Najib Razak, dari demokrat ke diktator?

2
1373

Tindakan keras diambil pentadbiran Najib, kerana rasionalisasi beliau terhadap umum telah menjadi kurang berkesan dan beliau kehabisan langkah-langkah lain (yang lebih lembut) untuk kekal berkuasa, ujar Muhamad Nadzri Mohamed Noor.

Politik Malaysia dibawah pentadbiran Najib Razak selama tujuh tahun setakat ini, cukup berwarna-warni, penuh drama dan kontroversi. Ia juga memperlihatkan ironi, keterbalikan dan kontradiksi.

Di peringkat awal pemerintahan beliau (April 2009 ke pilihanraya umum 2013), beliau menunjukkan ciri-ciri pemerintahan yang demokratik dengan pelbagai pengenalan program transformasi. Namun, sejak beberapa isu besar yang melanda pentadbiran beliau selepas PRU 2013, beberapa siri tindakan autoritarian telah diambil sehingga memperlihatkan ciri-ciri kediktatoran di dalam pentadbiran Najib.

Bagaimanakah kita dapat memahami situasi ini dengan tuntas? Mengapakah terdapat perubahan dan kontradiksi dalam pentadbiran Najib sebelum dan sesudah PRU 2013? Persoalan-persoalan ini akan dikupas secara bersederhana berdasarkan kerangka teoritikal terpilih bagi membantu kita memahami situasi politik Malaysia dibawah Najib secara padat, objektif dan seimbang.

Asas teoritikal (cara pandang) yang perlu kita fahami di sini adalah kita perlu melihat Najib sebagai seorang yang pragmatis, iaitu seseorang yang arif tentang realiti persekitarannya dan tahu untuk menggunakan peluang dan halangan ada untuk terus hidup (survive) dan berjaya (succeed) dalam politik – dalam aspek ini untuk mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Namun sifat pragmatik ini bukanlah suatu sifat asing, sebalik ia merupakan satu ciri umum di kalangan ramai pemimpin politik, khasnya di kalangan pemimpin yang berjaya bertahan lama di dalam arena politik. Untuk itu, di dalam kes Najib sebagai Perdana Menteri dari sudut pandang ini, beliau hanya melakukan apa yang perlu untuk mengekalkan kedudukan dan kekuasaan beliau.

Najib fasa demokrat

Apabila Najib menjawat jawatan sebagai perdana menteri pada awal April 2009, beliau sedar bahawa landskap politik Malaysia telah banyak berubah. Perkembangan teknologi dan komunikasi, perkembangan media dan ruang alternatif (siber), serta isu ekonomi dan politik yang mendasar telah banyak mengubah budaya politik rakyat yang dahulunya lebih pasif, tetapi kini semakin dinamik.

Pada hari beliau menjawat jawatan itu juga, beliau umumkan bahawa “zaman kerajaan tahu segalanya telah berakhir”. Najib berdepan dengan masyarakat yang bukan sekadar semakin kehadapan dan rumit, tetapi juga mereka yang dahagakan perubahan-perubahan penting terutamanya kemajuan ekonomi rakyat dan masalah kos sara hidup. Rakyat Malaysia ketika itu pula, baharu sahaja menggagalkan penguasaan dua pertigaBarisan Nasional (BN) buat kali pertama dalam pilhanraya umum iaitu pada PRU 2008.

Najib juga tidak lekang dari beberapa kontroversi (termasuk isu komisen jual-beli kapal selam Scorpene yang dicanang oleh oposisi) sewaktu awal pentadbirannya.

Berdasarkan situasi-situasi ini, Najib tidak dapat tidak, perlu merubah pendekatan pentadbirannya dan imej beliau, untuk mengelak “dari pentadbirannya diubah rakyat”. Najib dengan itu merespons secara agresif untuk merencana dan melaksana perubahan yang dirujuk beliau sebagai ‘transformasi’ dibawah tema ‘1Malaysia : Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Beliau juga perlu mengunakan tempoh edah PRU 2008 yang berakhir pada 2013 dengan sepenuhnya, bagi melakukan pengurusan krisis dan kawalan kerosakan dengan sebaik mungkin sekaligus membina imej dan reputasi yang lebih positif kepada beliau dan BN.

Dalam hal ini, Najib telah melakukan pelbagai projek transformasi, dari ekonomi hingga ke politik, bagi menyusun pembangunan negara selaras dengan perkembangan masyarakat dan persekitaran global. Dalam projek transformasi sahaja, difahamkan terdapat lebih 200 produk 1Malaysia yang dilancarkan pentadbiran Najib bagi mengawal kos sara hidup rakyat.

Dengan program-program itu, hampir keseluruhan rakyat Malaysia, dari pelbagai golongan dan latar belakang, mendapat manfaat atau goodies (ganjaran/faedah) dari pentadbiran Najib. Dari golongan miskin ke golongan yang kaya, dari pelajar sekolah ke universiti, dan dari penduduk bandar ke luar bandar.

Najib kemudiannya (sekitar tahun 2011–2012) juga bergerak lebih berani dan kehadapan dengan memansuhkan beberapa akta yang dianggap draconian (kuku besi) dan lapuk termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan dan Akta Buang Negeri.

Dari sudut dasar pula, Najib melalui pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB) yang membolehkan golongan bukan bumiputera lebih terangkum dalam agenda pembangunan negara.

Dalam usaha Najib untuk menambahbaik imejnya, beliau turut engaged (melibatkan diri) dengan masyarakat dengan pelbagai cara, termasuk dengan mengadakan roadshows di seluruh negara, menggunakan Facebook dan Twitter selain membuat lawatan-lawatan mengejut di tempat-tempat awam. Beliau cukup popular dan disukai Facebook pada waktu itu, dengan lebih sejuta pengikut.

READ MORE:  The People v Najib Razak Ep 17: Back to reality

Beliau juga sering turun padang, dan bekerja sepanjang hari secara berterusan bagi membina reputasi – seperti melawat pesakit di hospital, anak-anak yatim dan mangsa-mangsa kemalangan (termasuk banjir), meninjau harga barang di pasar dan pasaraya, selain mengadakan jamuan-jamuan bersama orang ramai termasuk sebahagian pengikut Facebook beliau.

Najib's visit to Penang
Najib’s visit to Penang

Empat tahun usaha Najib dalam menambahbaik reputasi dan kedudukannya serta BN untuk menghadapi PRU 2013, dari April 2009 sehingga 2013 nampaknya telah membuahkan hasil. Satu kajian yang dibuat pada tahun 2012 mendapati Najib sebagai pemimpin yang paling popular di Malaysia, malah lebih popular dari partinya (Umno/BN) dan pencabar utamanya Anwar Ibrahim.

Najib dalam tempoh ini berjaya mencipta feel good factor di kalangan masyarakat, sehinggakan ramai melihat beliau sebagai seorang transformer yang berjaya dan juga seorang demokrat yang tulen.

Di sebalik tekanan PRU ke-13, dan tuntutan dari rakyat yang semakin kompleks, Najib merespons kepada tuntutan-tuntutan popular (rakyat) untuk menjadi popular iaitu sebagai ‘demokrat’ bagi memenangi PRU 2013, sekaligus mengekalkan kedudukan beliau sebagai perdana menteri.

Pentadbiran Najib, ke arah kediktatoran?

Namun selepas PRU 2013, Najib secara perlahan-lahan memperlihatkan karektor yang sama sekali berbeza. Malah pada malam pengumuman keputusan PRU 2013 lagi, Najib mempersoalkan sokongan Cina yang begitu berkurangan terhadap kerajaan.

Beberapa bulan selepas PRU 2013, beliau seolah-olah hilang dari political scene (arena politik) sebelum kemudiannya kembali untuk menerajui tampuk pemerintahan dengan gaya yang lebih kukuh.

Pada tahun 2014, beliau menyatakan beliau tidak kisah untuk memperkenalkan dasar yang tidak popular atau menjadi tidak popular kerana keputusan tertentu yang beliau ambil – sesuatu kebalikan dari apa yang beliau usaha sejak menjawat jawatan perdana menteri.

Lalu sewaktu dan selepas kenyataan itu diungkapkan, beberapa dasar dan keputusan yang diambil oleh kerajaan mula berkontradiksi dari apa yang dilakukan sebelum PRU 2013, dan apa yang dijanjikan kepada pengundi dalam pilihanraya itu.

Berbanding mengawal harga barang dan kos sara hidup, aspek itu terus meningkat naik dengan signifikan, kali ini dengan sebahagian dari faktor itu disumbangkan sendiri oleh langkah-langkah ekonomi kerajaan. Atas nama “rasionalisasi’’, cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan, pelbagai subsidi dari gula ke minyak petroleum dihapuskan, dan kadar tol serta pengangkutan awam juga disemak-semula (dinaikkan).

Sejak awal tahun 2014, satu demi satu isu besar mula melanda pentadbiran Najib. Antara yang paling mengimpak adalah isu hutang 1MDB, isu penggunaan wang SRC International serta KWAP, dan isu transaksi tanah Lembaga Tabung Haji.

Isu-isu itu mendapat liputan luas dalam pelbagai media dan media sosial, di dalam dan juga di luar negara. Beberapa laporan telah dibuat, dan siasatan juga telah dilakukan oleh pihak-pihak yang berwajib di Malaysia.

Atas isu-isu ini, populariti Najib menurun, manakala kredibiliti beliau mula diragui sesetengah rakyat. Kritikan dan teguran mula muncul di kalangan rakyat dan juga di media sosial. Oposisi (pembangkang) pula menggunakan isu-isu itu untuk menyerang Najib.

Kemudiannya sebahagian pemimpin Umno juga mula mempersoalkan isu itu, dan memberi nasihat agar isu itu diselesaikan secepat mungkin. Ini termasuk beberapa pemimpin Umno di peringkat yang tertinggi termasuknya Muhyidin Yassin yang merupakan timbalan perdana menteri pada ketika itu.

Bekas pemimpin-pemimpin Umno, khasnya Mahathir Mohamad, yang merupakan bekas perdana menteri Malaysia yang ke-empat dan juga salah seorang mentor politik Najib, juga membuat teguran dan kritikan. Mahathir adalah invididu yang bertanggungjawab dalam menekan Abdullah Badawi untuk memberi ruang kepada Najib untuk menerajui tampuk pemerintahan negara pada 2009.

Namun, minat Najib dalam mempertahankan jawatan bukan sahaja tidak luntur di sebalik isu-isu dan kritikan yang melanda, malah lebih tinggi lagi.

Pasukan penyiasat isu 1MDB yang dianggotai oleh empat badan siasatan (Jabatan Peguam Negara, PDRM, Bank Negara dan SPRM) dibubarkan dengan perlantikan peguam negara yang baru, Apandi Ali. Peguam negara yang terlibat di dalam pasukan itu, Abdul Gani Patail, digugurkan jawatan tanpa pengetahuan beliau.

Apandi Ali kemudiannya mengarahkan SPRM dan Bank Negara untuk menghentikan siasatan terhadap Najib kerana beliau mendapati Najib adalah bebas dari sebarang salahlaku sebagaimana yang didakwa. Persoalan yang sebenarnya mungkin lebih sesuai diputuskan oleh pihak mahkamah sebagai pemutus keadilan, berbanding peguam negara (sebagai pelaksana) dengan kedudukannya yang diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri.

READ MORE:  The People v Najib Razak Ep 30: Damned if I do, damned if I don’t

Pasukan siasatan di Parlimen, PAC pula, secara praktiknya dilumpuhkan dengan kenaikan pangkat beberapa watak penting termasuk pengerusinya (Nur Jazlan Mohamed) dalam badan itu ke badan eksekutif. Pengerusi baru PAC yang baru, Hasan Arifin pula terkenal dengan hubungan lama dan setianya dengan Najib.

Muhyiddin Yassin, individu yang paling vokal dalam mempersoal dan menasihati Najib berkenaan isu 1MDB di dalam kabinet, dipecat dari jawatannya secara mengejut, bersama-sama Shafie Apdal, salah seorang menteri yang bersuara dalam kabinet Najib pada Julai 2015. Beberapa bulan kemudian, Menteri Besar Kedah Mukriz Mahathir turut dipecat atas perkara yang sama.

muhyiddin_mahathir_najib

Mahathir Mohamed yang pada waktu ini merupakan pengkritik pentadbiran Najib yang paling ekspresif, mula diserang dan diburukkan oleh media-media yang dikuasai oleh kerajaan BN secara berterusan. Mahathir kemudiannya dipecat sebagai penasihat syarikat milik kerajaan, Petronas.

Khairuddin Abu Hassan, individu yang paling agresif dalam membuat laporan terhadap Najib dalam isu-isu terbabit di dalam dan luar negara, pula sebelum itu ditahan polis selama puluhan hari dengan tuduhan sebagai ‘pengganas’. Begitu juga dengan peguam yang mewakili Khairuddin, Matthias Chang yang turut mengalami nasib yang sama seperti Khairuddin.

Isu-isu yang menyelubungi 1MDB mula menjadi sensitif kepada kerajaan dan orang ramai ditakut-takutkan untuk berbicara mengenainya dengan beberapa amaran diberikan oleh apparatus kerajaan disamping tindakan-tindakan yang telah diambil kepada individu-individu tertentu. Mengkritik 1MDB mula dilihat sama dengan mengkritik kerajaan meskipun 1MDB adalah badan perniagaan dan bukan sebahagian dari eksekutif/kerajaan.

Beberapa undang-undang baru juga telah digubal, malah ada undang-undang lama yang diperkenalkan semula dan diperkasakan ke arah meningkatkan kuasa badan eksekutif. Ini termasuk Akta Perhimpunan Aman (APA), Prevention of Crime Act (Poca), Prevention of Terrorist Act (Pota), Akta Hasutan dan yang terbaru Undang-undang Majlis Keselamatan Negara. Beberapa penentang-penentang pentabiran Najib seperti Khairuddin dan Matthias ditahan dengan menggunakan akta-akta seumpama ini.

Zunar cartoon on repressive laws
Cartoon by Zunar/Malaysiakini

Najib, demokrat atau diktator?

Justeru, pada selepas PRU 2013, khasnya dalam jangkamasa 2014 ke awal 2016, Najib memperlihatkan ciri-ciri pemerintahan yang bukan sahaja sama sekali berbeza, tetapi juga kebalikan dari gaya pada zaman yang sebelumnya (2009–2013).

Dalam mempertahankan kedudukannya, beliau sejak tahun 2014 secara perlahan-lahan, melalui kuasa negara telah mengambil langkah-langkah yang keras dalam menangani para pencabar dan penentangnya di dalam dan di luar parti pemerintah.

Dengan langkah-langkah yang keras itu, sistem politik Malaysia yang pada awalnya dilihat lebih terbuka di awal pemerintahan Najib, mula dilihat lebih autoritarian dan nampak semakin menuju ke arah kediktatoran. Politik Malaysia kemudiannya, akibat dari amalan ini, secara dasarnya dikawal dan ditadbir oleh seseorang individu sahaja, iaitu iaitu system berasaskan one-man rule dan one-man show.

Satu sistem yang sebenarnya direkayasa dan dimungkinkan oleh 22 tahun pemerintahan Mahathir Mohamad (1981-2003) yang telah memusatkan pelbagai kuasa negara ke tangan perdana menteri dan menghapuskan pelbagai unsur semak dan imbang yang efektif di dalam sistem politik Malaysia.

Meskipun secara undang-undangnya kerajaan Malaysia diterajui oleh kabinet, tetapi tindakan keras Najib terhadap pencabarnya sekaligus mencipta budaya takut dan memberi ancaman.

Disamping itu, pelantikan baru ahli-ahli kabinet yang terdiri dari mereka yang setia (loyalists) dengan beliau menjadikan kabinet mungkin tidak lebih seperti sebuah kelab peminat (fan club) Najib yang boleh dan sanggup berbuat apa sahaja untuk ketuanya.

Meskipun Najib merupakan penyokong kuat TPPA dengan hubungan kuat beliau dengan Presiden AS Barack Obama, Mustafa Mohammad diminta untuk mengetuainya usaha itu.

Meskipun Najib orang yang paling tidak senang dengan bekas Timbalan Perdana Menterinya, Muhyiddin Yassin, Majlis Tertinggi Umno (ramai ahli kabinet Najib di dalam MT) dipertanggungjawab dalam menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno.

Menteri-menteri yang baru dilantik oleh Najib pada Julai 2015 pula merupakan mereka yang vokal dalam mempertahankan Najib melalui apparatus negara dan di media sosial. Hal ini dilakukan di sebalik keadaan parti pembangkang yang berpecah-pecah selepas PRU 2013 dan juga selepas pemenjaraan Anwar Ibrahim pada awal 2015.

Melihat situasi politik Malaysia lewat ini, jelas sekali Najib bukanlah seorang demokrat ataupun transformer (yang tulen). Namun untuk adil terhadap beliau, Najib juga bukanlah seorang diktator (yang totok).
Sebaliknya, sebagaimana yang diterangkan di peringkat awal tulisan ini lagi, Najib adalah seorang pemimpin yang pragmatis yang cuba untuk mengekalkan kedudukan dan kuasanya sebagai perdana menteri selagi mana beliau kehendakkan.

READ MORE:  Academics slam Najib supporters’ assault on peaceful student protesters

Di peringkat awal pemerintahannya, kaedah beliau untuk mencapai objektif ini adalah dengan menjadi demokrat dan agen transformasi sebagaimana permintaan rakyat.

Manakala selepas PRU 2013 pula, apabila beliau menjadi kurang popular dan terkeluar dari tekanan pilihanraya (buat sementara), beliau ‘terpaksa’ mengambil tindakan yang keras dan tegas terhadap pencabar dan penentangnya sekaligus memerlukan beliau sebagai pemerintah yang lebih autoritarian ataupun diktator.

Tindakan keras itu diambil pentadbiran Najib, kerana rasionalisasi (resonance) beliau terhadap umum telah menjadi kurang berkesan dan beliau kehabisan langkah-langkah lain (yang lebih lembut) untuk kekal berkuasa.

Meskipun Najib bukanlah demokrat mahupun diktator yang real (sebenar), tetapi impak pentadbiran (governance) beliau dalam fasa ‘pendemokrasian’ (2009-2013) dan dalam fasa ‘kediktatoran’ (2013-kini) kini adalah real (benar).

Dalam fasa awal pentadbiran beliau, tidak ramai boleh nafikan keterbukaan dan transformasi politik Malaysia dibawah Najib. Malah Najib sangat terkehadapan dari Umno/BN dengan pernah memansuhkan akta-akta draconian meskipun hanya seketika dan karektor beliau yang responsif pada tuntutan popular pada ketika itu. Malah, mungkin juga dengan keterbukaan itu jugalah yang membolehkan pengundi mengekalkan BN dengan majoriti yang kecil.

Dalam fasa semasa pula, tidak ramai juga yang dapat nafikan kita sedang menuju ke arah gaya pemerintahan yang lebih keras dan terpusat, dengan pemerintahan oleh satu.

Mana-mana individu atau organisasi yang tidak bersama dengan Najib, dianggap musuh, termasuk mentornya Mahathir dan timbalannya Muhyiddin. Mana-mana yang menyokongnya pula cuba dijadikan rakan baru, walau selama ini dianggap musuh. Hubungan baru yang lebih baik di antara Umno-Pas dibawah kepimpinan Abdul Hadi Awang mungkin contoh yang tepat.

Dalam fasa semasa pentadbiran kini, pelbagai persoalan muncul seperti isu penggunaan dan manipulasi kuasa negara, isu ketelusan dalam pentadbiran, dan isu perlanggaran hak asasi.

Namun, bukanlah motif tulisan ini untuk membingkaikan Najib sebagai diktator, mahupun demokrat. Sebaliknya menganalisis tujuh tahun pentadbiran Najib dari perspektif teori pragmatism, agar hujahan yang lebih objektif, reflektif dan menyeluruh dapat dilakukan.

Pada Mac 2016, Mahathir yang pada awal pentadbiran Najib merupakan sekutu kuat, telah melancarkan satu gerakan rentas kaum dan ideologi politik bagi menekan Najib untuk meletak jawatan. Gerakan ini, sebagaimana yang dikatakan oleh sarjana Bridget Welsh, mungkin boleh merubah permainan politik Malaysia dibawah Najib selepas ini.

Namun, meskipun Mahathir dan pakatannya mempunyai pengaruh (hegemoni) yang besar di kalangan rakyat, Najib mempunyai kuasa dominan dengan seluruh jentera kerajaan yang ada di dalam genggamannya.
Dalam masa yang sama, walaupun Najib masih mempunyai kelebihan dengan kuasa negara yang ada padanya, beliau perlu lebih berhati-hati dalam menangani Mahathir. Pengaruh utama Mahathir adalah di kalangan generasi lama dan belia etnik Melayu, yang hidup atau membesar dengan ‘kenangan Mahathir’. Sebilangan besar mereka juga penyokong tegar Umno/BN.

Jika Najib tersilap langkah dalam mendepani Mahathir, beliau mungkin boleh kehilangan sokongan penting dari golongan ini.

Politik Malaysia kini kembali menarik dari kesuraman yang berlaku sekitar tahun 2013. Pakatan lama telah pecah dan digantikan dengan yang baru.

Kali ini tidak lagi melibatkan perlawanan di antara Umno-BN vs bukan/anti Umno-BN semata-semata, tetapi juga menyeberang sempadan ideologi politik dan generasi dengan pakatan oposisi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama bersama Mahathir, Muhyiddin dan beberapa pemimpin Umno yang lain.

Namun dalam masa yang sama, Umno dan BN dibawah Najib kini juga mengukuh kedudukannya dalam eksekutif melalui undang-undang dan pertukaran pemimpin, selain mengadakan hubungan yang baik bersama parti Pas dan Ikatan.

Pilihan raya ke-14 yang akan tamat tempoh pada 2018 nanti tentunya lebih rencam, lebih-lebih lagi dengan penambahan mendasar jumlah golongan muda (generasi Y) dan penduduk bandar sebagai pengundi kelak.

Muhamad Nadzri Mohamed Noor ialah pensyarah sains politik di sebuah universiti tempatan. Artikel ini adalah sebahagian dari usaha awalan bersama pelajar Masters seliaan beliau. Bersama-sama dengan pelajar tersebut, beliau akan perkembangkan tulisan ini dengan lebih luas dan mendalam.

Thanks for dropping by! Apart from the views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed, the opinions in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

Our voluntary writers work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to support our struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our editorial independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. If everyone reading this was to make a donation, our fundraising target for the year would be achieved within a week. So please consider making a donation of whatever amount you can afford to sustain Aliran. Please make payments to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB Bank account number 8004240948.

And why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.

2
Join the conversation

avatar
750
1 Comment threads
1 Thread replies
0 Followers
 
Most reacted comment
Hottest comment thread
2 Comment authors
adminErland Chew Recent comment authors
  Subscribe  
newest oldest most voted
Notify of
Erland Chew
Erland Chew

Please send me only the English version of ALIRAN for all Newsletters.

admin
admin

Our newsletters are mostly in English; occasionally in Malay. It is the same mailing list.