Kebaikan parlimen tergantung untuk Malaysia

0
153
Proportional representation would be fairer and more inclusive - Photograph: Wikimedia Commons

Di dalam keadaan parlimen tergantung, peluang perlaksanaan pembaharuan di dalam institusi tersebut akan menjadi lebih cerah, ujar WH Cheng.

Adakah anda semua akan merasa terkejut atau kecewa sekiranya saya menegaskan bahawa parlimen tergantung atau dalam bahasa Inggeris “hung parliament” adalah baik untuk negara kita bedasarkan keadaan politik di masa kini.

Ya, sudah pasti. Malah sesetengah ahli politik juga akan mengecam pendapat saya sebagai tidak masuk akal kerana keadaan tersebut, menurut mereka, tidak akan membawa sebarang faedah kepada mereka secara peribadi, parti politik yang mereka anggotai ataupun usaha perluasan kuasa politik mereka.

Sebaliknya, mereka akan menegaskan bahawa keadaan tersebut akan membawa malapetaka kepada negara kita.

Ketegasan mereka di dalam tajuk parlimen tergantung ini jelas menunjukkan bahawa, walaupun mereka telah dan sedang menjadi sebahagian daripada kerajaan beberapa dekad yang lalu, mereka masih gagal menonjolkan kematangan mereka di dalam hal-ehwal kenegaraan (state-of-affairs) dan perkerajaan (governance).

Parlimen tergantung adalah keadaan di mana tidak ada parti politik ataupun gabungan parti-parti politik baik daripada pihak yang memerintah mahupun parti-parti pembangkang yang berjaya memperolehi jumlah kerusi yang mencukupi, seri di dalam jumlahnya ataupun hanya kurang satu-dua kerusi dalam parlimen selepas pilihanraya umum.

Parti yang memerintah mungkin hanya memperolehi jumlah kerusi yang hampir mencukupi atau lebih kenali majoriti tipis, sementara parti-parti pembangkang akan melihat jumlah kerusi parlimen mereka bertambah tetapi tidak mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan baru bagi mengambil-alih pemerintahan negara.

Dalam konteks ringkas, parti memerintah tidak akan dapat menguasai suasana parlimen secara menyeluruh dan parti-parti pembangkang akan menganggap keadaan tersebut sebagai parlimen seimbang (balanced parliament).

READ MORE:  Are we ready for a hung parliament?

Justeru daripada itu, ini memberikan lebih manfaat kepada mereka di dalam hal berkaitan rundingan kuasa apabila berhadapan dengan perdebatan isu-isu, pembentangan usul-usul, rang undang-undang ataupun pembentangan mengenai isu-isu semasa.

Berdasarkan keadaan politik di dalam negara kita pada hari ini, saya berpendapat adalah wajar rakyat jelata memilih memberikan sebuah parlimen tergantung kepad kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang sebagai suatu penyelesaian menyeluruh bagi menjana semula kematangan parti-parti politik agar ahli-ahli politik ini dapat memberikan tumpuan dan khidmat yang lebih berkesan kepada rakyat dan negara.

Sebuah parlimen tergantung akan memberikan penekanan kepada kedua-dua parti memerintah dan parti-parti pembangkang agar mereka dapat menumpukan perhatian mereka di dalam pembuatan dasar.

Di samping itu, mereka dapat mengemukakan dasar-dasar alternatif yang dapat memanfaatkan rakyat dan negara, daripada asyik berpolitik dan bertelingkah di antara satu sama lain, yakni tidak membawa sebarang faedah kepada umum.

Kekurangan majoriti menyeluruh atau mutlak dalam parlimen akan menyebabkan parti memerintah terpaksa menyediakan lebih konsesi di dalam pembuatan dasar, belanjawan negara dan pengurusan agenda persidangan dengan parti-parti pembangkang.

Dalam usaha untuk menyakinkan keadaan, parti memerintah perlu mengambil langkah yang lebih drastik bagi memastikan kecekapan dalam pentadbiran dan ketelusan di dalam kerajaan agar rakyat jelata dapat menikmati perkhidmatan yang lebih sempurna, cekap dan berkesan.

Parlimen tergantung juga akan memastikan agar parti memerintah memperakui kewujudan pelbagai bentuk kelemahan di dalam kerajaan daripada asyik mempermain-mainkan sentimen perkauman dan agama bagi mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu-isu yang sebenarnya.

Sesebuah parlimen tergantung juga akan memberi penekanan terhadap parti memerintah agar mereka lebih memberikan perhatian terhadap pengekangan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada pentadbiran negara.

Di samping itu, keadaan tersebut juga akan memastikan agar parti memerintah tidak mempergunakan sebarang undang-undang keselamatan sewenang-wenangnya bagi menutup pelbagai salahlaku.

Dalam sesebuah parlimen tergantung, wakil-wakil rakyat daripada parti memerintah akan memastikan kepentingan diri dan parti mereka diketepikan dan memberikan keutamaan kepada khidmat mereka untuk rakyat dan negara kita.

READ MORE:  Vote for the independence of our Parliament

Pada masa yang sama mereka dapat menjalinkan hubungan kerjasama yang lebih erat dengan wakli-wakil rakyat parti-parti pembangkang bagi mencapai tujuan yang sama.

Jika sekiranya para pemimpin parti memerintah dapat berdepan dengan keadaan sedemikian dengan lebih matang, mengurustadbir negara ini dengan lebih cekap dan amanah, maka ianya juga akan dapat meningkatkan reputasi mereka.

Penbangkang perlu lebih bertanggungjawab

Di dalam parlimen tergantung, tanggungjawab wakil-wakil rakyat parti pembangkang akan bertambah. Parti-parti pembangkang perlu lebih berusaha agar peranan mereka di dalam semak dan imbang (checks and balances) dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan daripada hanya bertumpu kepada usaha untuk menjatuhkan kerajaan yang sedia ada.

Selain daripada itu, parti-parti pembangkang juga perlu mengambil kesempatan daripada keadaan tersebut dengan memberikan penekanan yang menyeluruh terhadap parti memerintah agar dapat melaksanakan:

  • pembaharuan sistem parlimen,
  • pengiktirafan bagi pembetukan kabinet bayangan,
  • pembentukan jawatankuasa-jawatankuasa parlimen bagi memantau kementerian-kementerian kerajaan, serta
  • usaha untuk mendapatkan semula hak untuk menerima peruntukan kewangan tahunan bagi kawasan-kawasan parlimen yang mereka wakili.

Dalam pada itu, parti-parti pembangkang juga perlu berusaha lebih gigih mengketengahkan dasar-dasar alternatif mereka, menyemak imbang dasar dan belanjawan kerajaan dan mengemukakan isu-isu dan usul untuk diperdebatkan.

Langkah ini bagi memastikan parti memerintah dapat merombak dan menambahbaik dasar-dasar kerajaan demi kebaikan rakyat dan negara.

Ketidakhadiran majoriti mutlak di pihak parti memerintah dalam parlimen tidak bermakna parti-parti pembangkang menikmati “majoriti mudah” tersebut.

Parti-parti pembangkang yang bergabung dan yang berada di luar gabungan akan menghadapi situasi yang sama apabila mereka mungkin akan berbalah di antara satu sama lain mengenai dasar-dasar dan usul-usul yang dikemukakan oleh parti masing-masing.

Parti-parti pembangkang ini mempunyai beberapa tujuan yang sama, namum perbezaan dari segi ideologi dan pegangan masing-masing jelas ketara. Oleh itu, mereka juga perlu kerap berunding di antara satu sama lain bagi melahirkan suatu pencapaian yang menyeluruh bagi menandingi dasar-dasar yang sedang dipelopori parti memerintah.

READ MORE:  Increasing women’s representation in Malaysian politics

Parlimen yang aktif

Ketiadaan suatu majoriti di pihak parti memerintah akan menyaksikan parlimen berubah menjadi sebuah institusi yang lebih aktif dari segi pemantauan, perdebatan dan penyemak imbangan. Proses perundangan akan menjadi tidak menentu tetapi keadaan tersebut akan menjadi lebih inklusif.

Dalam parlimen tergantung, rang undang-undang mungkin akan mengambil masa yang lebih lama untuk diluluskan oleh kerana kehadiran parti-parti pembangkang dalam parlimen telah bertambah.

Perdebatan dan persoalan akan menjadi lebih kerap, diikuti dengan pindaan demi pindaan yang akan berlaku sebelum rang undang-undang dapat diluluskan melalui proses undian.

Pada hari ini, parti memerintah yang memiliki majoriti sering mengusulkan rang undang-undang dengan begitu cepat dengan menghadkan masa pengajian dan perdebatan agar kelulusan dapat disegerakan, dengan hanya amalan undian melalui tangan sahaja. Kaedah dan helah yang digunapakai oleh parti memerintah ini adalah tidak demokratik.

Dalam parlimen tergantung, yang dipertua dewan akan senantiasa dipantau oleh parti-parti pembangkang agar kesemua aspek dan peraturan persidangan dipatuhi.

Ini termasuk undian secara rahsia, pemberian lebih masa untuk kajian dan perdebatan ke atas rang undang-undang dan pembentangan usul-usul. Perlaksanaan pembaharuan sistem parlimen dapat diketengahkan. Semua ini akan memberikan lebih ruang di dalam proses perundangan agar institusi tersebut menjadi lebih telus dan demokratik.

Di dalam keadaan tersebut, peluang perlaksanaan pembaharuan di dalam institusi tersebut akan menjadi lebih cerah memandangkan kehadiran lebih ramai wakil-wakil rakyat daripada parti-parti pembangkang.

Bagaimana keadaan sesebuah parlimen tergantung dapat diuruskan dengan baik adalah bergantung kepada kematangan wakil-wakil rakyat yang dipilih sama ada mereka bersedia menerima hakikat bahawa keadaan tersebut adalah kehendak rakyat ataupun cuba menafikan keperluan tersebut, sebaliknya cuba memporak-perandakan keadaan.

Hanya parti-parti politik, para pemimpin parti, wakil-wakil rakyat ataupun ahli-ahli parti yang kurang matang dan mempunyai kepentingan diri yang akan cuba memburuk-burukkan dan mengelirukan keadaan agar kedudukan mereka tidak tergugat.

(Visited 878 times, 1 visits today)
Thanks for dropping by! You are one of an increasing number of readers looking up Aliran for independent analyses and views. We work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to continue the struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. So would you consider making a donation to keep us going - or why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.
W H Cheng
WH Cheng, an Aliran member, is director of Inter-Research And Studies (IRAS), a Penang-based mini-research outfit and pressure group.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here