Ancaman kepada kebebasan akademik: Usaha terancang membebalkan rakyat

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (Aksi) mengecam keras segala bentuk serangan terhadap kebebasan akademik yang semakin menjadi-jadi di bawah pemerintahan kerajaan “Madani” yang kononnya menjunjung tinggi budaya intelektualisme.

Universiti yang dahulunya merupakan medan perdebatan ilmu dan pembinaan masyarakat kini mengkhianati tujuan asalnya, perlahan-lahan berubah menjadi tapak komersial, pusat beli-belah dan pentas hiburan, mengukuhkan budaya kejumudan yang dirancang dari atas.

Apa yang berlaku bukanlah satu dua insiden terpisah. Ia adalah tindakan sistemik dan terancang, didalangi oleh kuasa politik yang takut akan rakyat yang celik dan berani melawan.

Di bawah kerajaan Anwar Ibrahim, pelbagai program ilmiah disekat, diganggu dan dibatalkan, termasuklah:

  • Forum isu statelessness di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  • Forum isu pelantikan semula Azam Baki di Universiti Malaya
  • Forum isu identiti Malaysia di UM
  • Forum isu perlembagaan di UM
  • Pameran isu kematian dalam tahanan di Universiti Sains Malaysia
  • Ucaptama melibatkan mantan menteri pendidikan Maszlee Malik di salah sebuah universiti awam di Johor

Program ilmiah disekat, tetapi konsert hiburan seperti “Uni-verse Tour” oleh Universal Music Malaysia kian rancak dianjurkan di kampus-kampus.

Kami bukan anti-hiburan. Mahasiswa juga manusia yang perlukan rehat dan rekreasi. Tetapi persoalannya, mengapa program akademik yang mencerdaskan otak dihalang, sedangkan hiburan yang melekakan disambut?

Jangan salah faham, bersuka ria itu boleh, tetapi apabila ia menggantikan wacana ilmiah di kampus, suatu bentuk depolitisasi yang disengajakan dan suatu petanda bahawa fungsi sebenar universiti sedang dimandulkan.

Belum lagi dikira bagaimana ruang universiti kini dipenuhi oleh entiti perniagaan seperti rangkaian kopi dan jenama komersial, sedangkan kedai buku, ruang wacana dan pusat perbahasan semakin menghilang.

Kita sering memperlekeh sesetengah mahasiswa yang hanya berkisar dalam dunia “tiga K”: kafe, kuliah dan katil (kini boleh ditambah pula dengan “konsert”).

READ MORE:  Flawed university admissions vetting process hinders equitable opportunities

Namun kita lupa untuk bertanya bagaimana budaya ini terbentuk? Ia bukanlah sesuatu yang muncul secara spontan. Ia merupakan kesan daripada sistem yang membelenggu – undang-undang seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), tindakan tatatertib yang menyekat, curfew dan pemikiran kuno bahawa “mahasiswa tugasnya hanya belajar”, yang dibiarkan selama berdekad-dekad.

Kini, ditambah pula dengan tawaran hiburan sebagai suatu bentuk eskapisme bagi mengalihkan perhatian mereka daripada realiti kehidupan masyarakat sekeliling.

Sistem pendidikan kita, dari sekolah rendah hingga ke universiti, telah diprogram untuk melenyapkan pemikiran kritikal dan menggantikannya dengan kepatuhan membuta tuli. Rakyat diajar untuk menghafal dan akur, bukan untuk menyoal dan mencabar. Silibus penuh dengan propaganda nasionalisme palsu dan pengajaran yang membosankan.

Ini bukan sekadar kegagalan dasar. Ini adalah strategi terancang untuk membebalkan rakyat. Populasi yang bodoh lebih mudah dikawal. Demokrasi yang sebenar tidak akan wujud jika rakyat tidak faham hak mereka. Ketika itulah rasuah, kronisme dan salah guna kuasa akan terus subur tanpa tentangan. Apabila universiti gagal menjadi ruang wacana, maka demokrasi pun tidak lebih daripada ritual lima tahun sekali.

Bagi memastikan kebebasan akademik terus subur dan universiti kembali mekar sebagai medan ilmu, AKSI menuntut:

  • Pemansuhan Auku dan semua undang-undang drakonian yang membungkam suara
  • Mengecualikan universiti daripada Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000, yang sohor sebagai penghalang kebebasan akademik, khususnya dalam kalangan pensyarah
  • Rombakan menyeluruh terhadap kurikulum pendidikan dan kaedah pengajaran, agar ia memerdekakan minda dan bukannya mencengkam
  • Pendidikan sivik dan politik yang menyeluruh, agar rakyat mengenali hak mereka dan mampu mencabar penindasan secara berkesan
  • Penghentian komersialisasi ruang dalam kampus dengan pemberian geran mengurus yang mencukupi oleh kerajaan agar universiti tidak dipaksa untuk menjana wang sendiri melalui komersialisasi.
READ MORE:  Campus crackdowns reminds me of growing up under authoritarianism - Columbia prof

Aksi menyeru semua mahasiswa, pendidik dan rakyat untuk bangkit mempertahankan kebebasan akademik dan memperjuangkan sistem pendidikan yang bebas, kritikal dan membangunkan rakyat – bukannya menguntungkan elit yang ingin terus berkuasa melalui kedunguan yang dirancang.

Jika kerajaan terus bertindak sebagai perisai kepada sistem yang menjadikan rakyat pandir, maka kerajaan itu sedang menggali kuburnya sendiri, sebagaimana rejim-rejim zalim lain yang akhirnya tumbang. Seperti kata peribahasa, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Mustaqim Badrul Hisham ialah setiausaha agung Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (Aksi).

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments