Keputusan Mahkamah Persekutuan selari dengan Perlembagaan Persekutuan

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini merupakan keputusan yang amat penting dan signifikan

Sisters in Islam (SIS) menyambut baik keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengisytiharkan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 sebagai tidak berperlembagaan dan menetapkan bahawa kuasa untuk menggubal undang-undang jenayah terletak kepada Parlimen dan bukan kepada dewan undangan negeri.

Keputusan ini tidak sekali-kali dilihat sebagai menghina agama Islam atau merendahkan umat Islam ataupun kedudukan institusi agama ataupun Majlis Raja-raja.

Sebaliknya keputusan Mahkamah Persekutuan ini menjelaskan tentang proses penggubalan undang-undang, khususnya undang-undang jenayah syariah yang dilihat bertentangan dengan semangat federalisme yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama dan tertinggi di Malaysia.

Keputusan sebulat suara yang dicapai oleh Mahkamah Persekutuan tersebut juga menyatakan bahawa dewan undangan negeri tidak boleh menggubal undang-undang yang tidak termasuk di bawah bidang kuasanya sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Jadual ke-9, Senarai Negeri.

Mahkamah juga menyatakan frasa “the precepts of Islam” tidak memberi kuasa mutlak kepada dewan undangan negeri untuk menggubal apa-apa sahaja undang-undang Islam tanpa had.

Sebagai salah satu dari cabang penting kerajaan, mahkamah mempunyai kuasa untuk menyemak dan membatalkan mana-mana peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan atau undang-undang yang digubal secara salah oleh badan perundangan (legislatif).

Keputusan Mahkamah Persekutuan ini merupakan keputusan yang amat penting dan signifikan memandangkan komuniti LGBTQ di Malaysia masih lagi tidak diterima oleh orang ramai dan seringkali menjadi mangsa salah guna kuasa oleh pelbagai pihak seperti penguatkuasa agama dan pihak berkuasa yang lain.

Isu penganiayaan oleh penguatkuasa agama di bawah undang-undang jenayah syariah telah menyebabkan diskriminasi, penghinaan, keganasan dan ketidakadilan seperti serbuan di premis-premis peribadi (seperti di rumah persendirian, di bilik hotel dan lain-lain).

READ MORE:  Kebebasan media dihukum, kebebasan rakyat disekat

Ini dapat dilihat di dalam kes dua orang wanita yang telah dijatuhi hukuman sebat sebanyak enam kali di hadapan lebih dari 150 orang di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada tahun 2018 atas kesalahan percubaan melakukan hubungan musahaqah (hubungan seksual antara perempuan).

Ketidakadilan yang dilakukan oleh penguatkuasa agama ini juga dapat dilihat apabila tertuduh sukar untuk mendapat khidmat peguam di mahkamah kerana mereka ditangkap atas sebab jenayah yang terkait dengan agama. Disebabkan ini, ramai yang memilih untuk mengaku salah tanpa perbicaraan bagi mengurangkan rasa malu dan hina akibat pendakwaan di bawah undang-undang Islam.

Komuniti LGBTQ juga sentiasa menjadi mangsa kenyataan-kenyataan yang berbaur negatif oleh pihak berkuasa, dan lebih banyak lagi kenyataan yang tidak benar dinyatakan, lebih banyak keganasan yang akan berlaku terhadap komuniti ini. Ini akan menyebabkan stigma dan diskriminasi.).

Akhir kata, undang-undang Islam yang digubal oleh mana-mana kerajaan di mana-mana negara termasuk Malaysia bukanlah berunsur ‘divine’ atau ilahi.

Undang-undang Islam yang ada di negeri-negeri di Malaysia adalah dari usaha pemahaman dan tafsiran manusia tentang Al-Qur’an yang kemudian dijadikan sebagai undang-undang yang digubal melalui proses penggubalan di dalam dewan undangan negeri.

Segala pindaan atau perubahan atau pengkajian semula undang-undang Islam tersebut tidak bererti bahawa agama Islam diperkotak-katikkan. Adalah mustahil bagi keyakinan dan keimanan kita sebagai umat Islam begitu lemah sekali sehinggakan kita meletakkan sumber kekuatan umat Islam semata-mata ke atas undang-undang Islam, mahkamah syariah dan institusi Islam yang sedia ada.

Nilai kita sebagai masyarakat dan umat Islam juga adalah terserlah pada keseluruhan undang-undang yang ada termasuklah Perlembagaan Persekutuan. Nilai-nilai keislaman seperti keadilan, martabat dan kasih sesama manusia masih boleh diangkat oleh sistem perundangan Islam juga sivil.

READ MORE:  Cabaran kehakiman Ordinan Darurat 2021 - Apa yang perlu anda tahu?

Keputusan mahkamah ini tidak melemahkan Islam di Malaysia, ianya meluruskan sistem perundangan yang kita ada selari iaitu Islam dan sivil, di mana sebelum ini terdapat beberapa ketidakpastian.

Penjelasan yang telah diberikan oleh Mahkamah Persekutuan ini akan membawa kita lebih dekat kepada keadilan dan rakyat Malaysia adalah lebih saksama di bawah undang-undang negara. – SIS

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.