Mendukung Perjanjian Malaysia; membina Malaysia yang lebih adil, inklusif, ujar GBM

0

Sempena ulangtahun ke-53 penubuhan Malaysia pada 16 September, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) menyeru semua rakyat Malaysia untuk meninjau kembali Perjanjian Malaysia, dan menghayati semangat kontrak sosial yang mendasari asas penubuhan Malaysia dan bersatu di bawah Perjanjian Malaysia untuk membina Malaysia yang lebih adil dan inklusif untuk semua.

Perjanjian Malaysia dimeterai pada 16 September 1963 di antara Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), Borneo Utara (kini dikenali sebagai Sabah), Sarawak dan Singapura sebagai rakan kongsi yang setara untuk membina satu persekutuan baru – Malaysia. Meskipun Singapura meninggalkan Malaysia pada 1965, Malaysia terus berfungsi dengan tiga rakan kongsi sehinggalah hari ini.

Sayangnya, semangat Perjanjian Malaysia bagaimanapun luntur sepanjang 53 tahun yang lalu, dengan kedudukan Sabah (Borneo Utara sebelum menyertai Malaysia) dan Sarawak terjejas secara beransur-ansur dari dua rakan kongsi yang setara dengan Malaya, kepada salah satu daripada 13 buah negeri, berikutan pindaan kepada Perkara 1(2) pada tahun 1976.

Selain itu, Perlembagaan Persekutuan juga gagal mengiktiraf Persekutuan baru dan Perjanjian Malaysia 1963 di mana “Persekutuan” menurut Perkara 160 masih didefiniskan sebagai “ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957”. Pandangan berpaksikan Malaya ini mesti diperbetulkan dalam undang-undang tertinggi negara.

Sungguhpun 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak memberi perlindungan terhadap kepentingan penduduk Sabah dan Sarawak, peranan Sabah dan Sarawak dalam politik dan ekonomi secara keseluruhannya semakin dipinggirkan.

Perkembangan sedemikian dapat dilihat melalui pengesahan Bank Dunia pada tahun 2010, bahawa Sabah adalah negeri yang termiskin di Malaysia meskipun negeri ini menghasilkan minyak dan kaya dengan sumber semulajadi. Kajian Bank Dunia mendedahkan selanjutnya bahawa sungguhpun Sabah hanya mencakupi 10% daripada populasi Malaysia, tetapi ia menyumbang 40 peratus kepada kemiskinan negara.

READ MORE:  Musa Aman - Only DNAA should have been granted

Sarawak yang dirahmati dengan sumber kekayaan, didapati berkedudukan kedua terbawah di kalangan 13 negeri, dengan mempunyai 33.1 peratus isi rumah di kawasan desa yang berpendapatan di bawah RM1,999, dalam satu kajian pendapatan isi rumah pada tahun 2014.

Lebih-lebih lagi, Sabah kini adalah negeri yang bermasalah di Malaysia dengan lambakan imigran tanpa dokumen yang membanjiri negeri tersebut. Ramai antara pendatang asing ini menerima kerakyatan melalui saluran yang meragukan, sebagaimana yang disahkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja pada tahun 2014.

Keselamatan di Sabah semakin merosot untuk penduduk tempatan dan pelancong, terutama mereka yang tinggal di pantai timur, dengan berlakunya kes pemelarian dan penculikan yang kerap, meskipun Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah dan satu pusat operasi telah ditubuhkan untuk mengawasi dan memantau keselamatan di kawasan tersebut pada tahun 2013.

Barangkali ketidakpuasan penduduk Sabah dan Sarawak boleh difahami dengan lebih baik seandainya dibandingkan mereka dengan pembangunan di Brunei dan Singapura. Brunei dan Singapura mencatat KDNK perkapita dengan US$79,700 dan US$85,300 masing-masing pada tahun 2015; sementara Sabah dan Sarawak mencatat KDNK perkapita US$5,822 dan US$12,869 pada tahun 2013, menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan. Brunei menarik diri sebelum Perjanjian Malaysia dimeterai pada tahun 1963.

Walau bagaimanapun, kemunduran Sabah dan Sarawak dari segi pembangunan tidak patut disalahkan sepenuhnya ke atas ketidakseimbangan kuasa di antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

Elit pemerintah korup di Sabah dan Sarawak yang mengeksploitasi sumber alam untuk memperkayakan diri mereka dan keluarga mereka juga patut bertanggungjawab terhadap pembangunan yang tidak mapan dan jurang pendapatan yang semakin luas di antara mereka yang kaya dan miskin di Sabah dan Sarawak. Mereka selesa bersekongkol dengan elit pemerintah dalam kerajaan persekutuan demi mendapatkan sokongan politik dan naungan dengan mengorbankan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak.

Cadangan

READ MORE:  Ensure a workable overseas voting system for Sabah snap election

Demi membina Malaysia yang demokratik, progresif, saksama dan inklusif dan menangani ketidakseimbangan pembangunan ekonomi dan hubungan kuasa di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak dalam pembinaan negara, GBM mencadangkan langkah-langkah berikut:

1. Rakyat Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia bersatu dalam menolak rasuah dan manipulasi sentimen perkauman dan agama di peringkat negeri dan persekutuan. Rakyat di Semenanjung Malaysia mesti menyokong rakyat Sabah dan Sarawak yang berhadapan kesukaran manakala rakyat Sabah dan Sarawak mesti menyokong reformasi politik di peringkat kerajaan persekutuan

2. Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dipinda dari:

“Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

kepada

Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada

(a) Negeri-Negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu.
(b) Sabah;
(c) Sarawak” (Lebih menghampiri peruntukan asal pada tahun 1973)

3. “Persekutuan” dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan didefinisikan semula dari:

“Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957”

kepada

“Persekutuan yang ditubuhkan, sebelum enam belas hari bulan September, tahun sembilan belas enam puluh tiga [16 September 1963] di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, dan selepas hari tersebut, di bawah Perjanjian Malaysia 1963”

4. Kerajaan Persekutuan seharusnya memperuntukkan lebih banyak sumber untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak, terutamanya untuk kemudahan asas dan perkhidmatan sosial di kawasan pedalaman. Adalah tidak adil apabila pendapatan minyak dari Sabah dan Sarawak semuanya disalurkan kepada kerajaan persekutuan, dengan hanya 5 peratus dikembalikan kepada Sabah dan Sarawak dalam bentuk royalti.

Royalti minyak seharusnya dipertingkatkan untuk Sabah dan Sarawak bagi menyokong pembangunan mapan di samping kombinasi dengan langkah-langkah anti rasuah untuk menangani pembalakan melampau, perladangan kelapa sawit bersaiz besar dan projek-projek empangan mega yang telah membawa kepada bencana alam sekitar di Sabah dan Sarawak di samping menjadikan beribu-ribu orang asal hilang tempat tinggal asal.

READ MORE:  Increase in project allocation announcements during Kimanis by-election

5. Lebih penting, kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah mesti mengkaji semula keberkesanan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan memperuntukkan lebih sumber untuk meningkatkan keselamatan di Timur Sabah dan membasmi secara tuntas penculikan dan rompakan.

Kerajaan persekutuan mesti bekerjasama dengan Sabah untuk menangani isu lambakan imigran tanpa dokumen dan penganugerahan kerakyatan melalui saluran yang meragukan, di mana ia menjejaskan integriti pilihan raya di Sabah, dan memutarbelitkan suara penduduk Sabah.

6. Kebimbangan penduduk Sabah dan Sarawak terhadap kebangkitan politik perkauman dan agama harus dipandang berat dan diambil kira dalam penggubalan dasar kerajaan persekutuan. Kerajaan Persekutuan harus menggubal Undang-undang Harmoni Nasional dan menubuhkan Suruhanjaya Perdamaian untuk menyelesaikan isu-isu berkait kaum dan agama.

Zaid Kamaruddin ialah pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments