Hentikan larangan transgender memasuki masjid

64 views

Sisters in Islam (SIS) bimbang dengan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh Ashab Al Samahah Mufti berkenaan dengan isu transgender berikutan fatwa yang melarang transgender daripada memasuki masjid oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis baru-baru ini.

Kami menghimbau semua pihak terutamanya para mufti dan badan berkuasa agama agar menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara yang menjamin hak semua rakyat Malaysia, termasuk transgender.

Kami menegaskan bahawa fatwa dan kenyataan yang dikeluarkan oleh para mufti akhir-akhir ini sangat berbahaya dan boleh mengundang rasa tidak selamat khususnya kepada transgender. Fatwa dan kenyataan-kenyataan itu juga bercanggah dengan:

  • Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan untuk hidup. Gopal Sri Ram (HMP) di dalam kes Tan Teck Seng lwn Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan & 1 Lagi [1996] sewaktu mentafsirkan perkataan ‘life’ di dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan, “… I have reached the conclusion that the expression ‘life’ appearing in Art 5(1) does not refer to mere existence. It incorporates all those facets that are an integral part of life itself and those matters which go to form the quality of life. Of these are the right to seek and be engaged in lawful and gainful employment and to receive those benefits that our society has to offer to its members. It includes the right to live in a reasonably healthy and pollution free environment…”
  • Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin layanan saksama tanpa diskriminasi kepada semua orang termasuk transgender
  • Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan untuk bergerak. Transgender tidak lagi bebas dan selamat untuk memasuki masjid setelah fatwa dan kenyataan demi kenyataan dikeluarkan oleh mufti yang pastinya akan mengundang reaksi dari jawatankuasa masjid serta para jemaah
  • Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan berekspresi, termasuk dalam urusan berpakaian
  • Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama termasuk mengamalkan ajaran agama seperti solat berjamaah di masjid, menghadiri aktiviti-aktiviti keagamaan yang dianjurkan di masjid.
READ MORE:  Women's group welcomes mosques as transit centres for domestic violence survivors

Kerajaan harus memandang serius usaha-usaha pencabulan dan penafian hak yang dilakukan oleh
institusi agama, sebuah institusi yang dibiayai oleh wang rakyat termasuk para transgender yang turut sama menyumbang dan membangun negara yang kita cintai ini. Sebarang usaha untuk menafikan hak rakyat adalah suatu usaha subversif dan penghinaan terhadap Perlembagaan Persekutuan sebagai
undang-undang tertinggi Malaysia.

Kami juga ingin mengingatkan bahawa transgender bukanlah sesuatu yang asing dalam tradisi umat Islam. Bahkan negara majoriti Muslim seperti Republik Islam Pakistan telah menggubal dan meluluskan The Transgender Persons (Protection of Rights) Act 2018, yang mengiktiraf serta melindungi transgender daripada sebarang bentuk diskriminasi.

Di Malaysia pada 1975, Syed Alwi Abdullah, Timbalan Mufti Johor, telah mengahwinkan seorang transgender perempuan Sari Kartina Abdul Karim dengan pasangannya. Menurut Syed Alwi, “Hanya orang-orang yang tidak mengikuti perkembangan ilmu sains yang meluas, tidak akan percaya perkara yang telah terjadi ke atas Cik Kartina itu akan berlaku…”

Mufti Mesir Sheikh Sayyid Tantawi di dalam fatwanya pada tahun 1988 juga membenarkan seorang mahasiswa perubatan Universiti Al Azhar untuk menjalani pembedahan yang membolehkannya bertransisi dari seorang yang berjenis kelamin lelaki kepada perempuan.

Bahkan di dalam fiqh klasik, perbahasan berkenaan transgender atau mukhannats telah disebut di dalam hadith sahih antaranya yang diriwayatkan oleh Aishah RH dan Ummu Salamah RH tentang mukhannats yang dibenarkan masuk ke dalam rumah Nabi SAW dan berteman dengan isteri Nabi SAW.

Imam Nawawi Rahimahullah di dalam Al Minhaj Bi Syarh Sahih Muslim sewaktu menjelaskan hadith
mukhannats telah membahagikan mukhannats kepada dua kategori. Pertama, min ashl khilqah atau secara semulajadi/natural. Kedua, bi al takalluf atau yang di buat-buat semata-mata untuk masuk ke ruangan perempuan dan melihat aurat perempuan.

READ MORE:  Women's group welcomes mosques as transit centres for domestic violence survivors

Tidak terdapat dalil daripada Al-Quran dan Hadith yang melarang seorang mukhannats daripada memasuki masjid.

Justeru fatwa dan kenyataan para Ashab Al Samahah Mufti ini bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan bahkan sangat jauh dari tradisi Islam yang inklusif.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 2019 telah menerbitkan laporan tentang diskriminasi yang terpaksa di hadapi oleh transgender di Kuala Lumpur dan Selangor (Study on Discrimination Against Transgender Person Based in Kuala Lumpur & Selangor) yang menunjukkan transgender bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan diskriminasi dalam pekerjaan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan sektor awam, mereka juga berhadapan dengan gangguan, kekerasan dan penganiayaan oleh orang awam. Kenyataan dan fatwa ini sudah tentu akan membuat situasi ini lebih parah.

Kami sekali lagi berharap para mufti tidak melampaui bidangkuasanya dan menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara yang menjamin bukan sahaja hak kewarganegaraannya bahkan sesiapa sahaja untuk tidak didiskriminasi.

Kerajaan persekutuan dan negeri juga mempunyai tanggungjawab perlembagaan (constitutional duties) untuk melindungi dan memastikan tidak ada undang-undang dan dasar-dasar kerajaan yang menganiaya dan zalim terhadap sesiapa sahaja termasuk transgender. – SIS

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments