Suara Siswa UiTM menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan menjamin peruntukan awam yang mencukupi dan berterusan kepada universiti awam, susulan perkembangan terbaharu berkaitan UiTM Holdings yang, menurut kumpulan itu, mencerminkan masalah lebih besar dalam model pembiayaan pendidikan tinggi.
Kumpulan mahasiswa itu berkata pengakuan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Kadir pada 27 September bahawa kerajaan tidak lagi menanggung sepenuhnya keperluan kewangan universiti sejak 2017 menunjukkan universiti awam semakin didorong mencari sumber pendapatan sendiri, termasuk melalui syarikat pegangan, pelaburan dan kegiatan komersial.
KPT pada masa sama mengakui sebahagian syarikat pegangan universiti tidak berfungsi dengan baik, dan proses meneliti serta menyusun semula syarikat berkenaan telah dimulakan sejak tahun lalu.
Menurut Suara Siswa UiTM, UiTM Holdings tidak wajar dilihat semata-mata sebagai sebuah syarikat yang mengalami masalah kewangan.
KPT sebelum ini mengesahkan kerugian sebelum cukai terkumpul UiTM Holdings sekitar RM157j bagi 2017, 2018, 2019 dan 2021, manakala Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah merekodkan suntikan modal UiTM berjumlah RM260j juta kepada syarikat itu antara 2007 hingga 2018 serta membangkitkan isu pematuhan dan tadbir urus.
Kumpulan itu berkata perkembangan berkenaan perlu dibaca bersama dasar kewangan pendidikan tinggi negara.
Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-25 (PPPM) merekodkan sumbangan kerajaan kepada universiti awam bukan universiti penyelidikan turun daripada 85% perbelanjaan operasi pada 2015 kepada 76% pada 2022, sementara pendapatan dijana sendiri meningkat daripada 21% kepada 22%.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Dokumen itu mengenal pasti kemampanan kewangan sebagai cabaran utama institut pengajian tinggi.
Suara Siswa UiTM berkata keadaan itu menunjukkan universiti awam semakin diletakkan di bawah tekanan untuk mencapai kelestarian kewangan melalui penjanaan pendapatan, termasuk pelaburan, kegiatan komersial, konsultansi dan model perniagaan baharu.
PPPM secara jelas meletakkan penjanaan pendapatan, pendanaan berasaskan prestasi dan model perniagaan inovatif sebagai sebahagian daripada agenda kelestarian kewangan institusi. [Hala tuju ini diteruskan dan diperkukuh dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-35.]
“Kami melihat persoalan UiTM Holdings sebagai sebahagian daripada masalah korporatisasi pendidikan tinggi,” kata kumpulan itu.
“Apabila pembiayaan awam dikurangkan, risiko kewangan tidak hilang, tetapi dipindahkan kepada universiti untuk ditanggung melalui pasaran dan akhirnya kepada mahasiswa melalui pelbagai bentuk kos pendidikan dan sara hidup.”
Suara Siswa UiTM menggesa kerajaan mengembalikan pembiayaan awam sebagai asas utama kewangan universiti, dengan peruntukan KPT dan Kementerian Kewangan yang mencukupi untuk menanggung fungsi teras seperti pengajaran, penyelidikan, penyelenggaraan kampus dan kebajikan mahasiswa tanpa memaksa universiti bergantung kepada keuntungan aktiviti komersial.
Kumpulan itu turut menyeru supaya yuran dan kos wajib pendidikan dikurangkan secara berperingkat sehingga pendidikan tinggi awam dapat dinyahkomodifikasikan.
Kumpulan mahasiswa itu turut menuntut supaya sebarang penyusunan semula UiTM Holdings tidak berakhir dengan sekadar mencari model perniagaan baharu atau menutup kerugian melalui suntikan dana awam tanpa perubahan struktur.
Ia mahu kerajaan menilai semula aktiviti komersial universiti berdasarkan kepentingan pendidikan dan masyarakat, di samping memastikan pekerja universiti tidak menjadi pihak yang menanggung kesan penstrukturan.
Dalam perkembangan berasingan, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia mengesahkan siasatan terhadap UiTM Holdings masih berjalan dan melibatkan isu teknikal serta kelemahan tadbir urus, termasuk dakwaan pembayaran RM42j berkaitan projek solar 50MW di Gambang, yang dikatakan dibuat tanpa kelulusan lembaga pengarah dan bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek.
Suara Siswa UiTM berkata sebarang pertuduhan jenayah hendaklah tertakluk kepada hasil siasatan dan proses undang-undang, namun isu tadbir urus dan model pembiayaan universiti boleh dipersoalkan secara berasingan.
“Universiti awam tidak sepatutnya dipaksa menjadi perusahaan yang mencari keuntungan untuk membiayai fungsi awamnya,” kata kumpulan itu.
“Peruntukan pendidikan ialah tanggungjawab negara, manakala kekayaan dan aset universiti harus diprioritikan untuk mahasiswa, pekerja, pengajaran, penyelidikan dan kepentingan masyarakat.” – Suara Siswa UiTM
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


