Cabaran kehakiman Ordinan Darurat 2021 – Apa yang perlu anda tahu?

badan perundangan dan kehakiman mempunyai peranan pengawasan yang sama untuk fungsi semak dan imbang yang diperlukan

Photograph: Wikimedia Commons

Tujuh NGO telah mengemukakan saman mewakil kepentingan umum terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Malaysia pada hari ini di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan deklarasi mahkamah tentang isu-isu berkenaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

1. Kenapa fail cabaran kehakiman ini?

Darurat memberikan kuasa sewenang dan tidak terkawal kepada satu cabang kerajaan – eksekutif – serta menghakis hak perlembagaan dan kebebasan asasi rakyat. Kerajaan boleh berbuat apa sahaja dengan menggubal sejumlah ordinan darurat.

Ianya juga kali pertama sidang Parlimen dan dewan undangan negeri telah digantung dengan kelulusan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Penggantungan ini akan memberi kesan buruk kerana wakil rakyat tidak dapat memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan.

Parlimen dan dewan undangan negeri mewakili rakyat dan cabang kerajaan ini adalah ciri asas Perlembagaan Persekutuan. Ordinan Darurat melumpuhkan institusi yang penting dan membungkam rakyat.

Untuk menggalakkan penyertaan orang ramai, kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik, kita sebagai rakyat perlu memantau dan memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan di atas tindakannya supaya keyakinan kita terhadap demokrasi penyertaan (participatory democracy) dipulihkan.

Kita mesti menuntut hak dan ruang untuk menyuarakan pendirian yang berbagai serta kepentingan kita tanpa dicederakan atau diambil tindakan. Tidak seharusnya ada penghakisan hak perlembagaan dan hak asasi kita sebagai rakyat Malaysia.

Justeru, tindakan undang-undang ini adalah untuk mengangkat kedaulatan undang-undang bagi kepentingan awam. Kami ingin mendapatkan panduan kehakiman sama ada Ordinan Darurat kerajaan ini adalah sah ataupun tidak. Ianya akan memanfaatkan semua rakyat Malaysia untuk mengetahui jawapan kepada persoalan ini.

2. Apa yang diharapkan dengan tindakan ini?

Kami mengharapkan satu keputusan, iaitu yang pertama, mahkamah mempunyai kuasa untuk menyemak sebarang percubaan daripada kerajaan yang menghalang peruntukan perlembagaan yang memerlukan ordinan darurat diperbahaskan dan diundi di Parlimen; kedua, supaya Ordinan Darurat ini diisytiharkan tidak sah.

READ MORE:  NGO pohon mahkamah pertimbangkan peranan semak dan imbang badan kehakiman serta Parlimen semasa tempoh darurat

3. Adakah kami sedang mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong?

Tidak. Kami hanya ingin mendapatkan pengisytiharan yang memerlukan badan kehakiman mentafsirkan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan memberikan pandangan berkenaan isu ini. Kami tidak mencabar kuasa yang termaktub untuk Agong untuk mengisytiharkan darurat atas nasihat perdana menteri.

4. Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa proklamasi darurat dan ordinan yang berkaitan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah atau atas apa-apa alasan. Jadi mengapa NGO masih meneruskan tindakan undang-undang ini?

Kami percaya bahawa struktur asas Perlembagaan Persekutuan membahagikan kuasa yang sama kepada semua cabang kerajaan. Ini bermakna bahawa badan perundangan dan kehakiman mempunyai peranan pengawasan yang sama untuk fungsi semak dan imbang yang diperlukan.

Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan memberikan bidang kuasa kepada badan kehakiman untuk mendengar semua kes yang dibawakan ke mahkamah. Ianya adalah ciri asas Perlembagaan.

Oleh yang demikian, Perkara 150(8) yang dilihat membatalkan kuasa mahkamah dan bidang kuasanya adalah tidak berperlembagaan, justeru tidak sah dan terbatal.

Kami juga ingin mendapatkan keputusan kehakiman berkenaan isu ini.

5. Adakah tindakan undang-undang ini akan menyebabkan pembatalan perintah darurat?

Penyelesaian yang dicari adalah pengisytiharan daripada mahkamah terhadap keperlembagaan (constitutionality) Ordinan Darurat. Sekiranya berjaya, kerajaan perlu menghormati dan mematuhi arahan mahkamah. Ini bemakna Ordinan Darurat akan diisytiharkan tidak sah dan terbatal.

Selanjutnya ia bergantung kepada kerajaan tindakan apa yang ingin diambil berkaitan dengan proklamasi darurat.

6. Adakah kami sebagai NGO ada hak untuk memulakan tindakan undang-undang (locus standi)?

Kami yakin kami ada hak. Ini adalah satu tindakan undang-undang berkenaan dengan kedaulatan undang-undang dan kepentingan awam.

READ MORE:  Keputusan Mahkamah Persekutuan selari dengan Perlembagaan Persekutuan

Sebagai NGO yang bekerja untuk memperkukuhkan demokrasi berparlimen dan melindungi ruang sivil di Malaysia, peranan kami untuk mengawasi dan sebagai aktivis telah dinafikan dengan penguatkuasaan Ordinan Darurat.

Penggantungan Parlimen akan memberi kesan kepada kemajuan yang dibuat untuk pereformasian undang-undang kerana perbahasan dan proses meluluskan undang-undang ditangguhkan.

Oleh yang demikian, kami percaya bahawa kami mempunyai kedudukan undang-undang (legal standing) untuk mendapatkan penjelasan daripada mahkamah sama ada penggantungan sidang Parlimen dan dewan undangan negeri oleh Ordinan Darurat adalah berperlembagaan kerana keputusan tersebut secara langsung memberi kesan kepada kerja kami.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.