Dengan penuh kesal, kami pertubuhan masyarakat sivil yang bertandatangan di bawah, mengajak semua rakyat Malaysia untuk membina sebuah masyarakat yang tahu malu, di mana rompakan dana awam dan pengkhianatan mandat rakyat akan ditolak oleh segenap lapisan masyarakat.
Berlandaskan ajaran Islam dan agama serta ketamadunan yang lain, Malaysia perlu menjadi masyarakat yang mempunyai integriti dan rasa malu, bagi mencegah dan bukannya mempertahankan rasuah serta salah guna kuasa. Sumbangan pada masa lalu tidak wajar menjadi lesen untuk mencuri atau meloloskan diri dari hukuman.
Justeru, kami menggesa agar semua dokumen bersangkutan ‘pengampunan bersyarat’ Najib pada 18 September – yang membenarkannya menjalani baki hukuman enam tahun (setelah pengurangan dalam pengampunan sebelumnya) itu di rumah selepas membayar denda sebanyak RM50j (setelah pengurangan dalam pengampunan sebelumnya) – termasuk representasi bertulis oleh peguam negara dan minit lembaga pengampunan diumumkan sepenuhnya pada kadar segera.
Keputusan yang baik mampu berhadapan kritikan awam dan tidak perlu memerlukan perlindungan kerahsiaan. Rakyat Malaysia berhak untuk memahami alasan di sebalik pengampunan Najib ini.
Pendirian penuh kami adalah seperti berikut:
Jenayah Najib terhadap rakyat Malaysia dan keengganannya untuk menerima hukuman yang dijatuhkan menggariskan kerosakan dan kerapuhan mendalam masyarakat: kemunculan kelaziman baharu yang memberi kemaafan bahkan mengangkat salah laku yang memudaratkan kepentingan awam, sehingga ke tahap penjenayah melihat diri sendiri sebagai mangsa penganiayaan politik dan tidak tahu malu.
Sikap yang tidak bermoral ini sepatutnya menjadi tiupan sangkakala kepada kita untuk membina masyarakat yang bermoral dan mematuhi undang-undang, menjunjung Rukun Negara – yang dirumuskan di bawah Perdana Menteri kedua, Abdul Razak Hussein. Rukun keempat Rukun Negara adalah ‘Kedaulatan undang-undang’, dan disusuli oleh rukun kelima iaitu ‘Kesopanan dan kesusilaan’.
- Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both
- Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Maybank a/c 507246118995 or CIMB a/c 8004240948
- Make a regular pledge or periodic auto-donation to Aliran
- Become an Aliran member
Membangunkan masyarakat yang tahu malu ini memerlukan kita mengakhiri perpecahan politik yang toksik, yang bahan bakarnya adalah politik identiti, dan membina konsensus rentas parti berlandaskan keadilan dan tatasusila yang tinggi.
Kita perlu akui dan bertanggungjawab terhadap kegagalan sistem politik kita yang membolehkan Najib diampunkan, sebagai tanggungjawab bersama. Kita perlu tegas namun berhemah dalam memerangi rasuah, salah guna kuasa dan layanan buruk terhadap pembangkang, agar serangan kita kepada korupsi tidak diperalatkan dalam politik identiti. Kita perlu menuntut pemisahan peguam negara dan pendakwa raya serta penggubalan akta pemberi kuasa dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang.
Pengampunan Najib membayangi persepsi rakyat terhadap kedaulatan undang-undang, bukan sahaja kerana beliau tidak sepenuhnya mengaku salah dalam kes SRC (rasuah) bahkan berterusan menggambarkan dirinya sebagai mangsa pendakwaan politik, tetapi lebih-lebih lagi kerana beliau masih mempunyai kes tertunggak iaitu 1MDB Tanore, dalam mana beliau telah dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4bn, dan rayuan beliau sedang dalam proses.
Tambahan pula, beliau berhadapan dua lagi kes iaitu SRC2 (pengubahan wang haram) dan Ipic, yang mana beliau hanya diberikan perintah pelepasan tanpa pembebasan (discharge not amounting to acquittal) dan masih boleh didakwa semula.
Jumlah yang terlibat dalam keempat-empat kes ini ialah RM9.0bn – bersamaan kira-kira 250,000 tahun ganjaran gaji bulanan bernilai RM3,000.
‘Tahanan rumah’ Najib juga membangkitkan soalan asas: sekiranya sabitan 1MDB Tanore dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan, secara realistiknya adakah beliau akan dihantar semula ke penjara? Atau adakah beliau dijangka menerima satu lagi pengampunan untuk terus berada di luar penjara, yang berisiko menjadikan proses kehakiman sebagai suatu jegela dan sendaan?
Kes Najib yang masih belum selesai menjadikan pengampunannya amat berbeza daripada pengampunan yang diberikan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang tidak mempunyai kes tertunggak pada ketika beliau menerima pengampunan pada tahun 2018.
Dalam demokrasi berparlimen, undang-undang digubal di Parlimen, dan oleh kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan dan undang-undang, oleh pihak eksekutif. Tidak ada sebarang undang-undang yang memperuntukkan ‘tahanan rumah’ dengan cara pengampunan.
Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong (bagi Wilayah Persekutuan) dan raja atau yang di-pertua negeri untuk “meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman” dan menjalankan “apa-apa kuasa yang diberikan oleh undang-undang persekutuan atau undang-undang Negeri bagi meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman”.
Seksyen 43 Akta Penjara 1995 pembebasan seseorang banduan secara lesen, tertakluk kepada apa-apa peraturan yang dibuat oleh menteri.
Pada November 2024, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail membincangkan tentang sebuah akta yang dicadangkan untuk perkara ini.
Hal ini menimbulkan dua persoalan penting yang peguam negara perlu jawab:
- Bolehkah hukuman pemenjaraan yang dikenakan ke atas Najib dalam kes SRC dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ di bawah ruang lingkup Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan?
- Jika boleh, adakah lembaga pengampunan secara berkesan telah mengambil alih peranan perundangan Parlimen dengan mewujudkan undang-undang berkaitan ‘tahanan di rumah’ melalui keputusannya?
Keadilan perlu dilaksanakan dan mesti dilihat dilaksanakan. Kegagalan untuk meyakinkan rakyat bahawa undang-undang dikuatkuasakan secara sama rata, tanpa mengira status, kuasa atau mana-mana kategori politik atau demografi, akan memusnahkan kepercayaan awam terhadap kedaulatan undang-undang, menyemarakkan kesinisan dan membahayakan demokrasi.
‘Dua darjat’ dalam penguatkuasaan undang-undang boleh memusnahkan Malaysia dengan memberikan impuniti kepada penjenayah yang mempunyai keistimewaan serta melemahkan semangat rakyat yang mematuhi undang-undang.
Oleh yang demikian, keputusan berkepentingan awam mestilah telus supaya rakyat dapat memahami alasan dan pertimbangan yang digunakan dalam membuat keputusan tersebut. Keputusan yang baik mampu bertahan daripada penelitian awam dan tidak memerlukan perlindungan kerahsiaan.
Memandangkan pengampunan Najib membawa implikasi besar terhadap kedaulatan undang-undang berhubung kes-kes beliau yang masih belum selesai serta peranan Parlimen dalam menggubal undang-undang, semua dokumen yang berkaitan, termasuk representasi bertulis peguam negara dan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, hendaklah didedahkan dengan segera dan sepenuhnya.
Rakyat Malaysia masih mengingati tindakan undang-undang yang membimbangkan berhubung pengampunan Najib sebelum ini, khususnya kerana dokumen-dokumen berkaitan tidak didedahkan sepenuhnya.
Disokong oleh:
- Projek Kestabilan and Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama)
- Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)
- Engage (citizens in action)
- Gabungan Bertindak Malaysia
- Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)
- Iman Research
- Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas)
- Lawyer Kamek
- Liga Rakyat Demokratik
- Muslim Professionals Forum (MPF)
- Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (PPDM/Rose)
- Pertubuhan Ikram
- Rasuah Busters
- Suara Mahasiswa UMS
The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
- Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
- Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
- Raikan kerencaman dan keterangkuman
- Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
- Lawan rasuah dan kronisme


