Deklarasi 1 Mei 2011: Harga barang naik, gaji bila lagi?

0

Sempena dengan Hari Pekerja Sedunia 2011, kami warga pekerja Malaysia menuntut agar kerajaan Malaysia hentikan segala bentuk sandiwara dalam pelaksanaan akta gaji minima dan mengawal kenaikan harga barang yang semakin tinggi. Kelas pekerja dan rakyat Malaysia tidak mampu menanggung beban kos hidup yang semakin meningkat!

Kenaikan Harga barang seperti minyak dan gula memberi impak yang tinggi kepada rakyat dan kaum pekerja khususnya yang berpendapatan rendah. Alasan yang diberikan oleh kerajaan – ‘penyelarasan subsidi’ iaitu mengalihkan beban subsidi dan defisit yang ditanggung oleh kerajaan kepada rakyat untuk mengelakkan kerajaan menjadi muflis. Ini merupakan satu hujah yang tidak rasional kerana pada masa yang sama kerajaan dengan bangganya mengumumkan pelbagai projek mega seperti bangunan 100 tingkat yang tidak memberi manfaat kepada rakyat. Ini merupakan satu pembaziran yang tidak seharusnya dilakukan dalam keadaan rakyat terbelenggu dengan pelbagai tekanan ekonomi akibat sistem kapitalis ini. Walaupun kerajaan kerap mengisytiharkan kejayaannya menguruskan ekonomi namun ia tidak mampu mengubah kehidupan rakyat. Rakyat masih terbelenggu dengan pelbagai beban yang dialihkan oleh pihak kerajaan kepada mereka.

Dalam masa sama, nepotisme, kronisme, ketidak telusan dalam menguruskan wang rakyat, penyalahgunaan kuasa dan rasuah masih berlaku diperingkat atasan sehingga membawa ke pengagihan sumber kekayaan yang tidak adil. Yang miskin terus miskin, yang kaya terus mengawal dan menikmati sumber kekayaan negara. Malaysia mempunyai jurang perbezaan pendapatan antara kaya dan miskin paling tinggi di Asia Tenggara. Kira-kira 40 peratus penduduk hanya memiliki 14.3 peratus pendapatan negara sedangkan golongan atas 20 peratus memiliki 50 peratus pendapatan negara. Menteri Sumber Manusia juga telah menyatakan 34 peratus daripada kaum pekerja menerima pendapatan di bawah garis kemiskinan iaitu RM720. Dasar ekonomi yang menjurus ke arah pertumbuhan ekonomi dan sistem pasaran terbuka semata-mata terus dipersoalkan kerana ia tidak menjamin agihan ekonomi yang adil. Tumpuan terhadap arah pertumbuhan ekonomi semata-mata hanya akan merangsang persaingan di kalangan kaum pemodal tanpa kawalan seterusnya menggalakkan penindasan ke atas pekerja.

Akta gaji minima merupakan dasar baik dalam menangani kemiskinan di kalangan pekerja. Kebanyakkan negara di dunia sudah mempraktikkan kadar gaji minima, tetapi Malaysia masih belum mencapai kata putus sama ada mahu melaksanakannya atau tidak. Organisasi Pekerja Antarabangsa (ILO) mendefinisikan gaji minima sebagai satu amaun minimum yang ideal yang harus dibayar oleh majikan kepada pekerjanya bersesuaian dengan keperluan minimum harian seseorang pekerja dan keluarga. Pengwujudan kadar gaji minima yang ideal dan manusiawi merupakan mekanisme terbaik bagi menangani isu kemiskinan yang membelenggu rakyat negara ini. Akta Gaji Minina juga merupakan satu bentuk penghargaan kepada jasa dan pengorbanan kaum pekerja terhadap pembangunan negara.

Oleh yang demikian, Hari Pekerja, 1 Mei 2011, yang merupakan lambang kebangkitan rakyat khususnya pekerja yang rata-ratanya tertindas dan terperangkap dalam kemelut agihan ekonomi negara yang tidak seimbang menuntut:

1. Pelaksanaan Akta Gaji Minima dan mansuhkan polisi gaji murah
Memastikan penguatkuasaan perundangan berkaitan akta gaji minima serta pemantauan secara komprehensif dan konsisten bagi memastikan tiada lagi pekerja dieksploitasi dalam konteks pemberian gaji yang rendah.

2. Hentikan kenaikan harga barangan – Kembalikan semula subsidi terhadap barangan asas.

3. Hentikan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan EU – Libatkan rakyat dalam proses membuat keputusan.

4. Hentikan cukai barangan dan perkhidmatan (gst) – Hapuskan segala bentuk cukai termasuk GST yang membebankan rakyat

5. Gubal rang undang-undang anti gangguan seksual – Elakkan diskriminasi terhadap kaum wanita, pastikan tempat kerja selamat serta diberi perlindungan dari gangguan seksual.

6. Tingkatkan penglibatan tenaga kerja wanita yang terbantut selama 30 tahun pada tahap 46.7 peratus. Sediakan tempat asuhan kanak-kanak yang dibiayai oleh kerajaan untuk membolehkan wanita melibatkan diri dalam pembangunan negara.

7. Hentikan Penswastaan – khususnya terhadap perkhidmatan awam seperti hospital dan air dan hentikan Skim Pembayaran Penuh Pesakit (Full Paying Patients) di hospital kerajaan dengan segera.

8. Laksanakaksanakan pendidikan percuma untuk semua – Mansuhkan segala jenis yuran dari prasekolah hingga universiti.

9. Isytiharkan kesatuan sekerja secara automatik – Mansuhan undang-undang yang mendiskriminasi pekerja dan sebarang peraturan yang memangsakan ahli kesatuan sekerja.

10. Iktiraf hak tanah adat orang asli/asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status tanah Rizab Orang Asli di Malaysia. Rancangan pembangunan tanah Orang Asli hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi Orang Asli.

11. Hak perumahan hak rakyat, sediakan perumahan yang mampu dimilik, yang selesa, cukup ruang, dengan kemudahan yang perlu untuk pembangunan sosial keluarga dan komuniti.

12. Mansuhkan segala undang-undang yang menindas dan mendiskriminasi rakyat dan pekerja, antaranya ISA, OSA, EO, DDA, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Pertubuhan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak.

13. Wujudkan tabung pemberhentian kerja dengan segera dan bantuan terus kepada pekerja yang kehilangan kerja. Kerajaan harus memperuntukkan RM0.5bn untuk mulakan tabung ini dan gunakannya untuk membantu mereka yang dibuang sehingga dapat kerja.

14. Wujudkan polisi dan perundangan domestik bagi melindungi pekerja tidak rasmi.

15. Tandatangan beberapa Konvensyen lain seperti Konvensyen 1951 berkaitan Status Pelarian dan Protokol 1967 dan Konvensyen Pekerja Asing bagi membolehkan hak migran, pelarian dan pencari suaka bekerja secara sah dan bebas daripada eksploitasi dan penindasan.

16. Laksanakan polisi ekonomi berlandaskan keperluan tanpa mengira kaum dan jantina. Menuntut suatu model pembangunan yang saksama, yang memberi kepentingan kepada rakyat setempat di mana segala rancangan pembangunan mestilah dibincang dan dipersetujui oleh semua.

17. Menuntut sistem pentadbiran kerajaan yang adil serta pelaksanaan dan agihan ekonomi yang benar-benar telus, bersih dan bebas dari segala bentuk rasuah, kronisme dan penyelewengan.

18. Selamatkan bumi kita, hentikan pembinaan reaktor nuklear di Malaysia, hentikan penghapusan hutan tanpa kawalan untuk tujuan pembalakan dan penanaman kelapa sawit.

Thanks for dropping by! The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments