Semua warganegara; tiada kafir harbi atau kafir dhimmi

0
421
Image: freemalaysiatoday.com

Kami, badan-badan masyarakat madani yang menurunkan nama di bawah, mengambil pendirian berikutnya berkenaan dengan penggolongan warganegara lain sebagai “kafir harbi”.

Penggolongan umat manusia kepada “kafir harbi” (orang bukan Muslim yang menentang pemerintah Muslim) dan “kafir dhimmi” (orang bukan Muslim yang menerima ketuanan dan perlindungan pemerintah Muslim) berlaku pada zaman silam. Dalam konteks silam ini, apabila negara yang berlainan agama berperang, perperangan antara-negara mengambil sifat perperangan antara-agama.

Malah, terdapat perperangan-perperangan yang tercetus atas nama mempertahankan agama, sungguhpun motivasi paling kuat sering ialah menakluk wilayah demi kuasa dan harta benda.

Kerana tiada jaminan kebebasan agama, kebebasan beragama orang Muslim zaman silam sering bergantung kepada kekuatan pemerintah Muslim. Membahagikan orang bukan Muslim kepada dua golongan, iaitu sama ada golongan “kafir harbi” yang harus dibunuh atau golongan “kafir dhimmi” yang mesti menurut pemerintah Muslim, adalah dalam konteks khas permusuhan antara agama yang mendalam.

Dalam dunia moden yang terdiri daripada negara-bangsa aneka-agama (multi-religious), pembahagiduaan (dichotomy) “kafir harbi-kafir dhimmi” tidak relevan malah merbahaya di kedua-dua konteks antarabangsa dan dalam negeri.

Di peringkat antarabangsa, apabila perperangan tercetus antara negara, itu tidak boleh dilihat sebagai perperangan antara agama, kerana negara-negara moden diikat lebih oleh kesamaan kepentingan geo-politik dan ekonomi, daripada kesamaan agama.

Di peringkat dalam negeri, jika berlaku jenayah oleh orang bukan Muslim ke atas orang Muslim, pelaku bukan Muslim adalah penjenayah yang mencerobohi undang-undang negara-bangsa dan mesti dihukum mengikut proses undang-undang, sama seperti jika penjenayah itu seorang Muslim.

Penjenayah bukan Muslim bukanlah “kafir harbi” yang harus dibunuh oleh orang Muslim dengan tangan sendiri. Sebarang saranan untuk melaksanakan hukuman bunuh dengan tangan sendiri (lynching) hanya membinasakan negara kerana ia mengundang pembalasan. Jika saranan ini dibuat dan disambut atas nama agama, maka negara akhirnya akan terbakar dalam api rusuhan antara umat.

READ MORE:  Now that Pas is in government, perhaps time to act governmental

Pemikir besar Islam seperti Dr Yusuf al-Qaradawy menyarankan supaya istilah seperti “dhimmi” dipadamkan dan rakyat bukan Muslim dikenali sebagai “muwatinun” (warganegara) sama seperti rakyat Muslim.

Ini sebenarnya bukan perkara baru. Menurut sarjana Mesir Dr Fathi Osman, orang Muslim dan orang bukan Muslim sememangnya mempunyai status kewarganegaraan yang samarata di Madinah di bawah kepimpinan Rasulallah Muhamad s.a.w. kerana Madinah juga sebuah masyarakat aneka-agama.

Sebenarnya, menurut sarjana undang-undang Al Ghunaimi Mohammad Talaat, kedudukan “dhimmi” untuk warga bukan Muslim tidak wujud lagi setelah Empayar Utthmaniah yakni Kekhalifahan yang terakhir mengistyharkan prinsip kesamarataan antara Muslim dan Kristian pada 1839.

Dilahirkan pada 1963 dengan penggabungan Malaya, Singapore (keluar 1965), Sabah dan Sarawak atas status samarata, Malaysia adalah sebuah persekutuan yang bersifat sivil yang didiami masyarakat majmuk.

Hubungan di antara orang Muslim dan orang bukan Muslim adalah hubungan antara warganegara atau “muwatinun” yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Mereka bukanlah musuh sesama lain. Mereka juga bukan “si pelindung” di satu pihak dan “si dilindungi” di pihak yang lain.

Penggunaan istilah seperti “kafir harbi” atau “kafir dhimmi” bukan sahaja menyakitkan perasaan rakyat bukan Muslim, tetapi juga boleh membawa konotasi negatif bahawa Malaysia adalah projek peluasan wilayah Tanah Melayu (Malaya).

Kedudukan mulia Islam sebagai agama rasmi di peringkat Persekutuan dan semua negeri kecuali Sarawak harus dipelihara dengan baik oleh semua pihak dan tidak boleh disalahgunakan oleh mana-mana pihak untuk menekan kebebasan berfikir dan bersuara atau meminggirkan pihak lain sehingga nama baik Islam tercemar.

Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia menjamin kebebasan rakyat untuk bersuara dan berpendapat tanpa kira bangsa atau agama manakala Perkara 8 menjamin kesamarataan semua rakyat di hadapan undang-undang negara. Ini selaras dengan semangat tulen Islam yang meraikan perbezaan pendapat dan menjunjung kebebasan beragama.

Kerana peranan dan pengaruh Islam begitu penting dalam kehidupan awam semua rakyat, sama ada yang Muslim atau bukan Muslim, sudah tentu terdapat perbezaan pendapat terhadap kedudukan Islam dan proses Islamisasi termasuk perlaksanaan hukuman Hudud dan Qisas.

READ MORE:  'bin Abdullah’ case: Uphold child’s right to name, identity, family

Sebarang pertukaran undang-undang, terutamanya perubahan yang akan mempengaruhi semangat dan prinsip-prinsip dasar negara yang tersurat dan tersirat dalam Persetujuan Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan, semua rakyat di Malaya, Sabah dan Sarawak, tidak kira Muslim atau bukan Muslim, berhak untuk memberi pandangan mereka.

Malah, menyuarakan pendapat dan memperdebatkan isu-isu yang melibatkan kepentingan awam supaya muafakat (consensus) terbaik boleh dicapai oleh masyarakat, bukan sahaja satu hak, tetapi juga satu tanggungjawab wakil-wakil rakyat, parti-parti politik, badan-badan masyarakat sivil, para sarjana dan cerdekiawan, media malah mana-mana rakyat prihatin.

Perbuatan menidakkan pihak lain yang tidak bersependapat tentang Islam atau Islamisasi, sama ada mengkafirkan orang Muslim, atau mengkafirharbikan orang bukan Muslim, hanya akan memecahkan umat Muslim dan masyarakat Malaysia.

Kenyataan bahawa darah kafir harbi halal malah membuka pintu untuk keganasan dan persengketaan antara komuniti/wilayah. Maka, perbuatan takfir ini yang menidakkan kewujudan negara-bangsa Malaysia dan mengancam keutuhan wilayahnya mesti ditolak oleh semua rakyat.

Semua pemegang jawatan awam mesti mencintai Malaysia dan seluruh rakyatnya. Rakyat bukan Muslim mesti diterima sebagai warganegara atau “muwatinun” dan saudara setanahair (ukhwah wataniah) kepada rakyat Muslim.

Sesiapa yang berniat memecahkan rakyat mengikut agama, malah sanggup menuduh pihak lain yang menolak perlaksanaan hukuman hudud sebagai “kafir harbi” untuk dihalalkan pembunuhan mereka, tidak layak untuk memegang jawatan awam. Mereka mesti diberhentikan perkhidmatan supaya fahaman merbahaya mereka tidak merebak dan disalahanggap sebagai polisi rasmi negara.

Mujur masyarakat Malaysia diberkati dengan para agamawan, sarjana, cerdekiawan, ahli politik, badan masyarakat civil dan parti politik yang berani menolak praktis mengkafirkan orang Muslim dan mengkafirharbikan orang bukan muslim. Keberanian moral mereka untuk menegakkan kebenaran dan keadilan memberi sumbangan besar kepada kedua-dua nama baik Islam dan kesejahteraan Malaysia.

READ MORE:  Don’t use Malaysian Bar as bogeyman to seek popularity, advance individual causes

Senarai badan-badan masyarakat madani:

1. Akademi Belia
2. Angkatan Warga Aman Malaysia (WargaAman)
3. Bersih 2.0
4. Center for Orang Asli Concerns (COAC)
5. Council of Churches Malaysia (CCM)
6. Engage
7. Federation of Malaysian Indian Organisation (Prima)
8. Green Friends Sabah
9. Institute for Development of Alternative Living (Ideal)
10. Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS)
11. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami)
12. Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
13. Komuniti Muslim Universal (KMU)
14. Lingkaran Islam Tradisional
15. LLG Cultural Development Centre(LLG)
16. Majlis Perundingan Malaysian Agama Buddha, Kritisian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST)
17. Malaysian Indians Progressive Associations (Mipas)
18. Malaysian Indians Transformation Action Team (Mitra)
19. Malaysian Youth Care Association (Prihatin)
20. National Human Rights Society (Hakam)
21. National Indian Rights Action Team (Niat)
22. Negeri Sembilan Chinese Assembly Hall (NSCAH)
23. Oriental Hearts and Mind Study Institute (OHMSI)
24. Partners in Community Organising, Sabah (Pacos Trust)
25. Perak Women for Women Society (PWW)
26. Persatuan Aliran Kesedaran Negara (Aliran)
27. Persatuan Masyarakat Sel dan Wilayah Persekutuan (Permas)
28. Persatuan Rapat Malaysia (Rapat)
29. Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram)
30. Pusat Komas (Komas)
31. Research for Social Advancement Relevant Facts, Sparkling Analysis (Refsa)
32. Sabah Women’s Action Resource Group (Sawo)
33. Save Rivers
34. Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi
35. Save Open Space, KK (SOS)
36. Sahabat Rakyat
37. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
38. Sisters In Islam (Sis)
39. Suara Rakyat Malaysia (Suaram)
40. Tamil Foundation (TF)
41. Teoh Beng Hock Trust for Democracy
42. The Federation & Alumni Associations Taiwan University, Malaysia (FAATUM)
43. Tindak Malaysia
44. United Chinese School Alumni Associations of Malaysia (UCSAAM)

Sign Aliran's 'Save our Democracy" petition
Sign Aliran's petition calling for a review of the decision to grant Riza Aziz a DNAA
Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments