Kerajaan persekutuan dan negeri mestilah melindungi hak tanah adat Orang Asli

0
40
File photo

Badan Peguam Malaysia kecewa dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri Perak pada 16 Mei 2019 yang meroboh sekatan yang dibina oleh komuniti Orang Asli Kampung Tasik Cunex Gerik untuk melindungi tanah yang didakwa berada di dalam kawasan tanah adat mereka dan untuk menghalang kemasukan lori balak.

Badan Peguam Malaysia, walau bagaimanapun, menyambut baik kenyataan segera daripada ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Juli Edo, yang dilaporkan telah mempertahankan sekatan Orang Asli itu dan berkata bahawa tindakan tersebut “bukan menentang pembangunan yang dirancang oleh pihak kerajaan tetapi hanya berusaha untuk mempertahankan hak dan warisan masyarakat Orang Asli di penempatan berkenaan”.

Adalah sangat dikesali, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu telah mewajarkan perobohan sekatan itu, serta berkeras mengatakan bahawa kedua-dua sekatan dan pembalakan dibuat di atas tanah negeri dan bahawa kegiatan pembalakan tersebut telah mematuhi undang-undang.

Kebimbangan khusus Badan Peguam Malaysia adalah alasan beliau bahawa kerajaan masih belum mengiktiraf kawasan tersebut sebagai tanah adat seperti yang didakwa oleh penduduk kampung itu.

Berasaskan kenyataan yang dilaporkan tersebut, kewajaran rujukan undang-undang yang dibuat oleh menteri besar itu kelihatan berdasarkan maklumat yang salah, dan boleh dikatakan mengelirukan, memandangkan mahkamah atasan Malaysia telah mengiktiraf hak common law Orang Asli kepada tanah yang telah mereka duduki, diami atau gunakan sejak turun temurun dari segi sejarah dan secara tradisi – tanpa memerlukan suatu perintah eksekutif yang rasmi untuk “mengiktiraf” hak tersebut (lihat Kerajaan Negeri Johor v Adong Bin Kuwau [1998] dan Kerajaan Negeri Selangor v Sagong Bin Tasi [2005]).

Kenyataan menteri besar itu menimbulkan kebimbangan yang serius mengenai sama ada tindakan kerajaan negeri Perak adalah munasabah dalam hal keadaan tersebut dan telah mengambil kira pertimbangan yang wajar mengenai sama ada komuniti Orang Asli Kampung Tasek Cunex Gerik telah memperoleh hak tanah adat di bawah common law terhadap tanah yang berkenaan.

READ MORE:  Orang Asli land: Patriot applauds Putrajaya for suing Kelantan government

Hak common law sedemikian boleh wujud walaupun terdapat ketentuan daripada kerajaan mengenai sesuatu kawasan sebagai rizab (lihat Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli v Mohamad Bin Nohing (Batin Kampung Bukit Rok dan rayuan lain [2015]) dan, apabila hak-hak ini wujud, sesebuah kerajaan negeri adalah di bawah kewajipan fidusiari untuk melindungi tanah Orang Asli yang terlibat dengan, antara kaedah-kaedah lain, perizaban (lihat Kerajaan Negeri Selangor v Sagong Bin Tasi [2005]).

Adalah juga jelas bahawa negeri Perak tidak terkecuali daripada pengiktirafan common law mengenai hak tanah adat Orang Asli (lihat Kong Chee Wai lwn Pengarah Tanah Dan Galian Perak [2016], yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan dalam Kong Chee Wai & Anor v Pengarah Tanah dan Galian Perak [2016]).

Dalam nada yang lebih positif, Badan Peguam Malaysia menyambut baik lapan resolusi mengenai tanah adat Orang Asli yang diterima di Konvensyen Orang Asli Kebangsaan yang dianjurkan oleh kerajaan persekutuan pada April 2019.

Dua daripada resolusi itu adalah:

  • untuk mengiktiraf hak Orang Asli terhadap tanah pusaka mereka
  • untuk menjamin dan melindungi tanah Orang Asli, termasuklah mewartakan tanah dan mengenakan moratorium ke atas apa-apa pertikaian sementara menunggu proses pewartaan.

Dengan adanya kemungkinan penyelesaian isu hak tanah Orang Asli yang berpanjangan, adalah mengkhuatirkan yang kerajaan negeri Perak masih tidak mempertimbangkan hak tanah adat Orang Asli sepenuhnya seperti yang telah diiktiraf oleh mahkamah Malaysia – dan, yang mungkin lebih membimbangkan, mengambil tindakan yang bertentangan dengan perlindungan tanah-tanah lain yang berpotensi tertakluk kepada hak tanah adat Orang Asli.

Badan Peguam Malaysia mengulangi seruan kami kepada kerajaan negeri Perak — yang dibuat di dalam kenyataan media kami yang bertarikh 26 Februari 2019 — untuk:

  • menggantung semua aktiviti pembalakan di kawasan yang berpotensi bertindih dengan tanah yang dikatakan tanah adat Orang Asli Kampung Tasik Cunex Gerik
  • menyiasat dan menyelidik tanah yang didakwa tersebut bersama dengan Orang Asli Kampung Tasik Cunex Gerik dan – dalam situasi Orang Asli memiliki hak tanah adat di bawah common law – untuk merizabkan semua tanah sedemikian atas nama komuniti Orang Asli
READ MORE:  Peka kecewa dengan penahanan reman tiga Orang Asli di Gerik

Lebih umumnya, Badan Peguam Malaysia mengulangi seruannya kepada kerajaan persekutuan dan negeri untuk:

  • mengenakan, sebagai tindakan interim, suatu moratorium ke atas pewujudan kepentingan terhadap mana-mana tanah dan sumber, dan ke atas penerusan pengeluaran sumber dan aktiviti penguatkuasaan di dalam kawasan yang didakwa sebagai kawasan adat Orang Asli, sementara menunggu penyelesaian tuntutan kawasan adat komuniti Orang Asli yang terjejas
  • melaksanakan 18 syor yang terkandung di dalam Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asli/Asal di Malaysia 2013 oleh Suhakam
  • mengambil semua langkah yang berpatutan, termasuklah tindakan perundangan — melalui perundingan dan kerjasama dengan Orang Asli — untuk mencapai semangat dan niat Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asli 2007 (United Nations Declaration on the Rights of Indigenous Peoples 2007)

Abdul Fareed Abdul Gafoor adalah yang dipertua Badan Peguam Malaysia.

This piece is reproduced from here and has been edited for style only. 

Thanks for dropping by! Apart from the views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed, the opinions in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation of whatever amount you can afford to sustain Aliran. Please make payments to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.

And why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.

Join the conversation

avatar
750
  Subscribe  
Notify of