Berhenti ‘swastakan’ universiti awam – Aksi

Usah menghina kecerdasan rakyat

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI) mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir, yang mempertahankan pendekatan mengurangkan kebergantungan universiti awam kepada peruntukan kerajaan persekutuan atas alasan sekadar “pengurangan keupayaan fiskal”.

Kenyataan yang dibuat pada majlis penutup retreat Kementerian Pendidikan Tinggit bersama pengurusan tinggi UA dan Syarikat Milikan Universiti (Holdings) di Lumut, Perak adalah dalih usang yang kini menjadi pembenar kepada projek penswastaan pendidikan tinggi secara tersusun.

Zambry menyorok di sebalik alasan “pengurangan keupayaan fiskal” seolah-olah ia bencana alam yang tidak boleh disangkal dan tiada alternatif.

Kami menolak kerangka ini bulat-bulat. Sedekad pemotongan peruntukan yang angkanya tidak pernah cuba disembunyikan – daripada RM8.8bn pada tahun 2015 ketika era pentadbiran Najib Razak, kepada RM7.9bn pada 2023 dan sambungan pemotongan dicadangkan lagi baru-baru ini – bukanlah bukti kekangan yang dipaksa oleh takdir, melainkan bukti kekal pilihan politik yang meletakkan keutamaan di tempat lain: subsidi pukal untuk golongan kaya, projek mega yang “bocor”, dan keengganan untuk memperkenalkan cukai progresif ke atas kekayaan besar dan syarikat gergasi.

Jika “keadaan fiskal” adalah kemestian, mengapakah perbelanjaan bukan pendidikan terus bertambah sementara universiti dicekik perlahan-lahan?

Aksi menolak penggunaan istilah “kelestarian kewangan” dan “mampan” sebagai pembungkus projek neoliberal yang memindahkan tanggungjawab membiayai pendidikan daripada kerajaan, yang berhutang kepada rakyat, kepada pasaran, yang berhutang kepada pemegang saham.

Perkara yang sedang berlaku bukanlah krisis kewangan universiti semata-mata; ia adalah penyerahan dirancang mandat awam kepada logik pasaran, dan Zambry adalah dalang di sebalik istilah-istilah indah itu.

Dalam nada yang sama, kami mengecam sebarang cubaan untuk menjenamakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan gelaran seperti “Cukai Madani” atau “Cukai Adil dan Saksama”.

READ MORE:  Are private interests encroaching into Malaysia's public hospitals through Rakan KKM?

GST pada dasarnya adalah cukai regresif. Ia memindahkan beban fiskal daripada bahu golongan elit dan pemodal besar ke atas bahu rakyat marhaen. Ia mengenakan kadar yang sama terhadap makanan yang dibeli oleh mahasiswa yang tidak berpendapatan tetap dan barangan mewah yang dibeli oleh golongan hartawan.

Menamakan sistem sedemikian sebagai “adil” adalah satu pendustaan besar, manifestasi politik ‘gaslighting’ yang paling sinis.

Apa yang lebih memualkan ialah siapakah yang kini cuba menawarkan “penyelesaian”. Krisis kos sara hidup yang menjerat mahasiswa hari ini bukanlah bencana alam. Ia adalah kesan langsung daripada penswastaan pendidikan tinggi yang diperjuangkan oleh parti yang pernah diwakili oleh golongan elit tersebut.

Di bawah haluan neoliberal, universiti awam dikomodifikasikan, yuran dinaikkan, penginapan dijadikan komoditi pasaran, dan segala keperluan asas pengajian berubah menjadi punca keuntungan.

Jentera politik yang sama yang merompak hak pendidikan awam kami kini berpura-pura menjadi penyelamat dengan menawarkan satu lagi cukai yang menghimpit rakyat terbawah. Ini adalah hipokrisi kelas yang tidak boleh diterima.

Tuntutan kami

Atas dasar ini, Aksi menuntut:

  • Hentikan segera semua bentuk penswastaan universiti awam, termasuk saluran komersial, dan kembalikan semua tempat pengajian kepada saluran UPU
  • Pulihkan dan tingkatkan belanjawan universiti awam sekurang-kurangnya ke tahap 10% daripada jumlah belanjawan negara, sejajar dengan komitmen pendidikan sebagai barang awam
  • Perkenalkan cukai progresif yang sebenar, termasuk cukai kekayaan ke atas golongan terkaya dan kenaikan cukai korporat ke atas syarikat gergasi
  • Tolak sepenuhnya sebarang bentuk cukai regresif, termasuk GST yang dijenamakan semula dengan apa jua nama.

Penutup

Kami tidak akan berkompromi. Penjenamaan semula bukanlah dasar; ia adalah penipuan.

Sama ada melalui pemotongan peruntukan universiti yang disalut istilah “kelestarian”, atau GST yang dipakaikan gelaran “adil”, mesejnya tetap sama: golongan elit mengekalkan keistimewaan mereka sementara mahasiswa dan rakyat terbawah dijadikan mangsa.

READ MORE:  Selective recognition: The political economy of Malaysia's UEC exclusion

Kami melihat kesemua ini untuk apa ia sebenarnya: satu percubaan terancang untuk kerajaan mengelak daripada tanggungjawab, sambil menghina kecerdasan mereka yang dianggap lemah. – Aksi

Mustaqim Badrul Hisham ialah setiausaha agung Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (Aksi).

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted