Buku Telenisa: Statistik & Dapatan 2019 mengupas isu yang dihadapi oleh wanita di mahkamah Syariah

0
38 views
Photograph: Juan Pablo Serrano Arenas/Pexels

Telenisa, klinik bantuan guaman di bawah Sisters in Islam (SIS) telah melancarkan buku Telenisa: Statistik & Dapatan 2019 menerusi platform Facebook Sisters in Islam dan Telenisa yang mengupas isu-isu yang dihadapi oleh wanita di mahkamah Syariah.

Beroperasi semenjak tahun 2003, klinik guaman Telenisa telah membantu lebih daripada 10,000 orang wanita dari semua lapisan masyarakat dan merupakan satu-satunya perkhidmatan nasihat undang-undang percuma tanpa bias gender di Malaysia dalam undang-undang Syariah keluarga dan jenayah di Malaysia.

Buku Telenisa: Statistik & Dapatan 2019 ini merupakan usaha kami untuk mengetengahkan realiti hidup golongan wanita menerusi isu-isu yang mereka hadapi di mahkamah Syariah. Isu berterusan yang dihadapi golongan wanita adalah isu nafkah isteri dan anak-anak.

Menurut tinjauan Telenisa, kami menerima 107 kes sepanjang tahun 2019 berkenaan nafkah isteri. Menurut data, 49% suami tidak memberikan nafkah yang secukupnya dan 24% suami tidak memberikan nafkah langsung kerana tidak bekerja.

Nafkah anak juga merupakan isu yang amat membimbangkan kerana ia memerupakan isu yang berterusan semenjak beberapa tahun yang lalu. Dua isu utama tentang nafkah anak adalah si bapa tidak menyediakan nafkah secukupnya pada 52% dan si bapa yang menganggur tidak menyediakan nafkah langsung pada 31%.

Selain itu, tinjauan SIS juga mendapati bahawa perebutan hak penjagaan anak kekal sebagai isu utama apabila ada pembubaran perkahwinan. Pada tahun 2019, Telenisa merekodkan 92 kes melibatkan hak penjagaan anak.

Isu terpenting di antara klien kami adalah hak melawat dengan 88 kes. Klien-klien wanita Telenisa yang baru bercerai dari perkahwinan berpoligami menyatakan bahawa bekas suami mereka tidak bertengkar tentang hak penjagaan anak, tetapi isu hak melawat anak menjadi lebih penting dan utama. Antara 92 kes melibatkan jagaan anak, Telenisa mencatatkan sembilan kes (10%) penculikan oleh ibubapa.

READ MORE:  Apex court allows SIS to challenge Sharia courts' jurisdiction to hear judicial reviews

Telenisa juga menerima kes keganasan rumahtangga dan telah merekodkan sebanyak 199 kes penderaan terhadap wanita pada tahun 2019. Keganasan rumahtangga biasanya digambarkan sebagai kekasaran dan keganasan fizikal.

Namun, keganasan rumahtangga bukanlah bermaksud kekasaran dan keganasan fizikal sahaja tetapi dari segi psikologi, fizikal, kewangan, seksual dan sosial: 47% klien Telenisa mengalami penderaan psikologikal (atau emosi) termasuklah ugutan, mengancam untuk mencederakan, fitnah, dan pengasingan.

Penderaan kewangan meliputi 12% penderaan yang diharungi klien kami. Ini melibatkan perbuatan atau cubaan untuk menjadikan mangsa hanya bergantung penuh kepada si pelaku.

Enam peratus klien Telenisa mengalami keganasan seksual di dalam perkahwinan dan di dalam konteks kekeluargaan termasuklah pemerkosaan di dalam perkahwinan.

Tiga peratus klien Telenisa mengalami pengasingan atau penderaan sosial dalam tahun 2019. Penderaan sosial merupakan sejenis penderaan yang berkait rapat dengan perilaku mengongkong atau mengawal pasangan.

Pada tahun 2019, Telenisa telah merekodkan satu kes rogol dalam perkahwinan. Di bawah undang-undang Malaysia, rogol dalam perkahwinan bukanlah suatu jenayah tetapi seseorang boleh didakwa di bawah undang-undang kerana melakukan keganasan seksual di dalam perkahwinan.

Menurut tinjauan ini lagi, klien Telenisa telah menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap beberapa aspek sistem perundangan Syariah seperti proses perundangan yang lama, mahal dan rumit dalam tuntutan nafkah isteri, harta sepencarian, nafkah anak, penjagaan anak, Mutaah dan lain-lain.

Disebabkan itu, mereka kadangkala rela tidak menuntut hak-hak mereka melalui mahkamah kerana merasakan kosnya sangat tinggi dari segi kewangan mahupun masa. Kebanyakan kes klien kami mengambil masa antara satu hinga lima tahun untuk selesai, 29% tak berpuas hati kerana kes-kes mereka masih berjalan setelah lima hingga 10 tahun dan 4% pula mengadu bahawa kes-kes mereka berjalan melebihi 10 tahun.

READ MORE:  Apex court allows SIS to challenge Sharia courts' jurisdiction to hear judicial reviews

Untuk menangani isu-isu yang dihadapi wanita dan kanak-kanak, SIS mengadvokasikan agar hukuman lebih berat dikenakan ke atas para bapa yang gagal memenuhi tanggungjawab nafkah anak mereka dan agar pihak kerajaan menubuhkan agensi nafkah anak persekutuan untuk menaksir, mengumpul dan melangsaikan nafkah-nafkah tertunggak bagi anak-anak yang ibubapanya telah berpisah atau baru bercerai.

Tujuan agensi ini adalah untuk menyediakan dana yang secukupnya bagi anak-anak, menjadikan nafkah anak sebagai bayaran automatik dan berterusan tanpa memerlukan perintah mahkamah untuk menuntut nafkah dari bapa-bapa yang gagal menyediakannya.

Selain itu, SIS menyarankan agar undang-undang keluarga Islam dipinda dan mewujudkan syarat-syarat yang lebih ketat di bawah undang-undang untuk mewajibkan si suami mengisytiharkan kesemua aset dan tanggungan apabila memohon untuk berpoligami di hadapan mahkamah dan mempertimbangkan keupayaan kewangannya sebelum berkahwin lagi.

Tambahan lagi, perintah mahkamah harus dikeluarkan untuk mengarahkan suami menyediakan nafkah untuk kebajikan isteri yang terdahulu serta anak-anak untuk memastikan bahawa tiada wanita atau anak-anak ditinggalkan tanpa nafkah atau tersisih disebabkan poligami.

SIS juga mengajukan agar lebih ramai wanita diwakili dalam sistem perundangan Syariah. Pengalaman-pengalaman yang dihadapi para wanita serta realiti kehidupan mereka dapat menawarkan suatu naratif yang lebih seimbang kepada isu-isu rumahtangga termasuklah kesan kepada kehidupan mereka dan anak-anak.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments