Jeyakumar: Kementerian Kesihatan mesti bertanggung-jawab

1

Berikut ialah intervensi Dr Jeyakumar Devaraj dalam perbahasan Bajet Kementerian Kesihatan pada 16 November 2011.

Terima kasih Dato Speaker kerana memberi saya peluang mengambil bahagian dalam perbahasan bajet Kementerian Kesihatan. Izinkan saya menyentuh butiran 010100, Pengurusan dan 010600, Pembangunan Kompetensi.

Saya ingin mengemukakan kes Pn. Chow Chooi Mei, seorang pesakit Tibi di Ipoh yang telah hilang penglihatan dan mengidap spastic paraplegia akibat kesan sampingan dos ubat yang keterlebihan. Kes Pn Chow menunjukkan kelemahan dalam cara Kementerian Kesihatan mengendalikan kes seperti ini.

Kes ini telah berlaku pada tahun 2005. Walaupun pihak Hospital Ipoh sedar akan kecuaian dalam kes Pn Chow, tiada sesiapa yang menawarkan beliau pampasan. Dia dibiarkan balik begitu sahaja. Oleh itu beliau terpaksa menfailkan kes terhadap Kementerian. Sepatutnya, peluang ini digunakan oleh Kementerian Kesihatan untuk menyelesaikan kes ini secara baik; malangnya ini tidak dilakukan.

Sebaliknya Peguam Negara (AG Chambers) telah menghantar seorang peguam yang telah menggunakan hujah teknikal untuk membuang kes. Alasan yang dipakai adalah bahawa doktor yang dinamakan hanya masuk wad itu selepas ubat Tibi dimulakan. Oleh kerana nama doktor yang tertera dalam kes adalah “salah”, adakah ini bermaksud tanggungjawab Kementerian terhadap pesakit ini terus terputus. Apa ini? Tidak masuk akal. Dalam hospital kerajaan, keputusan untuk merawat penyakit Tibi mungkin diambil oleh pakar semasa membuat lawatan pesakit-pesakit, Pegawai Perubatan (MO) akan memberitahu dos ubat pada pelatih (houseman) yang mencatitkannya. Jadi, siapakah yang harus dinamakan? Dan kesan sampingan buruk tidak menimbul pada minggu pertama. Ia telah berlaku selepas empat bulan. Jadi kesalahannya adalah pada kumpulan doktor yang terlibat. Kenapakah Kementerian Kesihatan tidak mahu bertanggungjawab?

Bukan itu sahaja, Peguam Negara telah membawa due orang pakar perubatan daripada Kuala Lumpur sebagai saksi. Mereka telah memberi maklumat yang salah di mahkamah. Saya telah memfailkan kes terhadap mereka di Majlis Perubatan. Kenyataan mereka merupakan satu kecuaian yang sudah melampau!

Baru-baru ini Pn Chow ditawar RM30000. Tidak cukup Menteri. Buatlah hitungan jika kita bayar Pn Chow RM800 sebulan. Beliau sekarang berumur 46 tahun. Kita memerlukan RM200000 jika kita mahu teruskan bayaran RM800 sebulan untuknya sampai dia berumur 80 tahun ke atas.

YB Menteri saya tidak memohon doktor terlibat dipenjarakan. Saya tidak minta doktor terlibat digantung lesennya. Memang kesilapan berlaku dalam amalan perubatan. Medicine is not an exact science! Apa yang kita harus buat ialah memberi sagu hati yang setimpal supaya Pn Chow boleh hidup dengan maruah. Beliau seorang balu. Suami sudah meninggal dunia. Beliau seorang diri dan tidak layak dapat Perkeso.

Jawapan Menteri bahawa AG tidak boleh memberi pampasan tidak dapat saya terima. Kementerian adalah pelanggan, dan AG hanya Peguam. Bagaimana peguam boleh mengawal pelanggan. It’s like the tail wagging the dog! Dengan izin! Sudah satu tahun saya membawa kes ini ke Parlimen dan masih belum selesai.
Sekarang saya ingin beralih ke isu kursus kejururawatan. Butiran 010400, Perancangan Tenaga Manusia. Saya diberitahu melalui jawapan bertulis pada 3 November 2011 bahawa pada takat ini wujudnya 41000 penuntut kursus kejururawatan di 61 buah kolej swasta. Hari ini saya baru menerima jawapan daripada Kementerian bahawa pada masa ini ada seramai 69110 orang jururawat terlatih yang sedang berkhidmat di Malaysia – 47992 di sektor awam dan 21118 di sektor swasta.

Saya ingin tanya, manakah 41000 penuntut kejururawatan yang masih di kolej pada takat ini akan mendapat kerja. Jawapan pada saya bertarikh 14 November 2011 dinyatakan bahawa hanya 45.5 peratus daripada graduan kejururawatan yang lulus peperiksaan Lembaga Jururawat pada tahun 2010 dapat cari kerja! YB Menteri, pasaran untuk jururawat telah dibanjiri. It is flooded. Mengapakah Kementerian tidak mengurangkan kuota untuk kolej-kolej kejururawatan? Hampir semua daripada penuntut ini telah mengambil pinjaman PTPTN. Tetapi jika tidak dapat kerja, macam mana mereka akan membayar balik? Bolehkah Kementerian Kesihatan mengambil alih hutang penuntut-penuntut kejururawatan yang tidak dapat cari kerja selepas berijazah? Mereka kena ditipu! Mereka ambil kursus kerana mereka percaya kerajaan sedang mengawal situasi. Mereka percaya mereka akan dapat kerja selepas lulus kursus. Tetapi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi telah gagal untuk mempastikan keadaan ini.

Akhir sekali saya ingin sentuh butiran 100000, Dasar Baru. Saya telah menghadiri taklimat oleh Ketua Pengarah Kesihatan berkaitan Rancangan 1-Care baru-baru ini bersama YB Gopeng. Saya ingin mengucap terima kasih pada Kementerian kerana menganjurkan dialog seperti ini dan saya harap proses ini akan diteruskan. Tetapi saya bimbang dengar cadangan-cadangan yang telah diumumkan kerana nampaknya ia terlalu berdasarkan pada insentif kewangan dan ingin memakai “pasaran dalaman” atau “internal market mechanism” untuk mencapai sistem yang lebih efisyen.

Saya telah berkerja di Hospital kerajaan selama 20 tahun sebelum masuk politik dan saya tahu daripada pengalaman saya bahawa ramai doktor bekerja selepas waktu pejabat, pada hari kelepasan am dan juga ambil kelas untuk doktor-doktor yang sedang latih selepas waktu pejabat. Mereka melakukan kesemua ini kerana mereka profesional. Jadi adalah satu kesalahan untuk menganggap bahawa hanya insentif kewangan yang boleh menggerakkan manusia. Satu sistem yang menumpukan pada insentif kewangan akan meracuni sistem kita. It will bring out negative values in our health personnel.

YB Menteri, kita ada satu sistem kesihatan awam yang baik. Dan kita mempunyai ramai doktor yang baik yang sedia berkhidmat untuk rakyat kita. Saya rasa cara yang baik adalah untuk memperkukuhkan sistem awam yang kita sedia ada. Satu cara adalah untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berlainan untuk kakitangan kesihatan. Tidak perlu kita bayar mereka gaji yang sama seperti di sektor swasta. Tetapi kita boleh memakai kaedah seperti memberi mereka kemudahan “sabbatical” selama tiga bulan setiap lima tahun mereka berkhidmat. Doktor-doktor suka mempertingkatkan kepakaran mereka – belajar skop baru, membelajar teknologi rawatan baru dan sebagainya. Bidang rawatan semakin berkembang dan sistem memberi sabbatical akan membantu kita mempertingkatkan kepakaran kakitangan kita.

Saya harap Kementerian akan buka dialog dengan lebih ramai pihak. Jangan terlalu dipengaruhi oleh World Bank dan IMF. Mereka terkongkong dalam fahaman neoliberal yang menganggap manusia hanya dipengaruhi oleh insentif kewangan sahaja. Ini memang tidak betul.

Saya harap perkara-perkara yang saya timbulkan di sini akan ditangani. Terima kasih.

Dr Jeyakumar Devaraj ialah Ahli Parlimen Sungai Siput

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
1 Comment
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments