Kemalangan tragis pelajar UPSI: Gerak menyeru agar satu usaha bersepadu digerakkan

AI-GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Pergerakan Akademik Malaysia (Gerak) merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada ahli keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan tragis kelmarin, serta kepada seluruh warga UPSI.

Ingatan dan doa kami sentiasa mengiringi ahli keluarga mangsa dalam menghadapi waktu yang amat mendukacitakan ini.

Gerak menggesa siasatan telus dan menyeluruh terhadap tragedi bas yang mengorbankan 15 pelajar UPSI mesti dilancarkan segera. Siasatan perlu merungkai keadaan lebuh raya dan keselamatan jalan raya yang berbahaya, cabaran kesesakan kenderaan negara, serta sikap sambil lewa dalam penguatkuasaan peraturan oleh pihak polis trafik dan pegawai keselamatan jalan raya lain.

Sejak mutakhir ini, negara terlalu kerap dikejutkan dengan insiden kemalangan jalan raya yang meragut nyawa dan menyebabkan kecederaan parah, dengan statistik yang menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.

Statistik terkini menunjukkan bahawa di Malaysia, setiap 1 jam 56 minit seorang nyawa terkorban dalam kemalangan jalan raya. Di Malaysia, kemalangan jalan raya berlaku setiap 50 saat.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia berada di kedudukan kedua tertinggi dalam indeks kematian jalan raya, merekodkan 23.7 kematian bagi setiap 100,000 penduduk, di belakang Thailand.

Peningkatan kecuaian manusia, kemarahan di jalan raya, penguatkuasaan peraturan yang lemah, dan keadaan jalan yang buruk adalah faktor penyumbang utama.

Gerak percaya bahawa kemalangan maut dan kecederaan parah sebegini boleh dicegah. Ia bukanlah sekadar nasib, tetapi sering kali berpunca daripada kegagalan sistemik yang memerlukan penyelesaian menyeluruh.

Gerak menggesa agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan pengangkutan darat, baik persendirian mahupun komersial, untuk mengambil tindakan segera dan komprehensif bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini.

Pada Disember 2024, jawatankuasa kabinet mengenai keselamatan jalan dan kesesakan lalu lintas meluluskan peruntukan RM463 juta untuk memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam.

READ MORE:  Tragedi kemalangan bas: Takziah dan seruan tindakan keselamatan jalan raya

Gerak mencadangkan agar sebahagian besar peruntukan ini disalurkan kepada inisiatif keselamatan jalan raya. Pembuat dasar mesti sedar bahawa jutaan ringgit yang telah diperuntukkan bukan sekadar untuk membincangkan pelaksanaan caj kesesakan atau menaik taraf kualiti pengangkutan awam.

Gerak percaya adalah penting kerajaan, termasuk Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan agensi berkaitan lain, menggunakan dana sedia ada untuk menangani krisis peningkatan kematian akibat kemalangan jalan raya.

Ketiadaan penguatkuasaan pemeriksaan kenderaan yang ketat, ujian dadah dalam kalangan pemandu komersial lori, bas dan kenderaan berat lain, serta hukuman terhadap pesalah had laju turut menyumbang kepada peningkatan kematian jalan raya di negara ini.

Beberapa pelajar UPSI yang terselamat mendakwa pemandu bas bertindak cuai dan memecut laju. Keadaan jalan licin dan gelap di laluan tersebut turut menyumbang kepada tahap keterukan kemalangan dan jumlah korban yang tragik.

Gerak menuntut kerajaan memandang serius dan bertindak segera untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di seluruh negara.

Gerak mencadangkan pengembalian penggunaan kotak had laju (pembatasi kelajuan) untuk memastikan kenderaan berat seperti lori dan bas tidak melebihi 90 km/j. Pastikan peraturan ini dikuatkuasakan dengan ketat dan pesalah had laju ditahan serta-merta serta digantung lesen memandu.

Bagi penguatkuasaan peraturan keselamatan jalan raya berkesan, pegawai yang bertugas mesti bebas daripada unsur rasuah dan cuai dalam menjalankan tugas. Pegawai yang korup mesti dikenakan hukuman berat, sama ada denda mahal atau penjara atas kesalahan menerima suapan.

Gerak berpendapat “pegawai yang menerima suapan” adalah penyumbang utama kepada peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia. Amalan ini mesti dihentikan. Tanpa integriti dalam kalangan penguat kuasa, bilangan pesalah jalan raya tidak akan berkurang dan lebih banyak kemalangan maut akan berlaku.

READ MORE:  One crash too many

Kerajaan tidak boleh lagi bersikap reaktif. Sudah tiba masanya untuk kita beralih kepada pendekatan proaktif yang terbukti berkesan di peringkat global.

Sebagai perbandingan, negara maju seperti Australia berjaya mengurangkan kadar kematian jalan raya dengan ketara melalui pendekatan “Sistem Selamat” (Safe System). Falsafah pendekatan ini ialah membina sistem jalan raya yang mampu ‘mengampuni’ kesilapan pemandu. Prinsip terasnya ialah tanggungjawab keselamatan bukan hanya terletak pada pengguna jalan, tetapi dikongsi oleh semua pihak, termasuk perancang jalan, jurutera, pengeluar kenderaan dan pihak berkuasa penguatkuasaan.

Pendekatan Sistem Selamat berteraskan empat tonggak utama.

Pertama, jalan raya dan persekitaran yang selamat. Pihak berkenaan perlu membina jalan raya yang boleh ‘memaafkan’ kesilapan pemandu, seperti memasang penghadang jalan (road barriers) dan reka bentuk persimpangan yang lebih selamat.

Kedua, kelajuan yang selamat. Pihak berkuasa perlu memastikan had laju bersesuaian dengan keadaan jalan, persekitaran dan jenis pengguna jalan raya.

Ketiga, kenderaan yang selamat. Menggalakkan penggunaan kenderaan dengan ciri-ciri keselamatan moden dan memastikan kenderaan komersial diselenggara dengan piawaian tertinggi.

Keempat, pengguna jalan raya yang selamat. Pendidikan dan penguatkuasaan berterusan untuk membentuk tingkah laku pemanduan yang berhemah.

Justeru, Gerak menyeru agar satu usaha bersepadu digerakkan segera antara agensi kerajaan, pihak swasta dan masyarakat sivil untuk merangka dan melaksanakan pelan tindakan keselamatan jalan raya nasional yang berlandaskan prinsip Sistem Selamat ini.

Tragedi yang menimpa pelajar UPSI ini mesti menjadi titik tolak kepada perubahan yang tuntas demi memastikan jalan raya kita selamat untuk semua. – Gerak

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments