Edict tidak berpuas hati dengan penjelasan ibu pejabat Polis Cheras, sokong saranan Majlis Peguam

File photo: themalaymailonline

Merujuk kenyataan yang dikeluarkan ketua Polis Cheras, Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, pada 10 Mac 2021, Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (Edict) ingin menyatakan rasa tidak puas hati terhadap penjelasan beliau mengenai kes kematian dalam tahanan yang dibangkitkan oleh Edict pada 10 Mac.

Beliau menyatakan bahawa tahanan yang berusia 54 tahun itu dikatakan membunuh diri ketika bersendirian di dalam lokap tersebut.

Tidak ada alasan bagi pihak polis untuk tidak memantau keadaan sel yang dilengkapi sistem rakaman CCTV 24 jam baik ketika tahanan bersendirian mahupun tidak. Mengapakah tiada anggota yang ditugaskan untuk memantau CCTV dan pergerakan para tahanan ketika berada di dalam lokap?

Penjelasan beliau mengenai kematian ini amat meragukan, dan pihak Edict tidak dapat menerima alasan tersebut.

Seperti yang pernah ditegaskan dalam kenyataan kami sebelum ini, inkues terhadap kematian tahanan tersebut wajib diadakan segera supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan.

Edict berpandangan, tidak ada sebab bagi sesiapa yang ditahan untuk mati ketika berada di dalam tahanan sekiranya terdapat pemantauan dan pelaksanaan tugas seperti yang diamanahkan.

Dalam perkembangan lain, Edict menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh naib-presiden Majlis Peguam, Surindar Singh, mengenai bantahan Edict terhadap hakim Mahkamah Koroner George Town yang telah bertindak menafikan hak pihak peguam mewakili keluarga daripada menerima dokumen-dokumen berkaitan kes kematian Mohd Fadzrin dalam inkues yang dijadual bermula 9 Mac lalu.

Edict juga menyokong penuh saranan Majlis Peguam Malaysia agar akta koroner segera diwujudkan bagi memastikan perjalanan kes-kes berkaitan kematian dalam tahanan dan Mahkamah Koroner dapat berjalan dengan baik serta teratur mengikut prinsip perundangan. – Edict, 12 Mac 2021

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.