Felda: Kenapa Umno tidak boleh ambil mudah ‘bank undi’ mereka

0
140
Kehadiran luarbiasa di ceramah pembangkang di kawasan Felda di Maran dan Jerantut pada 3 Februari 2017.

Masalah kewangan Felda yang memuncak dan peruntukan BN yang semakin terhad menawarkan peluang baru bagi Pembangkang pada pilihanraya umum yang akan datang, tulis Johan Saravanamuthu.

Tidak semuanya kelihatan indah di Felda Global Ventures (FGV). Pengurusan Felda yang baharu ini nampaknya ingin mengetahui ke mana menghilangnya RM3.5bn selepas penyenaraiannya pada tahun 2012.

FVG telah ditubuhkan pada Jun 2012 dengan penuh gembar-gembur sebagai IPO yang terbesar di Asia dan kedua terbesar di dunia (selepas Facebook), dengan pemodalan pasaran (market capitalisation) sebanyak RM 10.5bn. Saham FGV kemudian telah melonjak dari harga awalnya sebanyak RM4.55 hingga setinggi RM5.50

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, harga sahamnya jatuh dengan mendadak sekali dan kekal pada kadar semasa RM1.90. Harga minyak sawit yang merosot dikatakan menjadi punca kepada kejatuhan harga saham sekaligus memberi kesan kepada pendapatan para peneroka – tetapi barangkali terdapat juga faktor-faktor lain yang kita terlepas pandang.

Pembelian dan unjuran kepentingan sebanyak 37 peratus di dalam syarikat perladangan Indonesia PT Eagle High melebihi AS$500 juta telah dikritik dengan keras kerana ia sesuatu yang tidak perlu, boros dan mungkin berkaitan dengan kroni tertentu.

Tambah memburukkan keadaan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), antara pelabur domestik terbesar FVG telah menarik balik 3.85 peratus saham mereka. Sedangkan Koperasi Permodalan Felda (KPF) sendiri, yang merupakan sebahagian dari entiti induk Felda, yang mana FGV sendiri memegang 51 peratus faedah, telah pun menanggung kerugian dengan menjual 5 juta saham FGV. Jualan ini memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan perusahaan global ini.

Audit terbaru pada tahun 2014 menunjukkan bahawa FVG dibebani hutang sebanyak RM6bn. Pada bulan Januari 2017, kerajaan telah mengeluarkan Mohd Isa Abdul Samad selaku pengerusi Felda induk dan menggantikannya dengan veteran Umno Shahrir Abdul Samad. FGV bagaimanapun masih di bawah kendalian Isa.

Shahrir memecat seluruh ahli lembaga cabang pelaburan Felda, FIC, dan kini sedang mengendalikan pembelian Eagle High. Beliau juga telah berjanji untuk mengembalikan semula model Felda lama yang mesra peneroka.

Tetapi bukan sahaja pembelian Eagle High yang menimbulkan tanda tanya. Suruhanjaya Penguatkuasa Rasuah Malaysia telah menahan lima orang pada 24 Januari 2017, termasuklah seorang ‘datuk’ yang disyaki menyeleweng dalam projek ternakan ikan Felda.

Perkembangan ini nyata memberikan rasa tidak selesa kepada peneroka Felda, yang mana telah bertahun-tahun disampaikan oleh Persatuan Anak-Anak Felda, sebuah NGO yang diketuai Pas, yang selalu menyuarakan tentang isu-isu penyelewengan ini. Peneroka Felda sendiri telah membawa kes syarikat induk ini ke mahkamah kerana kehilangan pendapatan yang tidak adil.

Ceramah yang dianjurkan oleh pemimpin pembangkang di pekan Felda seperti di Jerantut dan Maran di Pahang baru-baru ini telah berjaya menarik ribuan peneroka merupakan suatu yang luar biasa.

Dalam tulisan ini, saya akan mengupas tentang bagaimana isu Felda ini boleh memberi kesan pada pilihanraya umum yang akan datang, yang patut diadakan selewat-lewatnya pada 2018; namun terdapat spekulasi mengatakan yang ia boleh berlaku lebih awal, pada tahun ini.

Dua persoalan yang timbul:

Pertama, dengan kemelesetan ekonomi semasa dan masalah yang melanda jenama global Felda (FGV), serta syarikat induknya, adakah ia akan memberi kesan tentang bagaimana undian para peneroka pada pilihanraya umum nanti?

Kedua, sekiranya ya, selain mengambil kira perkembangan politik lain yang signifikan, adakah Pembangkang mempunyai peluang yang cerah untuk menawan 54 kerusi Felda yang telah menjadi kubu kuat kerajaan dalam pilihanraya seterusnya?

‘Bank undi’ Felda

Dengan jumlah 1.2 juta undi dari para peneroka ini sememangnya dianggap sebagai undi selamat bagi Umno dan BN.

Tetapi hanya terdapat satu analisa sistematik yang didapati menyokong perspektif ini baru-baru ini. Dua kajian akademik (Khor, 2015 dan Maznah, 2015) yang saya temui telah menunjukkan bahawa bank undi atau ‘deposit tetap’ ini sememangnya menjadi resepi pihak pemerintah untuk menawan Felda sepanjang enam dekad lebih.

Kejayaan Felda dalam menempatkan semula 122,000 keluarga yang majoritinya Melayu di sepanjang Semenanjung Malaysia dan Sabah ini telah menjadi satu model pembaharuan dan penempatan semula tanah di negara dunia ketiga sememangya merupakan kejayaan yang luar besar dan perlu diakui.

Dengan penuh cabaran, rancangan yang telah dimulakan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 1956 ini telah berjaya dan berkembang menjadi perusahaan global sekarang.

Empat ekar tanah untuk setiap keluarga bagi peneroka Felda ini telah memberikan rezeki buat mereka – tidak hanya bergantung kepada hasil kelapa sawit (yang asalnya, getah), mereka juga beroleh pendapatan dari sumber yang lain sewaktu penempatan. Dari masa ke masa, kerajaan memberi bonus kepada mereka, terutamanya sewaktu menjelangnya pilihanraya.

Penyenaraian Felda pada tahun 2012 memberikan durian runtuh sebanyak RM15,000 untuk setiap keluarga dan masing-masing dibenarkan membeli 800 saham FGV dengan pinjaman tanpa faedah. Apabila saham FGV jatuh, peneroka semestinya risau yang pelaburan mereka tidak membawa hasil.

Secara amnya, purata kadar pendapatan sebanyak RM2,500 sebulan adalah mencukupi untuk peneroka dan keluarga mereka. Namun sekarang khabar mengatakan bahawa jumlah tersebut tidak akan kekal.

Ringkasnya, untuk mengekalkan undian dari peneroka Felda, Umno harus memastikan pendapatan mereka sentiasa terjamin dan isu-isu generasi kedua Felda seperti isu perumahan dapat diuruskan dengan baik dan berkesan.

Nampak gayanya projek berskala besar seperti ‘rumah mampu milik’ yang berjumlah RM90,000 untuk setiap rumah sangat tidak sesuai untuk keluarga peneroka generasi kedua. Hanya seorang anak dari peneroka generasi pertama yang dibenarkan Felda untuk membina rumah di kawasan penempatan.

Beberapa rayuan sudah dikemukakan oleh penghuni generasi kedua ini – dan kurangnya maklum balas yang memuaskan dari kerajaan sememangnya mendukacitakan.

Kerusi undi Felda ini kebanyakannya terletak di kawasan desa – namun terdapat sebahagian juga di kawasan separa-bandar (semi-urban). Telah diakuii ramai terdapat 54 kerusi parlimen Felda di Semenanjung Malaysia, iaitu kerusi yang mengandungi kawasan penempatan Felda (Khor, 2015; Maznah, 2015).

Sewaktu pilihanraya umum 2013, 258 ‘daerah mengundi Felda’ telah dikenal pasti, yang undinya banyak memihak kepada BN seperti berikut:

Negeri Peratus undi BN di daerah mengundi Felda (%)
Sabah 92
Johor 86
Perlis 78
N. Sembilan 77
Perak 75
Melaka 74
Kedah 74
Selangor 73
Terengganu 67
Pahang 67
Kelantan 61
Sumber: Khor, 2015, p. 106

 

Bila diletakkan begini, jumlahnya agak menggusarkan Pembangkang. Ia juga menunjukkan yang kebanyakan peneroka akan mengundi BN.

Tetapi apabila kawasan Felda ini dikumpulkan semula ke dalam 54 kerusi undi, termasuk kawasan separa bandar dan bandar yang mempunyai pengundi campuran, ia tidaklah menunjukkan yang semuanya menyokong BN.

Enam ke tujuh kerusi Felda yang berjaya dirampas oleh Pembangkang di Semenanjung dari masa ke masa menunjukkan bahawa kerusi Felda ini bukanlah kebal. Terdapat pengundi yang berbilang etnik di sesetengah kawasan dan ada di antaranya terletak di kawasan bandar dan separa bandar, yang dapat memcerahkan peluang untuk Pembangkang.

Kemungkinan senario PU14

Berita baiknya untuk Pembangkang adalah kerusi parlimen Felda tidak akan bertambah untuk pilihanraya umum nanti berdasarkan garis persempadanan baharu.

Kebanyakan kerusi parlimen Semenanjung terletak di Pahang (12) dan Johor (11), yang semuanya dimenangi BN kecuali di Raub (jatuh ke tangan DAP). Ia satu tugas yang mustahil untuk Pembangkang merebut 23 kerusi Felda dan mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan daripada BN, yang telah memenangi 133 kerusi pada pilihanraya yang lepas.

Biarpun hal ini tidak realistik, namun apabila kita merujuk situasi yang berlaku pada tahun 2013, Pakatan Rakyat mampu merampas beberapa buah kerusi Felda dan kalah di beberapa kerusi yang telah dimenanginya pada tahun 2008.

Tiga dari kemenangan ini terletak di kawasan yang mempunyai peratusan Melayu yang rendah, iaitu Raub di Pahang (50 peratus Melayu); Kulai di Johor (33 peratus); Sungei Siput di Perak (33 peratus). Kerusi lain yang dimenangi Pas di Terengganu secara umumnya merupakan kawasan yang majoritinya orang Melayu iaitu di Kuala Nerus, Maran dan Dungun.

Apa yang menariknya, pada pilihanraya umum 2008, Pas berjaya merebut dua buah kerusi daripada Umno (Pendang dan Sik) dan lagi dua yang dimenangi PKR (Merbok dan Kulim), semuanya di Kedah, yang secara tidak langsung membantu Pembangkang mengambil alih kuasa kerajaan negeri.

MCA dan MIC masing-masing berjaya mengekalkan kerusi Felda mereka: yang pertama, Tanjong Malim (53 peratus Melayu) di Perak, yang kedua, Cameron Highlands (34 peratus Melayu) di Pahang. Etnisiti semestinya memainkan peranan utama dalam memastikan kerusi Felda jatuh ke tangan Pembangkang ataupun BN.

Tetapi urbanisasi menjadi faktor yang sama penting dalam menentukan pilihan pengundi seperti mana yang telah dibuktikan oleh ahli DAP Teo Nie Ching, yang menang kerusi Kulai dengan mengejut pada tahun 2013, yang merupakan kawasan Felda yang paling urban.

Terdapat spekulasi sekarang yang mengatakan bahawa dengan puak Mahathir menjadi teraju utama di Bersatu, Pembangkang dapat kembali menawan Kedah dan kerusi Feldalah yang menjadi kuncinya.

Di dalam tulisan ini, saya hanya melihat kepada kerusi Parlimen sahaja yang mana sekiranya kerusi ini jatuh kepada Pembangkang (seperti tahun 2008), sudah terang lagi bersuluh bahawa kuasa kerajaan negeri juga boleh berubah kerana setiap kerusi Parlimen mengandungi dua atau lebih kerusi Dun.

Pada tahun 2008, Pas merampas Pendang dan Sik, yang merupakan kerusi luar bandar dan majoriti penduduknya adalah Melayu. Kerusi ini mungkin akan disasarkan lagi pada PU14. PKR memenangi dua buah kerusi campuran pada tahun 2008, iaitu Merbok (65 peratus Melayu) dan Bandar Baharu Kulim (68 peratus Melayu), dan ini juga bakal menjadi sasaran.

Jika kita meneliti Pahang, tidak syak lagi negeri ini menjadi benteng kukuh BN kerana kerusi Feldanya. Rancangan Felda yang memindahkan 9,200 peneroka luar negeri ke Pahang di dalam Rancangan Segitiga Jengka pada tahun 1960an dan 1970an, dan peneroka dan anak-anak mereka inilah yang menjadi penyokong tegar BN.

Seperti yang dinyatakan di awalnya tadi, calon MIC telah bertapak kukuh di kerusi Cameron Highlands di dalam pilihanraya sebelumnya meskipun G Palanivel hanya menang dengan margin sebanyak 462 undi pada tahun 2013.

Di negeri yang sama, Pas berjaya mengambil alih kerusi Temerloh di mana Nasurudin Hassan menewaskan calon Umno Saifuddin Abdullah sebanyak 1,070 undi. Satu lagi kerusi yang dimenangi Pembangkang adalah kawasan urban Raub oleh calon DAP Mohd Arif Sabri. Kerusi-kerusi ini boleh dicabar lagi oleh Saifuddin Abdullah (kini PKR) yang mana sesuai untuk beliau bertanding di kerusi lamanya sekiranya Pas mengalah.

Kejutan juga boleh datang dari Johor, negeri yang mempunyai pengundi ‘berbilang etnik’, antara negeri urban di Malaysia, lebih kurang seperti Selangor. Daripada 11 kerusi Felda yang dikenalpasti Maznah (2015, muka surat 135), lapan daripadanya merupakan etnik campuran:

Kulai (33% Melayu, 56% Cina, 10% India)
Segamat (44% Melayu, 46% Cina, 10% India)
Tebrau (47% Melayu, 38% Cina, 13% India)
Sekijang (56% Melayu, 39% Cina, 5% India)
Simpang Renggam (57% Melayu, 33% Cina, 9% India)
Sembrong (58% Melayu, 31% Cina, 9% India)
Bera (59% Melayu, 32% Cina)
Pagoh (64% Melayu, 31% Cina, 4% India)

Nota: Hanya tiga kumpulan etnik utama yang disenaraikan

Seperti yang diperkatakan, Kulai telah ditawan DAP melalui Teo Nie Ching, dan berkemungkinan besar akan kekal menjadi milik Pembangkang.

Chua Chui Meng dari PKR kalah dengan saingan yang sama kuat di Segamat kepada lawannya MIC sebanyak 1,217 undi. Satu lagi kekalahan kecil PKR adalah dengan MCA di Tebrau.

Kawasan Sekijang menyaksikan kemenangan yang selesa buat Umno menentang PKR; Simpang Renggam memperlihatkan kejayaan Gerakan, dan Hishammuddin Hussein dari Umno dengan mudah mengekalkan Sembrong. Muhyiddin Yassi,n yang dulunya Umno tapi sekarang merupakan pemimpin Bersatu, berjaya menang dengan mudah di Pagoh.

Sekiranya kerusi yang sama dipertandingkan sekali lagi di bawah pakatan Pembangkang yang baharu, berserta dengan kerusi-kerusi yang lain di atas, kita mungkin dapat melihat satu keputusan yang menarik. Satu ekstrapolasi yang sama dapat dibuat bahawa kerusi Parlimen yang telah berjaya dimenangi Pembangkang dapat membantu untuk merebut lebih banyak kerusi Dun.

Anjakan Undi Felda?

Masalah ekonomi Felda, rungutan para peneroka, dan kurangnya dana untuk terus membiayai kempen BN dan politiknya wangnya memberikan peluang baharu kepada Pembangkang untuk merebut kerusi Felda.

Masalah ini bukanlah masalah baharu, tetapi dengan kepimpinan Melayu yang baru berpecah ini bakal memberi kesan kepada Umno untuk menangani isu-isu ini.

Pada PU14, jika tiada perang tiga penjuru, berdasarkan perpecahan Umno yang terbaru, adalah dispekulasikan bahawa kerusi Felda yang terletak di Kedah dan Johor dapat memberikan keputusan yang positif kalau tak pun mengejut untuk Pembangkang. Ini benar sekiranya pakatan di antara Pakatan Harapan, Bersatu, Pas dan parti-parti pembangkang yang lain akan terus kekal untuk memastikan pertandingan satu lawan satu.

Kehadiran Bersatu, terutamanya untuk pilihanraya nanti, yang mewakili golongan Melayu baru di dalam Pembangkang, bakal menjadi aset yang bernilai untuk kembali menembusi kawasan Felda.

Atas beberapa alasan yang dikemukakan di atas – seperti masalah berterusan yang dialami peneroka-peneroka Felda, masalah kewangan yang melanda Felda, dan ketidakberkesanan dalam menangani pendapatan peneroka yang semakin menurun dan masalah hutang para peneroka – perubahan undi kepada Pembangkang dapat kita lihat dan mungkin juga dapat menawan kembali sekurang-kurangnya satu kerajaan negeri.

Satu hal yang masih tinggal lagi adalah adakah Pembangkang yang masih bertelingkah dan berpecah ini dapat bersatu untuk tujuan bersama.

Johan Saravanamuthu
Editor bersama, Surat berita Aliran

Diterjemahkan oleh Mohd Sazni Ahmad Salehudin.

(Visited 145 times, 1 visits today)
Thanks for dropping by! You are one of an increasing number of readers looking up Aliran for independent analyses and views. We work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to continue the struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. So would you consider making a donation to keep us going - or why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.
Johan Saravanamuttu
Dr Johan Saravanamuttu, an Aliran member and formerly professor of politics and dean of social sciences, USM. When politics gets too much for him, he whips out his guitar and sings ballads of hope and justice.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here