingkatkan di sepanjang Lebuhraya Timur-Barat Gerik-Jeli. Lebuh raya ini merentasi habitat kritikal hidupan liar iaitu Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor, sekali gus mewujudkan titik pertembungan yang berisiko tinggi antara pembangunan dan wilayah hidupan liar.

Pada tahun lepas, satu kejadian yang menyayat hati turut berlaku di lebuh raya ini apabila seekor harimau Malaya betina yang pernah melahirkan anak mati dilanggar dan ada bahagian anggota badannya diambil oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sejak 2023, enam ekor harimau telah mati akibat dilanggar kenderaan di Malaysia. Statistik ini amat membimbangkan dan seharusnya mendorong kita untuk bertindak dengan segera dan tegas.

Kami menghargai inisiatif kerajaan seperti peruntukan RM200 juta bagi usaha pemuliharaan serta kajian terhadap pembinaan lintasan hidupan liar dan sistem amaran, namun masa tidak menyebelahi kita. Tindakan tegas dan berani perlu diambil sekarang.

Kita memerlukan lebih daripada sekadar papan amaran. Kita memerlukan jejambat dan terowong lintasan hidupan liar. Kita memerlukan bonggol kelajuan dan infrastruktur untuk memperlahankan trafik.

Kita memerlukan kempen kesedaran yang menyentuh hati dan menyedarkan minda masyarakat. Pengguna lebuh raya harus sedar bahawa jalan ini bukan milik manusia semata-mata – ia turut dikongsi dengan gajah, harimau, tapir dan pelbagai spesies lain yang telah lama mendiami hutan ini sebelum jalan dibina.

Hidupan liar sering kali tidak mempunyai pilihan selain melintasi jalan raya apabila habitat mereka terpecah akibat pembangunan. Gajah, sebagai contohnya, mempunyai ingatan yang kuat dan akan mengembara jauh untuk mencari sumber makanan dan air.

READ MORE:  Tragedi kemalangan bas: Segera pembaharuan keselamatan jalan raya

Di Lebuhraya Gerik-Jeli, seperti juga banyak lebuh raya atau jalan raya lain, pemandu sebenarnya sedang melalui kawasan habitat hidupan liar dan perlu sentiasa berwaspada terhadap kehadiran haiwan yang mungkin melintas.

Ketika lebuh raya kita menembusi hutan-hutan purba, kita mesti belajar untuk hidup bersama dengan hidupan liar yang masih menghuni bumi ini.

WWF-Malaysia menyeru semua pengguna jalan raya di laluan Gerik-Jeli agar sentiasa berhati-hati. Keprihatinan anda boleh mencegah tragedi – buat manusia mahupun haiwan.

Peristiwa ini akan diingati oleh ibu gajah tersebut dan ia meratapi kehilangan anaknya. Maka, janganlah kita lupa kejadian ini.

Tolong pandu dengan cermat dan penuh tanggungjawab. – WWF-Malaysia

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments