Perkhidmatan kesihatan awam Malaysia: Mengapa kita mesti mempertahankan ‘jiwa’ negara

Perubahan yang dicadangkan oleh pihak tertentu mungkin akan mengkomersialkan perkhidmatan awam ini

MARIONBRUN/PIXABAY

Follow us on our Malay and English WhatsApp, Telegram, Instagram, Tiktok and Youtube channels.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat menghargai sistem kesihatan awam yang diuruskan oleh kerajaan Malaysia dengan perbelanjaan lebih daripada RM46bn bagi tahun 2025.

Bagi kami, sistem kesihatan awam mengotakan cogan kata “masyarakat penyayang” dan menjadikan Malaysia lebih prihatin (compassionate) terhadap rakyat jelata.

Sistem kesihatan awam kita harus dipertahankan dan diperkasakan, supaya dapat terus memberi perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat kita tanpa mengambil kira status ekonomi mereka ataupun kemampuan mereka membayar.

Akan tetapi, kami berasa khuatir apabila mendengar kenyataan pemimpin politik dan pegawai kanan Kementerian Kesihatan yang, nampaknya, meninggalkan prinsip perkhidmatan kesihatan sejagat dan menuju ke arah sistem baharu yang berorientasikan perniagaan.

Antara isu yang menimbulkan kekhuatiran di pihak kami adalah:

  1. Syor pengwujudan agensi ‘pembeli strategik’

Menurut pencadang syor ini, peranan pembeli strategik adalah untuk membayar kos rawatan pesakit di hospital kerajaan dan hospital swasta, mengikut rawatan yang diterima oleh pesakit tersebut.

Salah satu objektif cadangan ini adalah untuk mengintegrasikan sistem kesihatan awam dan swasta supaya semua rakyat dapat menikmati kepakaran yang wujud dalam kedua-dua sektor tersebut.

Untuk melaksanakan cadangan ini, semua hospital kerajaan perlu dikorporatkan supaya mereka boleh berfungsi sebagai sebuah syarikat dan memohon bayaran daripada pembeli strategik untuk setiap pesakit yang dirawat oleh mereka.

Ini merupakan satu perubahan yang besar dalam sistem pendanaan (funding) hospital kerajaan.

Pada masa ini, hospital-hospital kerajaan menerima peruntukan (“global budget”) yang berdasarkan perbelanjaan mereka dalam merawat pesakit sepanjang tahun sebelum itu.

Sistem pendanaan baharu ini menghendaki hospital-hospital awam untuk mengemukakan caj terhadap setiap pesakit yang dirawat. Ini akan menukar pendekatan hospital kerajaan ke arah perniagaan dan menimbulkan masalah-masalah seperti berikut:

  • kecenderungan untuk memberi diagnosis yang lebih serius kerana ia akan mendapatkan bayaran yang lebih besar. Umpamanya, diagnosis “unstable angina” akan dapat bayaran yang lebih besar berbanding diagnosis “chest pain for investigation”
  • pendekatan ini akan mendorong ke arah intervensi, umpamanya angiogram untuk kes sakit dada, pembedahan appendisectomy untuk pesakit dengan sakit perut dan pembedahan lower section Caesarean surgery (LSCS) untuk wanita yang hamil, kerana boleh caj lebih untuk rawatan berbentuk intervensi
  • kemungkinan sistem pendanaan baharu ini akan mengurangkan aktiviti-aktiviti yang tidak mendapat bayaran, misalnya, pendidikan kesihatan, langkah-langkah pencegahan, saringan untuk penyakit tidak berjangkit dan sebagainya.
  • akan meningkatkan kos pengurusan kerana setiap kes harus dituntut bayarannya daripada pembeli strategik. Birokrasi akan meningkat secara mendadak. Kos mengaudit untuk mencegah penipuan oleh pihak yang menuntut juga akan meningkatkan kos
READ MORE:  Penang shows the way to tackle pigeon menace

Tetapi kesan negatif terbesar adalah etos di hospital awam akan berubah ke arah etos berniaga. Etos pada masa ini adalah lebih holistik dan berdasarkan keperluan klinikal. Isu kos dan cara meningkatkan amaun untuk dituntut daripada pembeli strategik akan menjadi dominan jika hospital awam dikorporatkan.

  1. Skim Rakan KKM

PSM kurang selesa dengan skim ini kerana, pada anggaran kami, lebih kurang 70% daripada doktor pakar yang berpengalaman 10 tahun ke atas selepas memperolehi kepakaran, berkhidmat di sektor swasta.

Manakala 70% daripada jumlah pesakit yang memerlukan rawatan di hospital, adalah di rawat di hospital-hospital awam.

Ketidakseimbangan ini adalah sebabnya:

  • kelewatan sering berlaku dalam mendapat janji temu untuk berjumpa doktor pakar
  • kelewatan dalam penjadualan rawatan spesifik seperti angiogram ataupun pembedahan
  • ketidakpuasan hati dalam kalangan orang awam
  • dan tekanan jiwa dan fenomena ‘burnout’ dalam kalangan doktor kerajaan

Pelaksanaan skim Rakan KKM akan menyebabkan ketidakseimbangan tersebut menjadi lebih teruk kerana sebahagian daripada doktor pakar kanan akan melibatkan diri dalam skim ini. Akibatnya, masa mereka untuk menjaga pesakit awam yang tidak membayar akan jadi lebih singkat lagi.

Ketidakcukupan peruntukan untuk KKM

Apa yang kami faham adalah, kedua-dua skim di atas adalah disebabkan oleh ketidakcukupan peruntukan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kami sedar bahawa KKM menerima peruntukan yang kedua terbesar dalam kalangan kementerian-kementerian kerajaan. Peruntukan bagi KKM untuk tahun 2025 adalah RM46bn ataupun hampir 12% daripada jumlah belanjawan negara.

Tetapi pada kami, ini tidak mencukupi. Negara-negara maju sedang memperuntukkan kira-kira 19% daripada belanjawan mereka untuk sistem perkhidmatan kesihatan awam di negara-negara mereka seperti dirakam dalam jadual di bawah.

Jadual: Nisbah perbelanjaan kerajaan terhadap perkhidmatan kesihatan

Syor kita adalah bahawa Malaysia harus berusaha untuk meningkatkan peruntukan bagi perkhidmatan kesihatan awam kepada 5% keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam jangka masa lima tahun.

READ MORE:  Excessive penalties and powers in Malaysia's amended infectious diseases law

Kami memang sedar kerajaan Malaysia sedang menanggung hutang sebanyak RM1.2tn pada masa ini, dan defisit dalam Belanjawan 2025 adalah lebih kurang 4% KDNK.

Tetapi adalah penting untuk kita menyiasat mengapa ini berlaku dalam sebuah negara yang telah mengalami pertumbuhan KDNK pada kadar 3-8% setahun untuk 30 tahun yang lalu.

Carta yang berikut meringkaskan analisis kami.

Carta 1: Peningkatan KDNK per kapita (sebenar) di Malaysia

KDNK
Tahun 1970 = RM10.7bn
Tahun 2019 = RM1,500bn
1500 dibahagi 10.7 = 140.2Inflasi = 540%
140.2 dibahagi 5.04 = 25.96 (dalam nilai sebenar)

Populasi: 10 juta ke 32 juta
25.96 dibahagi 3.2 = 8.11 (dalam nilai sebenar per kapita)

Mengikut analisis PSM, pada tahun 2019, KDNK per kapita, dalam nilai sebenar (iaitu selepas mengambil kira kesan inflasi), adalah lapan kali lebih besar berbanding tahun 1970.

Tetapi, pendapatan kerajaan, diukur sebagai nisbah pada KDNK menurun daripada 30% KDNK pada tahun 1980-an ke 16% KDNK kini. (Ini hampir sama dengan trend perbelanjaan kerajaan yang ditunjukkan dalam carta di bawah.)

Carta 2: Hasil kerajaan dalam nisbah terhadap KDNK

Sebab utama untuk fenomena ini (yang berlaku di hampir semua negara di dunia kita) adalah kerana cukai korporat di Malaysia, yang merupakan sumber utama bagi pendapatan kerajaan, telah dikurangkan secara berperingkat daripada 40% terhadap untung korporat pada tahun 1988 ke 24% terhadap untung korporat tahun ini.

Malaysia terlibat dalam satu “perlumbaan ke paras terbawah” dengan negara-negara jiran kita di Asean kerana kita sedang bersaing untuk pelabur asing. Cukai korporat di negara Thailand adalah 20% untung korporat pada masa ini, dan ia hanya 17% di Singapura.

Perlumbaan ke paras terbawah ini tidak ditakdir oleh Tuhan. (Mungkin ia disyorkan dan digalakkan oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF.)

Apakah halangan kepada usaha berdialog dengan negara-negara jiran kita di Asean untuk menghentikan perlumbaan ini, yang menyekat kapasiti kerajaan untuk menjaga rakyat dan alam sekitar? Inilah soalan PSM kepada kerajaan “Madani” dan kerajaan-kerajaan negara jiran.

Pada kami, sebarang usaha untuk memindahkan beban kewangan kepada bahu rakyat awam melalui potongan gaji wajib untuk membiayai perbelanjaan kesihatan ataupun melalui cukai seperti GST adalah tidak bertanggungjawab.

Di negara ini, gaji telah ditekan ke paras yang rendah – pekerja kilang elektronik di Bayan Lepas menikmati gaji yang hanya satu perlapan gaji pekerja kilang elektronik di California walaupun mesin dan teknologi yang digunakan oleh mereka adalah sama.

Pada kiraan PSM, pengagihan pendapatan nasional adalah seperti ditunjukkan dalam satu lagi carta di bawah:

Carta 3: Pengagihan pendapatan negara pada tahun 2020

Kami faham, jika Malaysia meningkatkan cukai korporat atau cukai terhadap individu kaya secara bersendirian, ada kemungkinan pelabur akan berpindah ke negara jiran dan penjanaan kerja di negara kita akan merudum.

Tetapi, jika peningkatan cukai korporat boleh diselaraskan antara Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Filipina, kesan negatif terhadap ekonomi kita dapat diminimumkan.

Adakah konsep ini dibawa untuk perbincangan dalam kalangan pemimpin dan perancang ekonomi negara? Memang, cadangan ini akan mengambil masa untuk dapat konsensus dalam kalangan negara-negara Asean.

Tetapi adakah usaha untuk berbincang isu penting ini bermula? Itulah soalan PSM kepada kerajaan Madani.

Penghijrahan doktor pakar ke hospital swasta

Kami setuju ini adalah masalah besar yang mewujudkan ketidakseimbangan antara pakar dan pesakit di sektor awam berbanding sektor swasta.

Syor PSM untuk mengendalikan masalah besar ini adalah:

Moratorium terhadap pembinaan hospital swasta baharu untuk 10 tahun yang akan datang – Ini kerana, setiap kali sebuah hospital swasta baharu bermula operasi, pegawai-pegawai kanan hospital swasta tersebut akan memujuk puluhan pakar yang berkhidmat di hospital kerajaan untuk berpindah ke hospital swasta baharu itu.

Bukan doktor pakar sahaja. Jururawat terlatih dari dewan pembedahan dan ICU, serta juruteknologi dari makmal, unit kardio, jabatan X-ray dan unit-unit lain juga akan diumpan oleh pihak pengurus hospital swasta untuk meletak jawatan di hospital awam dan bekerja di hospital swasta.

Polisi moratorium ini akan membuka ruang untuk KKM melengkapkan jawatan pakar, jururawat terlatih dan juruteknologi lain supaya kualiti perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan pada rakyat kita dapat terus dipertingkatkan.

Memang ini akan menyekat perkembangan untung syarikat berkaitan kerajaan yang memiliki rantaian-rantaian hospital swasta.

Tetapi bukankah kesejahteraan rakyat kita lebih penting berbanding keuntungan syarikat tersebut?

Pengwujudan suruhanjaya perkhidmatan khas bagi kakitangan KKM – Kakitangan tentera, Kementerian Pendidikan dan Sistem Kehakiman mempunyai suruhanjaya perkhidmatan yang berasingan masing-masing.

Mengapa KKM, dengan lebih daripada 300,000 orang kakitangan tidak boleh mempunyai suruhanjaya perkhidmatan berasingan?

Syor tambahan kami adalah untuk menggunakan skim perkhidmatan di Institut Jantung Negara sebagai templat untuk memantapkan terma perkhidmatan bagi kakitangan KKM.

Skim perubatan Madani

Kami terima baik pendekatan kerajaan untuk “fikir di luar kotak” (think outside the box). Tetapi kita berpendapat bahawa adalah lebih baik jika skim ini boleh diubah suai untuk meningkatkan kualiti susulan bagi pesakit-pesakit dengan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi, gout dan asma.

Cadangan PSM adalah menawarkan pesakit dengan penyakit tidak berjangkit untuk mengambil rawatan susulannya dengan sebuah klinik swasta dekat rumahnya secara percuma. Doktor-doktor swasta (GP) yang mengambil bahagian dalam skim ini akan dibayar fi ikut kepala untuk setiap pesakit tersebut yang dijaga olehnya. Klinik swasta tidak akan kenakan sebarang caj terhadap pesakit ini tetapi akan dibekalkan ubat dengan percuma oleh KKM. Kos memeriksa darah juga akan ditanggung oleh kerajaan.

Klinik-klinik swasta yang mengambil bahagian dalam skim ini harus dikehendaki mengikut prosedur operasi standard untuk menjaga pesakit dengan penyakit tidak berjangkit dari segi pemantauan tekanan darah, berat badan, ujian darah dan pendidikan kesihatan.

Bayaran ikut kepala yang diamalkan dalam sistem National Health Service (NHS) di UK adalah lebih kurang RM24 seorang pesakit sebulan. Fi ini dibayar kepada klinik sama ada pesakit itu datang ke klinik pada bulan itu ataupun tidak. Fi untuk GP di Malaysia harus ditentukan melalui perbincangan dengan kesatuan doktor swasta.

Syor PSM adalah untuk melancarkan program ini di sebuah daerah sebagai projek perintis (pilot programme) untuk mengkaji bagaimana ia dapat dilaksanakan secara lebih meluas tanpa masalah.

Aset yang harus dipelihara

Kami ingin mengucap ribuan terima kasih kepada KKM dan menteri kesihatan atas kesempatan ini untuk kami berkongsi pandangan dan syor-syor kami. Kami sentiasa bersedia bekerjasama dengan KKM dalam mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di negara kita.

Sepertimana kami telah berkata terlebih dahulu, sistem perkhidmatan awam di negara kita adalah satu aset yang harus dipelihara dan dilindungi daripada ancaman pengaruh perniagaan.

Kami juga ingin merakamkan penghargaan kami terhadap usaha dan pengorbanan semua kakitangan KKM dalam melaksanakan tugas mereka yang murni.

Memorandum ini telah diserahkan oleh Dr Jeyakumar Devaraj kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada 10 Mac 2025.

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.
AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme
Support Aliran's work with an online donation. Scan this QR code using your mobile phone e-wallet or banking app:
Jeyakumar Devaraj
Dr Jeyakumar Devaraj, a long-time Aliran member and contributor, served as Member of Parliament for Sungai Siput from 2008 to 2018. A respiratory physician who was awarded a gold medal for community service, he is also a secretariat member of the Coalition Against Health Care Privatisation and chairperson of the Socialist Party of Malaysia.
Subscribe
Notify of
guest
0 Comments
Newest
Oldest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments