Tuntutan Syariah dan gelagat ‘wira’ agama Malaysia

Image: Malaysiakini.com

Sebagai manusia, kita mungkin keliru; tetapi lebih baik terkeliru dalam menghampiri keadilan Tuhan daripada menguatkuasakan sesuatu atas sangkaan itulah sebenarnya kehendak Tuhan, ujar Ahmad Farouk Musa.

Banyak sudah diperkatakan tentang rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU 355.

Ketegangan meningkat dengan himpunan gergasi menyokong cadangan yang dibentangkan presiden Pas Abdul Hadi Awang itu Sabtu lalu.

Penganjurnya, Pas, berulang kali berkata ia bukan mengenai hukum hudūd tetapi hanya untuk memperkukuh atau “memperkasakan” undang-undang syariah dan mahkamah syariah.

Tetapi seseorang mungkin bertanya, jika benar ia mengenai pemerkasaan sistem Syariah yang sedia ada, maka Pas seharusnya membedah apa yang sebenarnya menjadi kelemahan dalam sistem mahkamah syariah yang menuntut pemerkasaan tersebut.

Kepada pemerhati umum, kelemahannya begitu ketara sekali dan mendukacitakan.

Lihat saja jumlah kes wanita ditinggalkan suami dan anak-anak yang terbiar, atau kes fasakh yang tidak berkesudahan atau perceraian yang mengambil masa panjang sehingga bertahun-tahun.

Selalunya, alasan yang diberikan adalah kegagalan pihak lelaki untuk hadir di mahkamah – lazimnya disengajakan – dengan maksud untuk “mengajar” pihak wanita.

Apa yang jelas, hal ini adalah manifestasi nyata daripada ketidakadilan yang dilakukan di mahkamah Syariah atas nama Islam, tanpa sebarang penyelesaian yang dapat dibayangkan.

Jika benarlah seseorang itu ingin untuk memperkasakan sistem syariah, tidakkah ia lebih bermakna untuk memperkasakan Akta Undang-Undang Keluarga Islam itu sendiri? Ini kerana ia di bawah skop mahkamah Syariah.

Semua ini menyerlahkan kebebalan dan sifat tidak bertanggungjawab, apabila mereka gagal untuk memperkasakan aspek ini yang berada di bawah bidang kuasa mereka, sebaliknya memfokuskan kepada urusan jenayah syariah, dengan meningkatkan berpuluh kali ganda hukuman penjara, denda dan sebatan.

Persoalannya sekarang, mengapa kita obses dengan hukuman keras, walaupun jika berhujah pindaan itu tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan?

Adakah ia benar-benar akan “memperkasakan” undang-undang syariah dan mahkamah Syariah ketika kita tahu kelemahan yang ketara itu tidak ditangani mahupun cuba diperbaiki?

Tidakkah Islam akan tampak lebih adil sekiranya mereka yang menobatkan diri sebagai pembela agama itu memperjuangkan hak golongan wanita yang ditinggalkan dan anak yang terbiar? Adakah pelaksanaan hukuman keras itu menjadikan kita lebih Islam di mata Tuhan?

Kita juga harus bertanya kepada diri kita sendiri, tidakkah kita diajar bahawa perkara paling mulia dilakukan adalah menegakkan keadilan?

Dalam hal ini, Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, seorang anak murid sarjana tersohor Ibn Taymiyyah, dalam kitabnya “I‘lam al-Muwaqqi‘in”, berkata:

“Dasar daripada syariah adalah hikmah kebijaksanaan dan pemeliharaan maslahah manusia di dunia ini dan di akhirat. Keseluruhannya ia adalah keadilan, rahmat dan kebijaksanaan. Setiap undang-undang yang meninggalkan keadilan kepada kezaliman, rahmat kepada kekejaman, kebaikan kepada kejahatan, dan kebijaksanaan kepada keremehan, tidak tergolong di dalam syariah; walaupun ia mungkin dimasukkan di dalamnya secara tersirat.

“Syariah adalah keadilan dan rahmat Tuhan di tengah manusia. Kehidupan, pemakanan, perubatan dan kebajikan, dimungkinkan dengannya. Setiap kebaikan yang wujud berasal daripadanya, dan setiap kekurangan adalah akibat daripada kehilangan dan keluputannya. Kerana syariah, yang Tuhan amanatkan kepada NabiNya untuk disampaikan, adalah tonggak dunia ini dan kunci kepada kejayaan dan kebahagiaan di dunia ini dan di akhirat.”

Jelaslah, matlamat tertinggi Syariah, sepertimana juga tujuan dan matlamat daripada sebarang undang-undang di dunia ini, adalah menegakkan keadilan dan memelihara serta mendukung maslahah manusia.

Oleh kerana Syariah tidak diturunkan kepada kita dalam bentuk dikanunkan, maka ia memerlukan akal manusia untuk menghampiri keadilan Tuhan.

Sebagai manusia, kita mungkin khilaf dan keliru; tetapi lebih baik terkeliru dalam menghampiri keadilan Tuhan daripada menguatkuasakan sesuatu atas sangkaan itulah sebenarnya kehendak Tuhan.

Kita tidak harus terpengaruh ke arah negara Taliban dengan mengenakan hukuman keras kerana hakikatnya, kita masih gagal untuk membereskan isu keduniaan sekali pun, seperti penceraian dan tuntutan nafkah, atau isu yang lebih mendesak seperti kesetaraan ekonomi dan urus tadbir yang baik.

Ketika sebahagian rakyat masih hidup dalam khemah selepas dua tahun banjir besar, ketika kesihatan dan bekalan air bersih masih menjadi masalah utama selepas lebih 20 puluh tahun memerintah, dan ketika ramai anak muda masih menganggur dengan kadar penagihan dadah yang tinggi di kalangan mereka, maka untuk mengutamakan hukuman Syariah yang lebih keras bagi salah laku peribadi hanyalah menunjukkan kegagalan kita mendalami prinsip fiqh awlawiyat, iaitu memahami bagaimana mengutamakan sesuatu dalam membuat keputusan.

Ini juga membuatkan kita tertanya-tanya, adakah menyebat seseorang dengan 100 sebatan atas tuduhan zina menjadikan kita wira Islam dan pembela syariat Tuhan?

Rasulullah sendiri amat keberatan mengenakan hukuman hudud ke atas penzina yang membuat pengakuan sendiri. Ketika Ma‘iz al-Aslami mengaku perbuatan zinanya kepada Nabi, baginda enggan berbicara dengannya dan memalingkan wajahnya.

Sementara kita menginsafi terdapat perbezaan dalam riwayat insiden ini, apa yang terjadi adalah Nabi bertanya empat kali selepas pengakuan Ma‘iz.

Baginda bertanya sama ada Ma‘iz benar-benar tahu apakah maksudnya zina atau “engkau hanya mencumbuinya atau, mengedipnya, atau merabanya?”

Akhirnya, Nabi bertanya Ma‘iz sama ada dia pernah berkahwin. Tiga elemen ini beserta dengan tindakan Nabi memalingkan wajahnya daripada Ma‘iz dan menjauhinya hanya dapat ditafsirkan sebagai keberatan yang teramat sangat untuk melaksanakan hudud.

Tujuan Nabi jelas untuk membenarkan Ma‘iz menimbangkan semula pengakuannya dan supaya dia ditinggalkan bersendirian agar dia bertaubat.

Bandingkan sikap sedemikian dengan kelompok Taliban dalam Pas hari ini. Belas kasih dan rahmat adalah perkara yang amat asing bagi mereka, sedangkan sudah difahami sesungguhnya rahmat adalah tujuan Syariah yang mencakupi segalanya.

Melihat pada waktu isu yang memecah belahkan rakyat ini dimainkan ketika pelbagai situasi politik semasa, kita hanya boleh membuat satu kesimpulan. Pihak yang meraih manfaat daripada kemelut ini adalah tidak lain ialah kerajaan yang memerintah.

Dr Ahmad Farouk Musa ialah pengarah Islamic Renaissance Front, badan pemikir menganjurkan islah dan tajdid dalam pemikiran umat Islam.

Sumber: freemalaysiatoday.com

Thanks for dropping by! You are one of an increasing number of readers looking up Aliran for independent analyses and views. We work hard to keep these articles free for all to read. But we do need funds to continue the struggle for Justice, Freedom and Solidarity. To maintain our independence, we do not carry any advertisements; nor do we accept funding from dubious sources. So would you consider making a donation to keep us going - or why not become an Aliran member or subscribe to our FREE newsletters.
(Visited 95 times, 1 visits today)

NO COMMENTS

Leave a Reply