Beri keutamaan kepada golongan ibu tunggal – bukan kelonggaran kepada suami yang berpoligami untuk memohon rumah mampu milik

BASSAM KHAWAJA 2019/srpoverty.org

Sisters in Islam mengkritik kenyataan pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan, perumahan, kesihatan dan alam sekitar negeri Terengganu dan ahli dewan undangan negeri dari Bukit Tunggal Dr Alias Razak yang mengatakan bahawa suami yang beristeri dua boleh memohon rumah mampu milik  dengan syarat pendapatan tidak melebihi RM2,500 sebulan.

Kenyataan oleh Alias Razak ini amat menggusarkan kerana RM2,500 sebulan tidak mencukupi bagi seorang suami untuk berpoligami apatah lagi membeli sebuah rumah. Secara logiknya, RM2,500 itu dipecahkan untuk membayar nafkah isteri-isteri, anak-anak, bil api, membeli barangan dapur dan lain-lain; jadi, adakah RM2,500 itu mencukupi?

Justeru, tindakan kerajaan negeri Terengganu ini langsung tidak bertanggungjawab dan tidak mengambil kira pecahan perbelanjaan suami untuk keluarganya.

Kelonggaran ini tidak masuk akal kerana mengikut syarat yang ditetapkan di dalam laman web e-Perumahan Terengganu, untuk memohon perumahan di bawah skim ini, pemohon hendaklah tidak pernah memiliki rumah dan hanya boleh memohon sekali (syarat 4 dan 9). Ini akan menimbulkan ketidakadilan dari segi isteri manakah yang boleh mendiami rumah tersebut.

Menurut satu kes permohonan poligami yang didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada tahun 2019, untuk berpoligami, antara syarat yang mahkamah perlu pertimbangkan adalah sama ada pemohon poligami boleh berlaku adil di kalangan isteri-isteri, iaitu menyamaratakan di antara para isteri dalam aspek material (nafkah zahir) meliputi tempat tinggal, makan minum, pakaian dan sebagainya. (Rujukan: Dokumen Keputusan Permohonan Berpoligami Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu bertarikh 7 Oktober 2019). Jelas menunjukkan bahawa syarat untuk berpoligami perlu menyamaratakan dari aspek tempat tinggal.

Jika rumah dibeli di bawah skim ini, si suami hanya boleh membeli sebuah rumah, dan hanya seorang daripada isterinya dapat menduduki rumah tersebut. Adakah ini kira adil?

Selain itu, kelonggaran ini juga tidak masuk akal kerana kebanyakan isu tentang perkahwinan poligami adalah berkaitan dengan kegagalan suami untuk berlaku adil dan saksama untuk menafkahi dan menjaga dua atau lebih keluarga (Rujukan: Buku Telenisa: Statistik dan Dapatan 2019).

Malah, menurut tinjauan yang dilakukan oleh Telenisa, sebuah khidmat yang memberikan nasihat undang-undang keluarga Islam dan undang-undang jenayah Syariah secara percuma, di dalam buku Telenisa: Statistik dan Dapatan 2020 melaporkan bahawa poligami dan kewangan merupakan antara punca utama perceraian dengan 10%. Tinjauan ini adalah daripada 422 orang klien Telenisa pada tahun 2020.

Keputusan kerajaan Terengganu ini membimbangkan kerana ia akan menggalakkan lebih ramai suami untuk berpoligami walaupun secara sahnya mereka tidak berkemampuan dari segi kewangan dan ini sememangnya menunjukkan betapa tidak sensitif kerajaan negeri ini terhadap pengalaman realiti kehidupan.

Pada tahun 2007 hingga 2012, SIS bersama penyelidik-penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) telah membuat kajian nasional yang bertajuk “The Impact of Polygamy on Muslim Families in Peninsular Malaysia” (Impak Poligami terhadap Keluarga Muslim di Semenanjung Malaysia) di mana 1,224 orang telah ditemu bual yang terdiri daripada 214 orang suami, 259 orang isteri pertama, 228 orang isteri kedua, 331 orang anak isteri pertama dan 192 orang anak isteri kedua di semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Tinjauan mendapati bahawa kebanyakan lelaki berpoligami tidak mampu memenuhi nafkah zahir dan nafkah batin yang mendasari semua jenis perkahwinan: 40% suami mengaku mengurangkan perbelanjaan kepada anak-anak, isteri dan keperluan rumah yang lain selepas berpoligami; 44% isteri pertama mula bekerja, bekerja lebih masa dan mencari kerja sampingan untuk menampung perbelanjaan selepas suami berpoligami; 64% isteri pertama mengaku suami tidak mengikut giliran yang ditetapkan atau tiada langsung giliran diberi; dan 77% anak isteri pertama tidak berpuas hati dengan aturan giliran bapa mereka.

Sisters in Islam (SIS) secara konsisten mengadvokasikan agar undang-undang keluarga Islam dipinda untuk mewajibkan si suami mengisytiharkan kesemua aset dan tanggungan apabila memohon untuk berpoligami di hadapan mahkamah dan mempertimbangkan keupayaan kewangannya sebelum berkahwin lagi. Ini untuk memastikan bahawa tiada perempuan atau anak-anak yang ditinggalkan tanpa nafkah atau tersisih di dalam suatu hubungan rumah tangga disebabkan poligami.

Selain itu, SIS juga mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Terengganu dalam memberikan kelonggaran kepada suami untuk memohon rumah mampu milik ini. Kenapa ia menjadi keutamaan kerajaan negeri ini sedangkan terdapat pelbagai lagi masalah dan isu yang boleh diketengahkan dan diberi keutamaan?

Dalam era pandemik ini di mana ramai yang terkesan, kerajaan negeri wajib memberi perhatian kepada golongan rentan seperti golongan ibu tunggal.

Di Johor, kumpulan ibu bapa tunggal sedang mengadvokasikan agar pihak kerajaan mengiktiraf ibu bapa tunggal yang belum berkahwin agar mereka mendapat bantuan kewangan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). Ini kerana, ibu bapa tunggal mengalami kesusahan dalam memohon bantuan kewangan dari kerajaan di mana mereka diminta untuk menyediakan sijil cerai atau sijil kematian pasangan. Pihak kerajaan juga harus sedar bahawa tidak semua ibu bapa tunggal mempunyai slip pendapatan sebagai bukti kerana ramai ibu bapa tunggal hanya mampu untuk bekerja separuh masa.

Mengambil kira pengalaman realiti kehidupan perempuan dan ibu tunggal, amatlah penting agar kerajaan negeri Terengganu berfikiran secara realistik dan bukan hanya memikirkan cara-cara untuk menyenangkan poligami bagi para suami.

SIS menggesa agar kerajaan negeri Terengganu menjadi lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan golongan rentan dan memberi fokus kepada isu yang lebih penting.



AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments