Adakah penambakan laut sebuah strategi pembangunan yang kalis masa depan?

0
323 views

Adalah menjadi kewajipan kita untuk memastikan pihak kerajaan Pulau Pinang mengingati amaran-amaran yang telah diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar dan bekas menteri pertanian, serta untuk memastikan prinsip berwaspada diamalkan, ujar Khoo Salma Nasution.

Kononnya kegilaan masa kini menambak untuk membina pulau peranginan, dari Pulau Maldives ke Forest City Johor ke Telok Benoa di Bali, telah diilhamkan oleh Palm Islands, Dubai yang bermula pada tahun 2001.

Dari waktu pembinaan bermula, pulau-pulau palsu ini sudah terbukti memberi tekanan demi tekanan kepada alam sekitar. Bukanlah satu rahsia bahawa pembinaan pulau-pulau tiruan Dubai dan campur tangan berterusan aktiviti-aktiviti mitigasi alam sekitar yang diperlukan telah dibiayai oleh hasil-hasil pendapatan minyak UAE.

Disebabkan kedudukannya yang strategik di tengah rantau yang sarat dengan sumber minyak, “Palm Jumeirah” telah menikmati kejayaan hartanah yang hanya berjangka pendek. Apabila harga minyak jatuh, nilai hartanah telah berkurang sebanyak 40% daripada tahap kemucaknya pada tahun 2014. Nasib pulau-pulau ini wajar dijadikan satu amaran tepat kepada pihak kerajaan yang memberi sokongan kepada kemusnahan alam sekitar berskala besar demi keuntungan-keuntungan ekonomi yang sudah jelas tidak mampan

Prinsip pencegahan

Semua piagam-piagam dan perjanjian-perjanjian utama antarabangsa berkenaan alam sekitar mendukung prinsip erwaspada (dalam Bahasa Jerman, vorsorgeprinzip) iaitu “Utamanya, jangan membahayakan”.

Matlamat prinsip berwaspada ini adalah untuk membantu membuat keputusan yang rasional bagi memastikan unsur-unsur ketidakpastian dan perkara yang tidak boleh kembali semula diambil kira sepenuhnya.

Ini mustahak untuk melindungi generasi kini dan masa hadapan daripada risiko-risiko yang tidak wajar serta membahayakan yang akan timbul akibat daripada keputusan yang tidak bertanggungjawab. Prinsip ini seharusnya diaplikasikan terhadap kesemua projek-projek utama yang berpotensi mengakibatkan kesan parah dan menyeluruh kepada alam sekitar, termasuk projek-projek penambakan persisiran pantai.

Di Malaysia, Rancangan Fizikal Negara (2010) mengandungi pernyataan-pernyataan dasar yang jelas terhadap pelarangan penambakan tanah selain untuk pembangunan pelabuhan-pelabuhan berkepentingan strategik negara.

Rancangan Fizikal Negara(2010) juga mengatakan bahawa penambakan persisiran pantai “seharusnya tidak dibenarkan berlaku di dalam atau bersebelahan dengan ekosistem-ekosistem sensitif seperti taman-taman marin, lumpur mudik, paya bakau, terumbu karang, kawasan rumput laut, tapak pendaratan penyu dan pantai-pantai pelancongan utama”.

Walaupun dasar-dasar bernas sebegini sudah diwujudkan, kini terdapat lebih daripada 20 projek-projek penambakan yang disokong oleh kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia, sama ada sedang berlangsung atau dalam perancangan.

Apabila peta kawasan-kawasan penambakan ini dibandingkan dengan peta kawasan-kawasan yang bakal menghadapi kenaikan paras air laut pada masa hadapan, kawasan-kawasan penambakan ini jelas berisiko tinggi menghadapi banjir berkala mahupun penenggelaman dalam masa beberapa dekad yang terdekat. Kawasan penambakan bukan sahaja akan terdedah kepada kenaikan paras air laut disebabkan pemanasan global, tetapi projek pembangunan sebegini juga akan menjadi pemangkin kepada perubahan iklim.

Berapa banyak pelepasan karbon adalah terlalu banyak?

Satu-satunya projek penambakan di Malaysia yang bercita-cita tinggi setakat ini merupakan projek tambak laut selatan Pulau Pinang seluas 4,500 ekar, yang bakal menghasilkan 3.2 juta tan pelepasan karbon setiap tahun, menurut “18 nasihat” yang dikeluarkan oleh Majlis Rancangan Fizikal Negara.

Pelepasan karbon tahunan yang dihasilkan daripada projek ini akan memerlukan “offset” 147 juta pokok untuk mengimbangi kesannya kepada alam sekitar (berdasarkan satu pokok matang menyingkirkan 48 paun karbon dioksida setiap tahun). Angka ini sangat membimbangkan kepada sesiapa yang prihatin terhadap masa hadapan bumi kita, namun perkara ini seperti tiada makna kepada ahli-ahli politik.

Kerajaan Pulau Pinang bertekad untuk meneruskan projek penambakan ini walaupun akan memberi impak buruk kepada pendapatan beribu-ribu nelayan. Projek ini akan memusnahkan secara kekal kawasan laut cetek yang kaya dengan kepelbagaian marin di kawasan Teluk Kumbar, kawasan selatan (Pulau Pinang Selatan), sekaligus akan memusnahkan ekosistem perikanan yang menjadi tulang belakang rezeki nelayan-nelayan selama bergenerasi.

Pengkalan Permatang Damar Laut, pengkalan Sungai Batu, pengkalan Teluk Kumbar dan pengkalan Gertak Sanggul di kawasan selatan ini merupakan jeti-jet di mana sebahagian besar udang liar ditangkap dan sumber tangkapan udang liar didaratkan

Walaupun secara amnya memang benar sektor perikanan dunia merosot, Teluk Kumbar, yang dilindungi oleh Pulau Rimau dan Pulau Kendi, merupakan kawasan yang masih banyak dengan terumbu karang dan kekal kaya dengan kehidupan laut. Kawasan ini lazim didatangi bot-bot nelayan dari kawasan-kawasan lain di Pulau Pinang dan juga dari Kuala Perlis ke Pulau Pangkor semasa musim-musim tertentu.

Dalam tahun pertama permulaan projek ini, pihak pemaju akan mengikis selut-selut subur sepanjang kawasan persisiran pantai dan akan mengakibatkan kemusnahkan kepada sumber perikanan semulajadi yang terkaya di Pulau Pinang.

Satu ancaman kepada keselamatan sumber makanan?

Pelombongan pasir untuk projek ini akan mengancam lebih 6,000 orang nelayan di sepanjang pantai di utara negeri Perak. Hasil pencemaran daripada projek penambakan di kawasan selatan Pulau Pinang akan menjejaskan kawasan “segitiga emas” akuakultur air payau, sumber lebih 50% bekalan ikan ternak Semenanjung Malaysia.

Pusat-pusat peternakan ikan di sini termasuk Sungai Udang di Pulau Pinang, serta Tanjung Piandang dan Kuala Kurau, terutamanya kawasan-kawasan paya bakau di Kuala Gula dan Kuala Sepetang di Perak.

Ancaman kepada keselamatan sumber makanan dan peningkatan harga makanan laut akan memberi kesan yang paling mudarat kepada penduduk golongan 40% terendah di Malaysia.

Sebelum projek ini diteruskan, kerajaan Pulau Pinang seharusnya mengkaji semula kesan projek-projek penambakan yang sedang langsung dan yang lalu

Setelah membuat pengakuan untuk menegakkan UN sustainable development goals, termasuk gol 14 (kehidupan dalam air), kerajaan Pulau Pinang sepatutnya lebih berminat untuk meneliti impak-impak nyata ekoran projek gergasi Seri Tanjung Pinang fasa dua.

Meskipun pelbagai langkah-langkah berjaga-jaga telah diambil sewaktu penambakan, kualiti air laut di utara Pulau Pinang telahpun mengalami kemerosotan yang amat teruk. Nelayan-nelayan di Tanjung Tokong dan Bagan Ajam telah melaporkan jumlah penangkapan ikan mereka jatuh merosot sebanyak 50% sehingga 70% berbanding sebelum Seri Tanjung Pinang fasa dua. Pencemaran persisiran pantai menyebabkan kawasan pantai dipenuhi bahan pemendapan, obor-obor dan landak laut.

Kawasan laut di sekitar Tanjung Tokong dan Gurney Drive haruslah dipulihara sehingga populasi ikan kembali pulih, untuk memulihkan kembali mata pencarian para nelayan. Para nelayan telah diberi saguhati yang kecil (bayaran sekali pada 2015 sebanyak RM15,000 untuk tekong dan RM2,000 bagi awak-awak) untuk kerugian mereka yang berterusan.

Sebaliknya, jika langkah-langkah pemulihan ekosistem laut masih diperlukan atau tidak dilaksanakan sepenuhnya, maka tindakan yang paling bertanggungjawab oleh kerajaan Pulau Pinang adalah untuk menghentikan semua projek penambakan laut pada masa hadapan.

Cadangan-cadangan Jabatan Alam Sekitar, bekas menteri pertanian

Di dalam surat bertarikh 25 Jun 2019, ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar telah menasihatkan kerajaan Pulau Pinang: “pembangunan projek akan menyebabkan kemusnahan kekal dan residual impact ke atas ekosistem dataran lumpur (mudflat), fishing ground, kawasan pendaratan penyu, dan sebahagian terumbu karang di Pulau Rimau…. Kemusnahan kekal ini akan memberi impak negatif yang signifikan kepada sumber perikanan, nelayan dan jaminan sumber bekalan makanan negara.”

Nasihat ini dengan ironis telah dimasukkan ke dalam surat kelulusan bagi laporan penilaian impak alam sekitar tersebut, ditandatangani, oleh ketua Pengarah jabatan tersebut pada hari terakhir beliau bertugas sebelum bersara

Pada 16 Julai 2019, bekas menteri pertanian mengatakan di Parlimen bahawa projek ini bakal memberi kesan kepada 4,909 nelayan di Pulau Pinang dan 511 penternak akuakultur. Menteri tersebut menyarankan langkah-langkah pencegahan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang “tanpa gagal”, seperti mewartakan kawasan dari Pulau Betong ke Telok Bahang sebagai zon pemeliharaan dan terumbu Middle Bank sebagai kawasan perlindungan perikanan

Sudahkah langkah-langkah ini diambil?

Bekas menteri pertanian juga mengarahkan agar kajian dijalankan mengenai kesan pencemaran bunyi terhadap ikan disebabkan aktiviti penggalian dan penambakan projek tersebut, beliau juga mengarahkan agar kajian dibuat terhadap migrasi udang dalam kitar setahun, dan seterusnya reka bentuk pulau perlu diubahsuaikan untuk membenarkan migrasi udang tanpa halangan.

Kesemua syarat-syarat ini telah dicatat di dalam kajian Hansard, tetapi persoalannya adakah kajian-kajian ini bakal dilaksanakan? Dan jika terbukti bahawa reka bentuk pulau harus diubah suai, mungkinkah kajian hidrologikal yang dikemukakan akan disemak semula oleh Jabatan Alam Sekitar?

Setelah berulang kali menekankankan kepentingan Malaysia untuk mengurangkan import makanan, bekas menteri pertanian telah mengakui bahawa “Secara prinsipnya menjadi tanggungjawab kepada kementerian pertanian dan industri asas tani untuk melindungi sumber laut dan kebajikan para nelayan. Itu adalah asas kepada tanggungjawab kementerian ini”.

Justeru menteri seharusnya mengarahkan kementeriannya dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk mematuhi dasar ini dengan sepenuhnya dan bukannya memudahkan agenda kerajaan Pulau Pinang untuk memusnahkan sumber laut dan menganaktirikan kebajikan para nelayan.

Dari mana sumber air akan didapati, dan kemana hasil kumbahan akan dibuang?

Berdasarkan penjualan hartanah Forest City di Johor, kebanyakan hartanah di projek ini akan disasarkan kepada warganegara asing, terutamanya warganegara China.

Laporan alam sekitar projek penambakan yang dibentang menunjukkan projek ini akan bermula dengan penambakan Pulau B, namun beberapa minggu kemudian, satu iklan Bloomberg menunjukkan Pulau A akan dibangun dahulu. Hal ini jelas membuktikan bahawa projek ini masih kekurangan perancangan kewangan atau fizikal yang terperinci untuk bertahan bagi jangka masa yang lama

Jangkaan 446,000 penduduk tambahan untuk tiga pulau buatan itu akan terus meningkatkan bebanan ke atas sumber Pulau Pinang.

Seramai 800,000 penduduk sedia ada di Pulau Pinang yang menghadapi tekanan air akan perlu bersaing untuk sumber air dengan penduduk baru yang kebanyakannya asing, dan ini mungkin menyebabkan pencatuan air secara kritikal. Bagaimanakah bekalan air tambahan dapat dijamin? Adakah prasana pembetungan dan pelupusan tambahan diperlukan dan di manakah ini semua akan ditempatkan?

Kalau tandatangani sekarang, generasi mendatang akan menyesal

Dalam keadaan yang terburu-buru kerajaan Pulau Pinang mengumumkan mereka akan untuk menandatangani perjanjian “project delivery partner” bersama consortium SRS untuk pelaksanaan “Pelan Induk Pengangkutan Jalan” (PTMP) dan projek penambakan sejurus selepas Tahun Baru Cina.

Justeru, adalah menjadi kewajipan kita untuk memastikan pihak kerajaan Pulau Pinang mengingati amaran-amaran yang telah diberikan oleh Jabatan Alam Sekitar dan bekas menteri pertanian, serta untuk memastikan prinsip berwaspada diamalkan.

Nampaknya, surat tawaran kerajaan Pulau Pinang kepada pihak pemaju menyatakan bahawa Konsortium SRS perlu memperoleh kesemua kelulusan yang dikehendaki untuk pelbagai projek. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan laporan penilaian impak alam sekitar untuk projek ini pada 25 Jun 2019.

Bagaimanapun, para nelayan Pulau Pinang telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Ketua Pengarah tersebut, di bawah Seksyen 35 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sebelum rayuan didengar dan keputusan diperolehi, kerajaan Pulau Pinang seharusnya menghormati proses undang-undang dan tidak mengambil apa-apa langkah untuk memulakan projek penambakan tersebut.

Khoo Salma Nasution, seorang ahli Aliran, adalah ahli jawatankuasa pemandu Penang Forum

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments