Penyerahan memo “Protes Selamatkan Bumi”

0
263

Sempena Hari Bumi yang ke-41, sebanyak 45 badan bukan kerajaan dan parti politik dari Pakatan Rakyat telah menyokong memorandum ‘Protes Selamatkan Bumi’.

Sempena Hari Bumi yang ke-41, seramai 80 orang dari Jawatankuasa Selamatkan Bumi telah berkumpul di depan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk berjumpa dengan Menteri Douglas Uggah Embas pada pukul 11.00 pagi, 22 April 2011.

Dari Ipoh sahaja seramai 40 orang ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan masyarakat setermpat telah datang dan beberapa ahli dari Kuantan Environmental Watch Group serta PSM Cameron Highlands turun padang dalam protes in yang bertemakan ‘Protes Selamatkan Bumi’.

Ahli dari Suaram, Jerit, Community Development Centre, Alaigal dan dari parti politik PKR dan DAP turut bersama-sama dalam menjayakan protes.

Sebanyak 45 badan bukan kerajaan dan parti politik dari Pakatan Rakyat telah menyokong memorandum ‘Protes Selamatkan Bumi’ yang mempunyai lima tuntutan utama (sila rujuk dibawah bagi tuntutan-tuntutan tersebut).

Selepas berkumpul di depan Wisma Sumber Asli kami semua telah melaungkan slogan “Selamatkan Bumi”, Tak Nak Nuklear” dan Tak Nak Lynas”.

Dr Mohd Nasir Hashim, Pengerusi PSM dan ADUN Kota Damansara; Dr Jeyakumar Devaraj, Ahli Parlimen Sungai Siput, dan Ahli pusat PSM; Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan dari PKR; wakil Suaram E. Nalini; penyelaras Jerit Madhavi; Zairil Khir Johari, Setiausaha Politik Lim Guan Eng; Jin Hou dari Kuantan Environmental Watch Group; dan Angeline Loh dari Aliran adalah antara mereka yang hadir sebagai delegasi mewakili Jawatankuasa Selamatkan Bumi untuk bertemu dengan Menteri Douglas Uggah Embas.

Tetapi seperti biasa dalam urusan berjumpa dengan pemimpin BN, kami diberitahu bahawa Douglas Uggah sibuk dengan urusan lain dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Zoal Azha bin Yusof telah datang untuk berjumpa kami. Walaupun kami terasa tertipu kerana Menteri tiada (surat pemberitahuan sudah diberi pada awal minggu akan kehadiran kami), namun kami masih menerima kedatangan Zoal di lobi Wisma Sumber Asli.

Apa yang memeranjatkan kami ialah beliau tidak mahu berdiskusi dengan delegasi kami tentang lima tuntutan yang kami ingin cuba terangkan seperti dalam memorandum. Kumar dan Nasir cuba menerangkan bahawa kita tidak boleh berbincang di lobi tanpa kerusi tentang tuntutan-tuntutan yang amat kami hargai.

Pihak kementerian tidak mahu menerima pendapat kami selain dari mengambil memorandum, dan Ketua Setiausaha memberitahu bahawa dia tidak boleh buat keputusan dan hanya bertugas untuk mengambil memorandum daripada delegasi kami tanpa adanya ruang untuk berdiskusi.

Apakah gunanya memberi memorandum kepada Ketua Setiausaha kementerian yang berkata dia tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan termasuk tidak membenarkan kami untuk duduk berbincang dengan hormat dalam sebuah bangunan yang begitu luas dan tinggi?

Dia berkata “tiada bilik’ untuk kita untuk menbincangkan dan menjelaskan memorandum. Apakah nasib memorandum itu yang dirangka dengan penuh teliti, jika masih kita menyerahkan kepada Zoal?

Seperti kata-kata Kumar, besar kemungkinan memorandum itu akan dibuangkan dalam tong sampah selepas kita bersurai dari tempat tersebut.

Justeru itu, ahli delegasi terus membuat keputusan untuk tidak menyerahkan memorandum kepada seorang ketua setiausaha yang telah memperlekehkan kehendak rakyat.

Delegasi kami membuat keputusan tidak menyerahkan memorandum kerana kementerian yang harus berkhidmat kepada rakyat telah menghina rakyat, bak kata Fuziah, “Mereka sudah lupa yang kita yang membayar gaji mereka tetapi ruang untuk berbincang dengan baik tidak dibenarkan.”

Apakah kesudahan episod ini? Semua wakil yang hadir pagi ini telah bersatu hati untuk tidak berpatah hati tetapi akan meneruskan perjuangan ini untuk kebahagian anak cucu kita agar alam sekitar tidak diracuni atau dihancurkan dan kesihatan mereka tidak dimangsakan oleh golongan kapitalis yang rakus membina kekayaan.

Dibawah adalah memorandum sepenuhnya:

PROTES SELAMATKAN BUMI!

Memorandum kepada Datuk Seri Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia daripada Jawatankuasa Selamatkan Bumi.

Di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Aras 17, Wisma Sumber Asli, No. 25, Persiaran Perdana, Presint 4, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya

Sempena dengan Hari Bumi Sedunia yang ke 41, organisasi-organisasi yang menandatangani memorandum ini, menyeru Kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah inovatif untuk menyelamatkan bumi yang semakin tenat akibat perbuatan manusia terutamanya golongan kapitalis (syarikat-syarikat besar) yang hanya pentingkan keuntungan!

Dunia sedar akan kekerapan bencana alam dan impaknya kepada nyawa dan harta benda yang berpunca dari perbuatan manusia yang tidak bertanggungjawab seperti membuang toksik ke udara, sungai dan laut; menghapuskan hutan, paya bakau; pembinaan bangunan di kawasan-kawasan tinggi dan di tepi pantai; menghakis gunung dan perlombongan ekstensif sehingga menjejaskan ekosistem. Bumi ini tidak selamat lagi!

READ MORE:  MOU langkah pertama untuk perlombongan nadir bumi dan mesti diberhentikan (Malay/English)

Kami tidak mahu generasi akan datang menyalahkan kita kerana gagal meninggalkan satu habitat yang selamat dan sihat kepada mereka.

Di sini, kami ingin mengutarakan beberapa polisi dan pelan tindakan kerajaan Barisan Nasional yang mengancam keselamatan Bumi dengan harapan tuntutan-tuntutan dan rekomendasi kami diambil serius.

Tuntutan-Tuntutan Jawatankuasa SELAMATKAN BUMI ialah:

1. HENTIKAN PEMBINAAN REAKTOR NUKLEAR DI MALAYSIA
, kerana rakyat risau tentang keselamatan dan belum ada teknologi untuk mengendali sisa nuklear. Lagipun ia terlalu mahal dan ada alternatif yang lebih baik untuk mendapatkan sumber tenaga. Daripada membuang berjuta-juta ringgit dalam teknologi kuasa nuklear, pembinaan empangan-empangan besar dan perlombongan bahan fosil yang memudaratkan bumi, salurkan duit itu kepada teknologi kuasa angin, solar dan geothermal.

2. HENTIKAN PENGHAPUSAN HUTAN TANPA KAWALAN UNTUK TUJUAN PEMBALAKAN DAN PENANAMAN KELAPA SAWIT ATAU TANAMAN JUALAN LAIN, kerana rakyat risau akan kehilangan tempat tinggal, sumber makanan dan nyawa! Sebaliknya iktiraf hak tanah adat kaum Orang Asli, mobilasi rakyat untuk menanam pokok secara besar-besaran, beri tanah kepada rakyat untuk menanam sayuran-sayuran dan keperluan tempatan yang lain. Buat polisi-polisi dan undang-undang pro-persekitaran dan bukan pro-koperat!

3. HENTIKAN PEMBINAAN INSINERATOR
, kerana rakyat risau akan kesannya kepada kesihatan dan rantai makanan. Lagipun ia mahal dan memang mempunyai alternatif yang lebih mampan untuk mengurus sampah. Iaitu pendidikan 3R (reduce, reuse, recycle) sehingga mencapai ‘pembuangan sifar’. Kajian Kerajaan Kementerian Perumahan menunjukkan rakyat ada 100 peratus kesedaran tapi hanya 80 peratus mempraktikkannya. Jika statistik kerajaan ini benar, kenapa tidak teruskan kempen ini secara berkesan agar kesedaran 3R dapat ditingkatkan lagi, sediakan kemudahan-kemudahan dan mekanisme untuk pelaksanaan 3R, serta kuatkuasakan undang-undang untuk mengimplementasi 3R di semua peringkat.

4. SEDIAKAN SISTEM PENGANGKUTAN AWAM YANG LEBIH EFISEN
, kerana jumlah kenderaan di jalan raya semakin meningkat dan ini menyebabkan kandungan karbon dioksida di udara semakin tinggi. Ini menyumbang kepada kepanasan bumi dan menjejaskan kesihatan rakyat.

5. HENTIKAN PROJEK PEMPROSESAN NADIR BUMI (RARE EARTH) DAN KUATKUASA UNDANG-UNDANG PEMELIHARAN ALAM SEKITAR, kerana toksik-toksik dan bahan radioaktif yang dihasilkan oleh industri-industri akan menjejaskan rantai makanan dan kesihatan rakyat.

Adalah menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk meletakkan kepentingan rakyat dahulu dalam segala pembentukan polisi dan undang-undang. BUMI akan lebih selamat untuk diduduki jika rakyat didahulukan dan bukan koperat-koperat besar yang hanya pentingkan keuntungan dan keselesaan.

Polisi dan amalan-amalan yang mengancam keselamatan bumi

Terdapat pelbagai polisi dan amalan kerajaan Malaysia yang menjejaskan keselamatan Bumi dan benda-benda hidup di muka bumi ini, namun lima perkara utama ingin kami ketengahkan untuk perhatian pihak kerajaan:

1. Pembinaan reaktor nuklear

Baru-baru ini, pihak kerajaan mengumumkan pelan pembinaan dua reaktor nuklear untuk sumber tenaga pada tahun 2021. Ini adalah satu keputusan yang salah. Kenapa? Kajian-kajian menunjukkan terdapat lebih kurang 41 kemalangan nuklear awam, 64 kemalangan nuklear tentera, 18 kemalangan radiasi dan banyak jenis kemalangan lain di tapak kuasa nuklear antara tahun 1950 dan 2011 akibat kecuaian dan kekurangan teknologi. Dari segi jumlah kematian akibat nuklear mungkin rendah berbanding faktor lain namun tidak boleh dinafikan bahawa radiasi dari nuklear ini telah membawa kemudaratan kepada alam sekitar dan manusia. Contoh terbaik adalah insiden Chernobyl, 1986 di Ukraine. Kemalangan tersebut membunuh 56 orang dan dianggarkan lebih 4000 orang mati akibat kanser maut termasuk memusnahkan harta benda bernilai $7bn. Lebih kurang 350000 penduduk ditempatkan semula jauh dari kawasan terbabit. Jangkaan terbaru mengatakan bahawa lebih kurang 400000-500000 penduduk telah terdedah kepada kandungan radiasi yang tinggi, yang boleh menyebabkan kanser darah dan kecacatan DNA dalam 10-40 tahun akan datang. Kemalangan terbaru ialah di Fukushima, Jepun. Walaupun, Jepun sebuah negara yang kaya dengan teknologi canggih, namun malapetaka Mac 2011 tidak membantu. Inikan pula, negara membangun seperti Malaysia yang masih lemah dari segi pengurusan, mempunyai amalan rasuah yang tinggi dan bergantung kepada negara maju untuk teknologi di mana ia akan menelan belanja yang tinggi. Satu pembaziran yang amat merbahaya!

Beberapa negara seperti Venezuela, Cuba, Denmark dan Lithuania telah menutup semua reaktor nuklear mereka dan terbaru dalam senarai ialah German yang telah menutup sebahagian dari reaktor nuklear mereka hasil tekanan dari rakyat. Kami menyeru kerajaan Malaysia mengikut jejak langkah negara-negara ini dan memilih sumber-sumber tenaga yang lebih selamat.

2. Pembalakan dan penghapusan hutan

READ MORE:  Penghormatan kepada pejuang Malaysia sebenar – SM Mohamed Idris

Mengira dengan tepat kawasan yang masih diliputi hutan adalah sukar disebabkan beberapa faktor termasuk definisi hutan yang berbeza. Menurut statistik Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO), yang boleh dikira sebagai anggapan yang tinggi, 62 peratus (20456000 hektar) kawasan Malaysia terdiri dari hutan yang menjadi tempat tinggal 1671 spesis yang telah dikenalpasti. Namun, antara tahun 2005 hingga 2010, kita ‘kehilangan’ 0.42 peratus kawasan hutan setiap tahun. Kadar ini adalah lebih tinggi dari negara-negara lain di Asia Tenggara, purata 0.35 peratus setahun. Antara tahun 1990 dan 2010, Malaysia kehilangan 1920000 hektar hutan. Bagaimana?

Walapun pihak kerajaan melaung-laungkan akan memelihara hutan, teknologi hijau dan sebagainya, tapi kerajaan nyata lebih berpihak kepada syarikat-syarikat yang hanya mahu mengaut keuntungan dengan ‘menyembelih’ hutan-hutan. Umpamanya dalam pembinaan empangan Bakun yang bukan sahaja menelan belanja yang tinggi dan meyebabkan beribu Orang Asli kehilangan rumah dan tanah mereka, malah ia bakal membanjiri (flooding) 170000 ekar hutan!

Dari segi pembalakan, Syarikat pembalakan terbesar, Samling memiliki 1.3 juta ekar tanah dan syarikat ini juga dituduh melakukan pembalakan haram dan membinasakan alam sekitar di Asia Tenggara, Amazon dan Pasifik. Rimbunan Hijau, satu lagi syarikat besar yang mencabul hak asasi kaum Orang Asli. Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC) juga satu lagi syarikat yang mendapat restu kerajaan BN untuk membuat pembalakan ekstensif.

Beribu hektar hutan juga telah dibersihkan untuk penanaman kelapa sawit dan pihak kerajaan telah memberikan pengecualian cukai 100 peratus kepada pemilik-pemilik ladang ini. Pihak kerajaan juga baru-baru ini telah mengumumkan bahawa 2 juta hektar tanah termasuk tanah Orang Asli akan diguna untuk menanam kelapa sawit sebelum 2020. Industri kelapa sawit di Malaysia dikatakan membebaskan lebih daripada 20 juta metrik tan karbon dioksida setiap tahun.

Malah, kajian terbaru yang dilakukan oleh kumpulan alam sekitar Wetlands International menunjukkan 1/3 dari (353000 hektar or 872,000 ekar) hutan paya bakau Sarawak dan 10 peratus dari hutan hujan telah dibersihkan antara tahun 2005 dan 2010, di mana 65 peratus dijadikan ladang penanaman kelapa sawit. Adanya paya bakau (peat swamp forests) bagaikan satu tembok keselamatan kepada kita dari bencana alam seperti tsunami. Kawasan-kawasan ini juga bagaikan setor karbon dioksida. Maka penghapusan hutan-hutan paya bakau akan membebaskan karbon dioksida ke udara dan meningkatkan suhu bumi yang menjadi punca perubahan cuaca. Kerajaan harus hentikan segala kegiatan-kegiatan ini, sekurang-kurangnya perlu ada kawalan!

3. Pengurusan/pelupusan sampah

Diakui bahwa isu pengurusan sisa pepejal adalah sata masalah besar di Malaysia dengan lebih 16,000 tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari. Dikatakan kini terdapat 230 kawasan penimbusan sampah (landfills) dan banyak lagi kawasan pembuangan sampah haram. Teknologi ini dikatakan tidak boleh diteruskan kerana tiada lagi tanah. Ia juga terdapat risiko kesihatan jika bahan beracun dari bahan buangan tersebut meresap ke dalam air bawah tanah. Malah penimbusan juga hasilkan bio-gas yang akan tersimpan dalam tanah dan mungkin tercampur di udara.

Keputusan kerajaan BN untuk memilih teknologi insinerator untuk menggantikan landfills merupakan satu alternatif yang merbahaya. Setakat ini lima insinerator kecil sedang dibina di Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Labuan dan Cameron Highlands. Dalam Rancangan Malaysia ke-10 diumumkan dua insinerator kapasiti tinggi iaitu di Melaka dan Johor akan dibina. Rakyat sememangnya tidak setuju dengan pembinaan insinerator. Ini jelas dari bantahan yang timbul dari masyarakat sekitar Broga, Semenyih dan Puchong apabila insinerator dicadangkan di kawasan mereka. Kini, masyarakat di Cameron Highlands juga membantah insinerator di kawasan mereka.

Malah, pakar-pakar dalam hal-ehwal pengurusan sampah mengatakan bahawa kos untuk mengendali insinerator sangat tinggi, RM1-RM2bn untuk satu insinerator dan memerlukan jangka masa panjang untuk merancang dan membina serta perlukan buruh mahir tinggi. Juga khuatir kadar dioxin serta debu yang dibebaskan ke udara akan membawa mudarat kesihatan kepada rakyat sekitar. Kajian tahun 1995 di US menunjukkan dioxin telah meresap ke dalam rantai makanan.

Maka itu, adalah tidak wajar kerajaan meneruskan pembinaan insinerator ini, sebaliknya perlu cari satu penyelesaian yang lebih selamat, berkesan dan murah.

4. Sistem pengangkutan awam

Satu kajian mengenai Estimation of Carbon Dioxide Emissions from the Transport and Residential Sectors in Malaysia (2004), penghasilan karbon dioksida dari sektor pengangkutan meningkat dari 35 billion kilogram dalam tahun 2000 kepada lebih dari 119 billion kilogram dalam tahun 2010, manakala dalam sektor perumahan, ia bertambah dari 3.9 billion kilogram dalam tahun 2000 kepada lebih kurang 4.7 billion kilogram dalam tahun 2010. Saranan pengkaji, kerajaan harus memperkenalkan bahan-bahan menjimatkan tenaga, yang murah dan mudah diperolehi di pasaran.

READ MORE:  Group cautions against exploration, mining of rare-earth minerals

Kadar pembebasan karbon dioksida juga boleh dikurangkan secara berkesan jika bilangan kenderaan di jalanraya kurang dan bilangan mereka yang memiliki kenderaan bertambah kurang agar pemanasan bumi dapat dikurangkan (juga masalah kesesakan lalu lintas). Ini hanya dapat dilakukan jika kerajaan menyediakan sistem pengangkutan awam yang cekap dan rakyat perlu ada akses untuk kemudahan ini tidak kira di mana mereka tinggal – kawasan pedalaman mahupun bandar.

5. Toksik dan bahan radioaktif

Terdapat banyak insiden di Malaysia di mana industri-industri yang mengeluarkan sisa toksik merbahaya dibenarkan malah tiada kawalan atau penguatkuasaan terhadap kilang-kilang yang membuang bahan-bahan toksik atau sampah dari kilang atau industri mereka ke dalam sungai, longkang dan ditempat terbuka. Antaranya, pembuangan baja kimia dan racun serangga sehingga menjejaskan kualiti air minuman di Sungai Terla, Cameron. Pengilang dari Taiwan dilaporkan mengeksport sisa kimia ke Malaysia dan ditanam di kawasan terpencil di Johor. Dilaporkan pada tahun 2006, lebih 300 penduduk dari Kampung Sungai Gatom di Daerah Labis terpaksa berpindah kerana gas ammonia tersebar dari sebuah tapak pelupusan sisa toksik haram di kampung itu, yang sebenarnya berasal dari sebuah kilang di Melaka. Juga dilaporkan pada Mac 2011 bahawa Jabatan Alam Sekitar Sabah gagal menguatkuasa Akta Alam Sekeliling sehingga menyebabkan nyawa lebih 3.2 juta rakyat Sabah terdedah kepada kesan langsung radiasi, penyakit dan keracunan yang berpunca daripada pencemaran berlebihan bahan buangan sisa toksik plumbum.

New York Times melaporkan bahawa kerajaan Malaysia mengalu-alukan projek radioaktif mega di Gebeng, Kuantan Pahang. Kedua-dua kerajaan Australia dan Lynas Corporation akan membina loji pemprosesan nadir bumi (rare earth) ini menjelang September 2011. Tiada sebarang rundingan dengan rakyat tempatan. Loji sedemikian pernah dibina di Bukit Merah, 1980an dan ia telah ditutup pada tahun 1992 ekoran protes awam. Hampir dua dekad kemudian loji itu yang dikaitkan dengan lapan kes leukemia di kalangan penduduk tempatan masih berhadapan dengan kerja-kerja pembersihan yang menelan kos RM303 juta.

Perkembangan ini mengejutkan rakyat Malaysia terutamanya penduduk Kuantan. Satu lagi tindakan tidak bertanggungjawab dan pihak kerajaan tidak harus meneruskan projek ini.

Kesimpulan

Jawatankuasa Selamatkan Bumi berharap pihak kerajaan akan meneliti tuntutan dan rekomendasi kami demi untuk SELAMATKAN BUMI untuk generasi masa depan.

Disokong oleh:

1. Alaigal
2. Aliran
3. All Petaling Jaya Selangor Residents Association Coalitions (APAC)
4. Amnesty International Malaysia Youth Section (AIMYN)
5. Ampang Socialist Arts Club (ASAC)
6. AWAM
7. Borneo Resources Institute Malaysia (BRIMAS)
8. Center for Orang Asli Concerns
9. Centre for Independent Journalism
10. Civil Rights Committee of KL & Selangor Chinese Assembly Hall
11. Civil Society Committee of LLG Cultural Development Centre
12. Coalition for Good Governance, Penang
13. Coalition of Kelantan NGOs
14. Community Action Network (CAN)
15. Community Development Centre (CDC)
16. Democratic Actionparty (DAP)
17. Food Not Bombs (FNB)
18. Friends of Kota Damansara (FOKD)
19. Gerakan Demokratik Belia Dan Pelajar Malaysia (DEMA)
20. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)
21. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
22. Jaringan Tanah Hak Adat Bangsa Asal Sarawak
23. Kuantan Environmental Watch Group
24. Magick River
25. Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM)
26. Malaysians Against Death Penalty and Torture (MADPET)
27. Monitoring Sustainability of Globalisation (MSN)
28. Parti Islam SeMalaysia (PAS)
29. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
30. Parti Rakyat Malaysia (PRM)
31. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
32. People Living With HIV +
33. Persahabatan Semparuthi, Johor (PSJ)
34. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (PKKS)
35. Persatuan Masyarakat Selangor & Wilayah Persekutuan (PERMAS)
36. Pertubuhan Belia Hindu, Pelabuhan Klang
37. Pusat Komas (Komas)
38. Sabah Women Action – Resource Group (SAWO)
39. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
40. Sembang-sembang Forum
41. Sisters in Islam (SIS)
42. SOS Selangor
43. SUARAM
44. Worker Hub For Change (WH4C)
45. Writers Alliance for Media Independence (WAMI)

(Visited 461 times, 1 visits today)
Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.

Join the conversation

avatar
750
  Subscribe  
Notify of