Jabatan Imigresen perlu menghormati perintah mahkamah

Edict berharap pengarah Jabatan Imigresen akan dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi prosiding penghinaan mahkamah

Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (Edict) mengecam tindakan Jabatan Imigresen yang menghantar pulang lebih 1,000 orang pelarian berasal dari Myanmar pulang ke negara asal mereka tanpa menghiraukan perintah interim mahkamah yang telah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Februari.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mariana Yahya telah mengeluarkan perintah interim kepada kerajaan Malaysia dan Jabatan Imigresen pada 23 Februari untuk menangguhkan penghantaran pulang warganegara Myanmar tersebut sehingga kes berkenaan warganegara Myanmar didengar dan diputuskan mahkamah.

Jabatan Imigresen yang telah pun mengetahui mengenai perintah itu tetap meneruskan proses penghantaran pulang dengan menyerahkan para tahanan tersebut kepada kerajaan junta Myanmar beberapa jam selepas perintah itu dikeluarkan. 

Edict berasa sangat kecewa dengan sikap pengarah Jabatan Imigresen yang tidak menghormati sistem perundangan negara kerana mengabaikan perintah mahkamah tersebut.

Jabatan Peguam Negara yang dilaporkan telah hadir semasa perbicaraan kes ini seharusnya menasihatkan Jabatan Imigresen berkenaan prosiding berkenaan penghantaran balik warganegara Myanmar tersebut serta meminta mereka untuk menghormati sebarang perintah mahkamah berkenaan proses penghantaran pulang warganegara Myanmar tersebut.

Lebih membimbangkan, status kesemua tahanan warganegara Myanmar tersebut tidak diketahui sama ada mereka adalah pemohon suaka dan pelarian. Kerajaan seharusnya membuat pengesahan dengan pihak UNHCR [UN High Commissioner for Refugees] terlebih dahulu.

Kami berharap pengarah Jabatan Imigresen akan dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi prosiding penghinaan mahkamah berkenaan keputusannya meneruskan proses penghantaran balik warganegara Myanmar itu tanpa menghiraukan dan menghormati perintah Mahkamah Tinggi yang menegah proses penghantaran balik tersebut.

Edict menyarankan agar kerajaan Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang menghormati “due process of law” akan memastikan bahawa apa-apa perkara yang melanggari undang-undang serta “rule of law” tidak akan berulang lagi di masa hadapan. – Edict

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.